Satu Destinasi

45 0 0
                                    

Oleh: Anie Alja

"KANSER pankreas tahap empat?" Soal aku kali kedua dan aku terduduk.

Hening suasana sekeliling. Jarum jam berdetik berterusan. Tik tok tik tok....

Tinggal aku keseorangan di dalam bilik gelap. Telefon bimbit terkulai di tangan. Termangu sendirian, mata meliar dan fikiran berselirat seperti jalan sesak tanpa punca.

"Helo... helo...." Suara abang di hujung talian masih bersisa.

Aku matikan talian tanpa sepatah kata.

Berita hiba kian jelas, disokong laporan kesihatan daripada Hospital Besar Pulau Pinang. Ayah disahkan menghidap penyakit kanser tahap empat. Penyakit yang aku tahu akan berakhir dengan kematian.

Ayah akan mati?

Tak mungkin... ayah tak boleh mati.

Kami sayang ayah. Ayah kuat... ayah tak boleh mati.

Bertubi-tubi suara halus menyerang. Kalau ayah mati, siapa nak tunggu durian? Kalau ayah tak ada... siapa nak teman aku bungkus ketupat pada petang raya.

Siapa nak sokong aku... kalau aku bergaduh dengan mak?

Aku menggeleng kepala beberapa kali, menidakkan perkataan kanser dan maut yang terlintas dalam kepala.

Tidak. Air mata belum keluar. Aku tak mahu menangis sebab aku tahu belum tiba masanya ayah pergi. Ayah tidak terlalu tua untuk menemui tuhan. Usia ayah belum mencecah 70 tahun.

Aku cuba menenangkan hati. Tetapi suara halus itu garang mengingatkan bukti betapa sel kanser sudah merebak pada organ penting seperti hati. Suara itu tidak mahu mengalah dan gigih berhujah.

Mengapa ayah? Orang tua kampung diserang penyakit orang bandar. Ayah tak makan ayam goreng segera. Ayah tak suka makanan segera dalam tin. Ayah tak minum air gas berkarbonat.

Aku berada dalam perut kapal terbang ke Pulau Pinang. Ini adalah minggu keempat aku berulang-alik sejak berita kanser disebarkan. Setiap kali bersendirian dalam perjalanan, suara halus menjadi peneman. Soalan dan jawapan bertindih-tindih dalam minda. Menidak dan mengiyakan segala bukti yang terpamer jelas di depan mata.

Mana mungkin. Ayah kuat, ayah orang kampung yang sihat cara hidupnya.

Pelik betul. Jika inilah aturan yang Maha Esa.

Hati dan akal masih tidak mahu berdamai.

"Dah berapa lama batuk?"

"Lama... dah lebih lima minggu."

"Any unusual conditions that you might think which triggered your asthma?"

Mengikut kata doktor pakar, aku disahkan menghidap penyakit lelah atau asma yang berpunca daripada tekanan. Asma hanya menyerang apabila aku berada dalam keadaan tertekan.

Ya, aku sangat tertekan dengan berita ayah menghidap kanser. Aku tertekan sebab aku tak mahu ayah pergi meninggalkan kami. Ayah tak boleh pergi sebab aku nak membawa dia berjalan-jalan melihat dunia.

Ayah tak boleh mati!

Aku tak mahu ayah mati!

Suara halus menyerang lagi.

Selepas mengambil seplastik ubat bersama penyedut asma, aku bergegas ke lapangan terbang mengejar kapal pulang ke Pulau Pinang. Inilah rutin mingguan sejak ayah terbaring dengan tubuhnya yang kurus di atas katil hospital. Aku tinggalkan anak-anak bersama suami pada hujung minggu. Mereka bebas makan mi segera semasa ketiadaanku di rumah. Itulah syurga anak-anak bersama suami, makan mi tiga minit tanpa dileteri seorang umi.

Projek Lavender: 22 Kisah Pejuang Kanser yang Cekal MelawanWhere stories live. Discover now