Nafasnya turun naik. Seluarnya sudah lencun dibasahi peluh, manakala tubuhnya penuh berkeringat. Suasana di sekeliling penuh dengan tanah yang sudah merekah di sana sini. Beberapa batang pokok yang terdapat di kawasan ini telah tumbang dan berterabur di merata tempat. Sebahagiannya dimamah api, sambil asap berkepul naik.
Suasana yang huru-hara.
Tetapi dia masih belum mahu berhenti.
Auranya ditingkatkan kembali. Menimbulkan cas-cas elektrik di sekeliling tubuh. Angin yang kuat kemudian bertiup keluar dari badan, menyah segala keringat pada tubuh, sebelum berpusar mengelilingi diri.
Dia mengeluarkan kedua-dua tangannya.
Fokus.
Sebelah kanan mula mengumpulkan unsur elektrik, manakala sebelah kiri mengumpulkan unsur angin. Kedua-duanya kemudian disatukan, menghasil sebuah pusaran angin besar yang dipenuhi dengan cas elektrik dalam bentuk bebola.
Bebola itu dilepaskan, dibiar terapung berdekatan dirinya, sementara dia mengulangi aksinya tadi. Empat lagi bebola berjaya dihasilkan tidak lama kemudian.
Dia kemudian membuka kekuda, kedua-dua belah tangan bergerak. Lima bebola itu menuju ke lima arah yang berbeza dengan pantas. Sebaik sahaja bebola-bebola itu menyentuh tanah, letupan besar berlaku, diikuti pusaran taufan yang berasimilasi dengan cas elektrik, terhasil.
Tangannya digerak-gerakkan lagi. Lima taufan itu seakan menuruti kehendaknya, bergerak mengikut alunan tangan. Batu-batu, tanah dan pokok-pokok yang tadinya berselerak, kini dimamah taufan-taufan tersebut.
Keringat kembali bercucuran. Dahinya berkerut. Matanya tajam. Tubuhnya bergetar. Tidak mudah hendak mengawal kelima-lima taufan itu. Namun kali ini, bibirnya menggores sengih. Walaupun sukar dan masih tidak lancar kawalannya, kini dia telah berjaya.
Kelima-lima taufan tadi masih wujud, merosak muka bumi yang dilalui. Suasana di situ jelas dasyat bagi sesiapa yang memerhati. Petir sabung menyabung walau langit cerah tidak punya tanda mahu hujan. Semuanya berlaku di dalam pusaran taufan-taufan tersebut.
Dia menggerakkan kedua-dua belah tangannya, dua telapak tangan bersatu. Lima taufan itu pun berhimpun di hadapannya, bersatu menjadi taufan yang lebih besar. Pusarannya tinggi hingga menyentuh langit. Awan-awan indah turut termusnah disedut taufan gergasi.
Dia mula ketawa.
Tiba-tiba, taufan itu meletup dan pecah. Aliran elektrik tersembur bersimpang siur ibarat sambaran petir yang menggila. Dia sendiri terpelanting beberapa depa ke belakang. Mujur dia berjaya menyeimbangkan tubuh, mendarat di atas dua telapak kaki. Namun tetap terseret beberapa meter yang seterusnya.
Kegembiraan yang muncul di wajahnya sebentar tadi terus menghilang. Pandangannya jatuh pada kedua-dua telapak tangan.
"Mengapa?!" Dia menjerit marah.
"Apa sebenarnya yang engkau cuba lakukan, Ashwadi?"
Ashwadi tersentak, segera menoleh ke arah suara itu datang.
Kelihatan seorang perempuan berambut perang ikat ekor kuda, berwajah cerah dan anggun. Helmet perang digendong tangannya pada sisi pinggang. Berzirah serba putih, melitupi tubuh yang ramping, dihiasi selendang merah pada bahu, panjangnya menutup keseluruhan tangan kanan. Di kiri dan kanan pinggangnya tergantung kemas dua bilah pedang sederhana pendek.
YOU ARE READING
Hikayat Satria-Satria Sejati: Arus Perubahan
ActionHikayat Satria-Satria Sejati: Arus Perubahan - Enam bulan telah berlalu selepas tragedi di Wagangada. Enam bulan juga Ariki dan rakan-rakannya berkampung di Hutan Maut bersama Ibu Umeira. Enam bulanlah juga Ishmakil tidak pulang-pulang kepada mereka...