1 | Hujan

736 58 31
                                    

Pandangan aku bawa ke luar tingkap. Titisan air hujan sudah cukup untuk menjadi jamahan mata. Bunyi hujan yang bergandingan dengan suara-suara manusia bagaikan satu ketenangan bagi aku.

"Aku suka hujan."

Tersentak dengan suara itu, aku mendongak. Wajah seorang lelaki tanpa walau secebispun senyuman menyapa mata. Tak menunggu aku persila, dia sudah melabuhkan punggung di kerusi.

Bukan aku benci. Bukan! Aku cuma tak gemar, walaupun dia pernah menjadi kegemaran. Gerangan itu tak aku pedulikan. Tak akan aku peduli seperti waktu dulu-dulu lagi.

Cukuplah mengait memori bersulamkan derita. Aku tak mahu jarum itu kembali menyulam hingga darah temercik kembali. Akhirnya hanya aku sendiri yang harus menjahit luka di hati.

Aku bukanlah gadis yang sukakan jarum mahupun benang, tetapi entah bagaimana memori dulu tersulam rapi.

Dalam kata lain, aku bukanlah gadis yang mudah menyerahkan jiwa dan raga. Cuma penyerahan padanya berlaku di luar sedar.

Di luar kawalan.

Insan di depan aku intai dengan hujung mata. Dia sukakan hujan, tapi...

"Kau tetap lari dan berusaha untuk mengelak tempias hujan."

Dia yang sedikit bingung mula terangkat keningnya. Mengapa lari daripada hujan jika dia menyukainya? Sungguh permulaan perbualan yang bakal membawa kepada aktiviti 'kakiku di mukamu'.

"Maksud kau mungkin begini. Kenapa aku pergi sedangkan aku sukakan kau?" responnya tanpa perasaan.

Yah!

"Kaji soalan itu dan mungkin kau akan tersentap sendiri, Aurora."

Liur ditelan namun terasa bagaikan pasir pantai. Tak tahu mengapa. Mungkin kerana aku sudah tersentap. Lagi satu...

"Stop calling me Aurora."

Nama aku bukanlah Aurora dan tidaklah seindah nama itu, apatah lagi rupa. Tidak secantik Aurora, Ariel, Cindarella mahupun puteri-puteri Disney yang lain. Aku hanya gadis biasa.

Bunyi kerusi bergeser menarik perhatian lelaki itu. Kaki aku atur melangkah keluar dari kafe setelah not RM10 diselitkan di bawah cawan. Tempias hujan tak aku hiraukan. Bukannya aku tak sedar ada yang mengekori.

"Aku sukakan hujan, tapi aku cuba elak! Bukan sebab aku hipokrit, tapi sebab hujan yang selalu menjadi punca aku jatuh sakit!"

Jeritan kuat itu tidak setanding bunyi hujan, namun tetap dapat aku dengar dengan jelas. Aku adalah hujan dan dia adalah dia.

Akukah yang menjadi punca dia terluka? Tapi... aku ikut sama terluka.

Dia yang menyakiti dan dia cuba berdalih, meletakkan kesalahan di bahu aku. Cukuplah, aku penat.

-061118-

SUDUTWhere stories live. Discover now