"Kemaafan?" Zara merenung tajam wajah suaminya. Dia ketawa kecil kemudian. Menghantar maksud betapa dia jengkil mendengar kata-kata itu. Selagi kesakitan di hati masih terasa, tak akan ada sebuah kemaafan akan terluah dari bibirnya.
"Dah setahun lebih Zara. Sampai bila nak buat abang macam ni?" Fayadh merenung isterinya mengharap simpati. Sampai bila dia harus di hukum? Kalaulah dia mampu memutar kembali masa lalu, dengan rela hati dia akan lakukan. Segala khilaf yang dilakukan akan cuba diperbetulkan kembali. Tetapi dia tahu semua itu mustahil.
"Sampai bila-bila." Tak tunggu lama Zara pantas bangun. Pinggan nasi dibawa ke singki. Seleranya yang memang tidak pernah ada sejak bertahun dahulu terus tertutup. Pinggan sebiji yang tidak terlalu kotor disental sekuat hati. Paip air dibuka. Kalau hatinya boleh diubati dengan cara membasuh seperti itu, tanpa ragu dia pasti akan lakukan.
"Boleh tak Zara jangan layan abang macam ni?" Sedaya upaya Fayadh menahan rasa. Kalaulah tidak memikirkan ego yang masih ada, pasti dia sudah meraung. Zara yang ingin berlalu ditarik mendekatinya. Dia mahu memeluk wanita itu. Menghantar isyarat yang dia benar-benar sayangkan isterinya. Tetapi dia tahu, mustahil semua itu dapat dilakukan.
"Ini sikit sangat banding apa yang abang dah buat." Zara merentap tangannya dari pegangan Fayadh. Wajah lelaki itu langsung tidak dipandang. Bukan dia jijik, bukan juga dia tak kasih, cuma melihat wajah itu membuatkan dia mengenang kembali segala cerita yang mampu membuatkan lukanya berdarah kembali.
"Abang tahu. Tapi tolonglah Zara. Kita kena berbincang."
"Kenapa baru sekarang? Kenapa tak dulu lagi? Dulu masa Zara ajak abang bincang, ada abang nak dengar?" Kali ini air mata sudah terasa mula menodai kolam matanya. Berbulan dia menahan rasa. Cuba memujuk hati bila kasih sayang suami yang amat disayanginya mula beralih arah. Luka di dalam jiwanya cuba dirawat sendiri. Malangnya dia tersungkur. Dan semuanya berpunca dari Ahmad Fayadh. Sampai dia mati sekalipun mustahil dia akan lupakan apa yang telah lelaki itu lakukan.
"Abang tahu semua salah abang. tapi kali ni abang mintak, Zara dengarlah cakap abang." Dia mula rasa sebak melihat ada air jernih mula menuruni lekuk pipi itu. Air mata diwajah isteri kesayangannya cuba disapu. Malangnya, yang dia perolehi hanyalah tepisan kasar wanita itu.
"Memang semua salah abang." Zara puas. Kalau boleh setiap saat dia mahu mengulang ayat itu di telinga Fayadh. Biar lelaki itu rasa apa yang dia terpaksa lalui.
"Abang tahu. Tapi sampai bila kita nak macam ni?" Dia mahu kembali Zara yang dulu. Yang ceria, yang peramah, juga yang sayang dan cintakannya sebagai seorang suami.
"Sampai abang ceraikan Zara." Tak tunggu lama Zara terus berlalu pergi. Setiap langkahnya ditemani deraian air mata. Hatinya sakit meluahkan kata-kata itu. Tetapi dalam pada masa yang sama dia benar-benar mahukan perpisahan. Tidak mahu terus menanggung dosa akibat membenci suami sendiri.
"Ya Allah...Zara." Tubuh Fayadh melolot jatuh. Tangan dipekup ke muka. Air matanya yang mengalir tiada daya mahu disekat. Terbayang raut wajah comel anak-anaknya. 'Maafkan papa sayang.' Kali ini tangisannya bertukar menjadi esakkan kecil.
..........................
"Kami minta maaf Puan. Kami dah cuba sedaya.................."
Kata-kata seterusnya dari doktor langsung tidak dicerna oleh pendengaran Zara. Apa yang dia tahu, dia benar-benar mahu tidur pada waktu itu juga. Berharap apa yang terjadi hanyalah mainan tidurnya. Hanya mimpi ngeri yang dikarang oleh minda dek kerana terlalu letih. Malangnya dia sedar yang semua itu adalah sebuah realiti. Dan dia terpaksa melaluinya.
YOU ARE READING
Masihkah ada peluang
Short Story"Mama tunduk. Sini...sini...abang tiup.." Fikri "Abang sebelah sini...Adik tiup sebelah sana..." "Anak-anak kurang ajar?... Terima kasih..Sampai mati Zara ingat apa abang kata..Zara tak kan lupa...Tak kan!." "Kenapa abang tak mati? Kenapa anak Zara...