Tak sedikit pun aku memandang wajahnya. Sungguh tak kuat untuk menatap insan itu. Bicaranya tersangatlah spontan, namun terdapat getaran yang cuba disembunyikan. Ya, aku faham. Kami merasakan hal yang sama cuma dia lebih bijak dan berani.
Dia... sudah biasa dengan yang namanya perempuan. Kiri, kanan, depan dan belakang. Hingga aku sendiri tak tahu aku berada di sudut mana.
Atau tiada tempat untukku.
"Sayang aku tak?" soalnya.
Terasa umpama ada renjatan elektrik yang menyerang melalui suaranya. Kemudian disalurkan melalui zarah-zarah rawak di udara. Oh, Tuhan.
"Apa? Tak dengar."
Kerana aku tahu tiada ulangan yang akan keluar dari bibirnya. Masakan aku perlu menggapai pena setiap kali dia menyoal? Kemudian harus melakar isi di setiap sudut hati?
Aku tahu yang dia tahu, dan dia sengaja mahu menguji. Untuk apa aku menjawab jika isi hatiku hanya bakal mendapat respon negatif saja? Terkadang aku rasa bertepuk tak bersambut, terkadang juga aku akan rasa...
"Merajuklah macam ni," rajuknya cuba mengada-ngada.
Ya, aku rasa disayangi. Ayat manisnya bak madu, perangai manjanya bak kucing, buat aku terbuai. Tapi madunya bukanlah yang asli dan kucing itu hanya mahukan makanan. Tak lama, pasti aku akan terluka kembali.
"Aku pergi dulu. Dia dah panggil."
Dan dia berlalu tanpa menoleh walau sedikit. Aku cuma mampu memerhati belakang tubuh dia dan dia yang mula menjauh. Soal dia dan dia, sungguh aku tak mahu ambil tahu.
Sejujurnya, aku lebih gemar mengumpul segala memori indah bersamanya. Kemudian yang pahit dilupuskan tanpa teragak-agak. Cuma di pengakhiran, aku kalah.
Dia buatkan aku takut. Terlalu takut untuk mengungkap kata sayang. Pasti ada getaran pada suara jika mahu berbicara soal hati, tak kira dengan sesiapa.
Aku... fobia.
-041218-