(i)
Ada seseorang yang asing menetap di sebelah detak jantungku. Kali pertama ada tetamu sebegini. Aku jadi bingung mahu bagaimana dengan dia. Lalu aku duduk sopan-sopan dan melihat dia dari jauh.
(ii)
Orangnya sederhana saja, kadang-kadang dia kelihatan runsing. Namun selalunya dia hanya duduk sambil menghitung bintang malam yang dia sendiri lukiskan di langit jantung ini. Ketika itu hatiku juga terasa dingin.
Orangnya diam-diam sahaja. Jarang berkata, cuma sekali-sekala sahaja. Namun selalunya dia hanya mencicip kopi hangat tanpa manis. Ketika itu hatiku juga rasa tenang.
Tiba-tiba pada suatu hari, dia mencicip kopi sambil menghitung bintang. Hatiku jadi dingin dan tenang pada waktu yang sama.
(iii)
Aku meletakkan telapak tangan ke dada untuk membaca detak jantungku. Orang asing itu juga melakukan hal yang sama.
Apakah aku asing bagi dia yang merasakan detak jantung yang sama?

YOU ARE READING
Sejarah Dari Mata Pengalah
PoetryKumpulan puisi dan prosa tulisan M. Firdaus Kamaluddin.