Bab 1

86 1 0
                                    

  'Okay lah Ayum, kita nak gerak dah ni.' – Send.

  *Ting.*

  'Hm. Hati-hati drive. Betul ni tak nak Ayum teman?'

  'Betul. Jangan risau sangat. Boleh tak jangan bagi orang fikir yang bukan bukan. Elok-elok kita tak takut ni, karang jadi takut kang.' – Send.

  *Ting.*

  'Dah sampai nanti, jangan lupa mesej Ayum ya.'

  'Baik bos.' – Send.

  Handphone di tangan aku letakkan ke dalam beg tangan.

  Setelah aku pastikan semua tingkap dan suis rumah tutup, kunci kereta dan kunci rumah aku ambil dari dalam laci meja tv. Semoga rumah aku dipelihara dan dijauhi dari kejahatan manusia. Amin.

  Orait. Barang semua dah ada dalam bonet. Boleh lah dah ni gerak balik kampung. Harap-harap tak ada barang tertinggal. InshaAllah.

  Bismillah.

  Enjin mula mengaum.

  Sudah 2 tahun aku tak balik kampung. Last aku balik kampung masa raya korban dulu. Sibuk dengan kerja yang berlambak-lambak tak pernah nak habis, dah boleh dapat award cikgu terbaik dah kalau diikutkan kesungguhan aku bekerja. Kalau ada cuti pun, aku berkira-kira duit. Aku ingat dulu, kalau aku jadi cikgu ni, boleh cuti lama-lama. Murid cuti, aku pun cuti. Akhir tahun boleh merambu melayan cuti panjang. Tapi tak... Akhir tahun pula aku mula sibuk dengan kelas tambahan. Sibuk dengan persiapan bahan mengajar untuk para murid tahun hadapan. Jadi cikgu ni memang seronok, kalau kena dengan caranya. Murid zaman sekarang ni lain, tak sama dengan zaman dulu. Mereka lebih terbuka dan lebih bijak. Teknologi telah membuka ruang informasi yang lebih luas untuk mereka tanpa ada tapisan. Jadi, aku tak hairan jika ada cikgu yang mengalami tekanan mengajar murid yang lebih bijak dan lebih berani menyurakan pendapatnya. Sebab tu la aku selalu kena bersedia dengan bahan mengajar yang secukupnya. Takut nanti tak mampu nak jawab pertanyaan murid sendiri. Malu la muka aku nanti.

  Lagi pula, sara hidup kat bandar ni lain macam sikit. Kalau duit aku makan nasi lemak kat sekolah dulu, baru 20 sen sebungkus. Cukup semua bahan, timun berkeping-keping, ikan bilis berekor-ekor, telur rebus bulat sebiji. Sekarang dah jadi RM2 sebungkus. Bila buka bungkusan nasi lemak, alahai... kepala ikan bilis je ada. Itu pun macam misi mencari harta karun kaedahnya. Telur rebus pula dibahagi empat. Tu belum masuk timun lagi. Tepuk dahi bila aku tengok. Rasa macam nak tepuk dahi mak cik tu sekali, tapi mak aku tak ajar aku biadap. Aku redha je la. Janji kenyang ye dak. Lagi pun, sebagai seorang cikgu kena lah tunjuk perangai elok sikit. Kan?

  Balik kampung nanti nak suruh Mak Andak masak nasi lemak lah. Pergh, bila tengah hari pula, suruh Mak Andak buat ikan rebus masak sambal dengan sayur pucuk lemak letak suhun takpun sambal tempe goreng letak suhun. Aduh... Terliur dibuatnya.

  Rindunya dengan masakan Mak Andak. Dah lama tak jumpa orang tua tu. Aku hanya tahu tentang keberadaan orang tua itu melalui adik sepupu aku, Saleha. Anak bongsu Mak Andak, adik sepupu yang sudah aku anggap macam adik sendiri. Hendak menelefon Mak Andak sendiri, tidak pernah aku berikan masa untuk itu. Entah mengapa, begitu liat mahu menelefon sendiri. Bukannya ada apa-apa isu pun dengan Mak Andak, jauh sekali rasa merajuk, cuma setiap kali teringatkan dia, baru rasa nak call. Masa tu juga lah tetiba ada hal timbul. Lepas tu terus lupa nak call.

  Masuk je highway Guthrie, suasana dah mula menjadi sunyi. Cepat rasa mengantuk dan mula la rasa takut tu datang. Teringat pula dengan kata-kata Ayum tadi. Dalam kepala dah fikir macam-macam. Terbayang semua jenis hantu yang ada Malaysia. Bila dah macam tu, mata ni pun mula la asyik nak tengok cermin belakang, mana lah tahu tetiba ada penumpang tak berbayar menumpang. Seriau aku. Aduh. Berdebar pula dah ni hati ni.

TerpilihWhere stories live. Discover now