KISAH AKU DAN MAYAT YANG TAK DITUNTUT
Hari ini, genap tiga bulan Hawa menjalani latihan industri di hospital ini. Banyak pengalaman pahit dan manis yang dikumpul. Pelbagai ragam, pelbagai perihal yang membuatkannya semakin memahami erti hidup. Setiap garapan pengalaman umpama berkeping-keping kanvas yang diwarna secara rawak. Setiap insan yang hadir dan pergi, meninggalkan pengajaran yang berbeza antara kesemuanya. Mana yang manis, akan dia simpan kemas didalam kotak memorinya. Yang mana pahit, akan disimpan buat tauladan dihari muka nanti.
Shahril.
Hawa hanya mengenalinya sebagai seorang anak muda yang sangat misteri. Entah apa pekerjaannya, dari mana asalnya, semuanya kabur. Hawa ada juga bertanya tentangnya dengan rakan-rakan yang lain. Mereka fikir dia hanya bermimpi di siang hari. Dalam seminggu ini, Hawa selalu nampak Shahril melepak di bawah pohon tembusu yang rimbun itu. Melukis pemandangan menggunakan arang. Perkenalan mereka singkat. Hawa hanya sempat bertanyakan namanya. Dia masih setia disitu menyiapkan lukisannya.
"Hai, awak. Sihat? Khusyuknya lukis pemandangan... Sampai tak sedar pun kita kemari." Sapa Hawa mesra.
"Hai, Hawa! Maaf, saya fokus sangat kat kerja ni." pandangan Shahril segera tertumpu ke kanvas.
Masih kanvas yang sama, lukisan pemandangan yang sama. Setiap kali Hawa bertanyakan maksud disebalik lukisan itu, dia hanya senyum dan menggeleng.
"Ianya sebuah kehidupan yang aku rindui." ujarnya.
Mereka berjeda sambil Hawa menikmati makan tengaharinya. Membiarkan Shahril menumpukan perhatian pada lukisannya, merakamkan momen indah itu didalam mindanya. Shahril menajamkan arang dan meneruskan kerjanya dengan tekun. Hawa menyua roti gardenia berinti ikan bilis kepadanya. Shahril mengambil roti itu tanpa memandang ke arah Hawa langsung. Terlalu fokus dengan kerjanya seperti tiada hari esok.
"Hawa suka tak dengan kehidupan Hawa sekarang? tiba-tiba dia mengajukan soalan itu. Tapi tumpuannya masih pada kanvasnya.
"Suka, kot. Ya, ya! Hawa suka dengan kehidupan Hawa sekarang ni. Kenapa tidak? Hawa ada keluarga yang menyayangi Hawa, ada kawan-kawan yang selalu menyokong Hawa. Hawa dah cukup bersyukur dengan apa yang Hawa ada. Kenapa tanya?" pandangan mereka tertaut. Muka masing-masing berubah kemerah-merahan.
"Percaya tak kalau Shahril cakap, manusia ni tidak akan pernah merasa cukup dengan nikmat kehidupan yang mereka ada?" dia merenung tajam kedalam mata Hawa. Menantikan jawapan yang jujur dari Hawa, kiranya.
"Haha... Apa ni? Falsafah 101?" Hawa segera melarikan pandangan ke arah sekumpulan jururawat pelatih yang baru keluar dari wad berdekatan. Mereka sempat melambai kepada Hawa.
"Terpulang... ". Shahril meneruskan kerjanya. Mukanya berubah sugul. Seakan terkilan dengan jawapan Hawa tadi. Cuaca yang panas tiba-tiba sahaja redup. Mendung menjengah dan ada tanda-tanda hari hendak hujan. Shahril segera mengemas kanvas dan easelnya. Arang disimpan didalam poket seluar slack hitamnya. Dia bangun dan segera meminta diri untuk pergi. Hawa hanya menghantarnya dengan pandangan bisu.
"Dia terasakah? Tapi sebab apa pula? Ahh!" Hawa bingkas bangun dan menuju ke pejabatnya.
#####
"Hari ni Hawa tak payah ikut saya buat PPM, ya. Siapkan saja laporan Hawa tu. Ada lagi sebulan nak habis praktikal, kan?" mentor Hawa memberikan arahan dan dia bersiap-siap hendak keluar bersama seorang juruteknik dibawah bimbingannya.
"Baik, bos. Hawa siapkan laporan ni, hari ni juga." Hawa tersenyum lebar.
Tanpa membuang masa, Hawa terus menyiapkan tugasan yang diberikan kepadanya. Namun, jauh disudut hatinya, Hawa tidak sabar menunggu waktu rehat. Hawa berharap dapat bertemu dengan Shahril lagi. Hawa teringatkan perbualan mereka semalam. Apakah sebenarnya yang hendak disampaikan oleh Shahril? Perkara yang berkaitan dengan falsafah hidup? Kenapa Shahril semacam terasa sangat dengannya semalam? Berbagai persoalan yang bermain difikirannya sekarang ini. Hawa berhenti menulis laporan dan membuat carian di Internet, segala apa yang berkaitan dengan falsafah hidup.
Di kejauhan, ada seseorang yang sedang memerhatikan gelagat Hawa.
'Mungkin gadis ini boleh menolongku.' bisik hatinya. Shahril semakin merasa terdesak sekarang ini. Sampai bila nasibnya harus begini? Tergantung didunia yang bukan miliknya lagi.
Suasana agak kalut di luar perkarangan rumah mayat di hospital ini. Terdapat trak polis yang dipenuhi beg berisi mayat didalamnya. Keadaan menjadi gamat bila ada waris si mati yang telahpun sampai disitu. Kelihatan dua orang sami Buddha sedang sibuk menjalankan upacara keagamaan ke atas mayat-mayat tersebut. Mayat masih belum disempurnakan, tetapi mereka tetap menjalankan upacara tersebut. Kedengaran loceng dibunyikan dan sami membaca mantera sambil setiap sisi trak diasapkan. Hawa terbau sesuatu yang kurang menyenangkan rongga hidungnya. Bau hanyir darah!
"Ada kes apa ni?" Hawa memberanikan diri bertanya kepada atendan hospital yang bertugas dirumah mayat tersebut. Kebetulan dia keluar untuk mengambil sedikit ruang dari kesesakan yang timbul.
"Tu ha... Kes dekat highway tu. Bas pelancong asing yang bertembung dengan van tu. Semua tu mangsa-mangsa yang terlibat. Sesak keadaan dalam tu. Saya keluar nak ambil angin sikit. Hawa tak payahlah pergi dekat situ. Bahaya. Kena badi mayat nanti." ujarnya serius.
"Innalillahiwainnailahirrojiun... Eh! Boleh ke ucap innalillah kat jenazah bukan Islam ni?" soal Hawa.
"Entah. Hawa cubalah rujuk mana-mana ustaz. Saya tak tahu tu." dia tersengih. Sambil meluahkan nafas yang berat, atendan tersebut meminta diri untuk kembali melakukan kerja hakikinya.
Jam ditangan menunjukkan hampir tiba waktu rehat. Hawa masuk kembali ke dalam pejabatnya untuk mengambil bekalan makan tengah harinya. Semasa berjalan melewati ruang hadapan rumah mayat yang terletak disebelah pejabatnya, Hawa terlihat sekujur tubuh yang terbaring kaku diatas troli kelabu itu. Salah satu peti sejuk yang menempatkan mayat terbuka. Kelihatan juga seorang anggota polis yang sedang berbual dengan atendan hospital tadi. Anggota polis tersebut kelihatan seperti sedang mencatatkan sesuatu dalam buku notanya.
Hawa meneruskan perjalannya ke tempat janji temunya. Dari jauh sudah kelihatan Shahril dengan kanvasnya. Sungguh tekun menggambar. Sehinggakan dia tidak perasan akan kehadiran Hawa.
"Assalamualaikum..." sapa Hawa sambil mengambil tempat duduk yang bertentangan dengan Shahril.
"Waalaikummussalam... Lambat Hawa sampai hari ni." Shahril menyahut salam dan berhenti melukis. Ditatapnya wajah Hawa.
"Lama ke Shahril tunggu? Maaflah, Hawa menyibuk kat rumah mayat tadi. Ada kes teruk. Ramai mangsa. Berbeg-beg mayat yang Hawa tengok tadi. Hee... Seram!" Hawa mengusap tengkuknya sendiri. Baru sekarang dia terasa seram. Awal tadi dia hanya berlagak berani saja.
"Tragis kan? Pergi dengan cara tu. Lagi tragis kalau tiada ahli keluarga yang tahu." Jeda. Shahril melontarkan pandangan kosong keatas kanvasnya. Matanya seakan berair. Seperti menahan sebak didada.
Hawa segera mengeluarkan bekalan makan tengah harinya dari dalam beg serbaguna yang dibawa. Dia menghidangkannya diatas meja batu yang terletak di bawah pohon tembusu itu. Pinggan kertas dan air mineral juga disusun kemas.
"Hmm... Sedapnye bau. Nasi goreng sotong? Makanan kegemaran Shahril ni. Bagus juga Hawa ni ya, semacam ada deria keenam pula." Shahril mengambil pinggan kertas yang disua Hawa. Mereka menikmati makan tengah hari itu bertemankan kicauan burung-burung dan angin sepoi-sepoi bahasa.
"Terima kasih, Hawa. Sudi menjamu Shahril lagi. Nasi goreng ni Hawa masak sendiri ke?" bersinar-sinar mata Shahril. Hati wanita Hawa tercuit.
"Ya, saya. Hawa masak sendiri nasi goreng ni. Okay tak rasa dia? Terlebih masin tak? Kalau ya, maaflah ya. Hawa memang kuat makan masin." seloroh Hawa.
"Cukup rasa! Macam air tangan mama Shahril." dia tersenyum dan menampakkan giginya yang tersusun rata itu.
Hawa menyua botol air mineral kepada Shahril. Shahril mengucapkan terima kasih dan terus duduk menghadap Hawa. Kelihatan seperti dia sedang menyusun ayat, mengatur topik perbualan dalam mindanya. Hawa memandang Shahril dengan pandangan yang penuh tanda tanya.
"Hawa ada apa-apa ke nak tanya Shahril? Dari tadi Shahril perhatikan, Hawa macam berteka-teki seorang diri." Shahril membunuh kesunyian yang dirasakan tadi dengan soalan yang meresahkan jiwa Hawa.
Hawa tertunduk malu. Jeda.
"Shahril terasa ke, semalam? Hawa tak bermaksud nak ambil mudah pertanyaan Shahril tu. Maafkan Hawa." Mata mereka bertemu. Hawa kembali tertunduk malu.
"Tak ada apa, Hawa. Hal semalam tu, kita lupakan saja. Shahril betul-betul rindukan kehidupan Shahril." nadanya tiba-tiba bertukar serius. Sepertinya kehidupan yang dia rindukan itu telah tiada.
Lama mereka hanya berjeda, membiarkan angin menampar-nampar pipi mereka berdua. Daun-daun yang berguguran dikuis-kuis kebawah. Shahril melepaskan keluhan yang panjang. Wajahnya bertukar suram. Apa agaknya yang bermain difikirannya saat ini? Apa maksud dia dengan merindui kehidupan? Kehidupan yang bagaimana? Bukankah setiap orang akan melalui fasa-fasa kehidupan yang berbeza? Terpulang kepada setiap individu, bagaimana dan dengan cara apa mereka ingin mewarnai dan mencorakkan kehidupan itu. Menyesal tinggalkan kehidupan yang lalu? Itukah yang Shahril maksudkan?
"Shahril okay tak? Ada apa-apa yang boleh Hawa bantu? Shahril boleh beritahu Hawa apa saja. Hawa sudi mendengar. Shahril boleh percayakan Hawa. Kita kan kawan?" Hawa cuba memancing supaya Shahril berterus-terang sahaja.
"Betul kawan? Atau Hawa menganggap Shahril lebih dari itu?" soalan dipulangkan dengan soalan. Hawa semakin tertarik dengan lelaki ini.
"Terpulang..." Hawa menundukkan pandangan. Daun-daun dan ranting kayu yang ada, dikuis dengan kaki. Hawa berpeluk tubuh sambil mendongak.
"Maafkan Shahril. Tiada niat pun hendak bermain perasaan dengan Hawa. Are we cool? soal Shahril, sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Hawa.
"We're cool." Hawa menyambut salamnya dengan senyuman sahaja.
"Perihal kehidupan. Banyak perkara yang bermain di fikiran Shahril sekarang ni. Tapi Shahril dah tak risaukan kehidupan Shahril. Segalanya sudah berakhir. Shahril bimbangkan orang-orang yang Shahril sayangi.
"Apa maksud Shahril tu? Hawa semakin tak faham pula ni. Shahril tahu kan, setiap manusia diberikan peluang kedua dalam kehidupan. Shahril pun tak terkecuali. Kita boleh pilih untuk sentiasa memperbaiki kehidupan kita. Pilih untuk jadi lebih baik dan lebih matang dari kehidupan yang lalu. Berbaik sangkalah denganNya." Hawa cuba berhujah dan ingin lebih memahami keserabutan yang membelenggu Shahril ketika ini.
"Shahril baru memeluk agama Islam. Hanya Imam Hamidi seorang sahaja yang tahu tentang hal ini." Shahril bermukadimah.
"Serius? Tapi... Shahril nampak macam melayu tulen. Shahril berbangsa apa sebenarnya?" Hawa seakan tidak percaya dengan pengakuan Shahril sebentar tadi.
"Ayah saya keturunan cina, manakala ibu pula keturunan India. Saya lahir sebagai seorang Kristian, Hawa." Jelasnya dengan berhati-hati.
"Oh... Okay. Shahril ni, anak tunggal ke, atau ada adik beradik yang lain? Bila sebenarnya Shahril mula memeluk agama Islam ni? Kenapa ahli keluarga yang lain tak tahu? Shahril tiada kawan rapat yang boleh Shahril percayai ke?" bertubi-tubi Hawa menembak persoalan demi persoalan.
"Hahahaha... Sabar, boleh? Gelojoh betul. Macam tiada hari esok!" Shahril tergelak besar melihat telatah Hawa.
"Ahh... Haa... Maafkan Hawa. Nampak sangat gelojohnya, kan? Ya Allah... Malunya aku!" Hawa mengusap-usap kuat pipinya yang semakin merah padam. "Kejap! Shahril menyesal ke, memeluk agama ni?" Hawa melontar pandangan skeptikal kepada Shahril.
"Tidak sama sekali! Shahril senang dengan pilihan Shahril. Cuma... Ada sesuatu yang Hawa perlu tahu. Hawa perlu tolong Shahril. Shahril sudah kesuntukan waktu." balas Shahril.
Shahril melihat jam ditangannya.
"Dah habis waktu rehat pun. Hawa kena masuk ofis. Kita sambung esok sajalah." Shahril bingkas bangun dan bersedia untuk beredar.
"Okay, sekejap! Hawa nak kemas bekas makanan ni dulu." Mereka mengucapkan selamat tinggal dan membawa haluan masing-masing. Hati Hawa terasa sayu. Merasa kesedihan yang mencengkam jiwanya. Jauh disudut hatinya, Hawa seakan dapat menangkap maksud kata-kata Shahril sebentar tadi. Tapi akal logiknya menafikan sekeras-kerasnya teori itu.
"Tidak mungkin!"
YOU ARE READING
KISAH MAYAT YANG TAK DITUNTUT
HorrorKisah tentang perjalanan ke alam maya yang penuh liku.