"Jangan la menangis lagi, Mimi. Sudah-sudahlah." Mareeya mengusap belakang tubuh Syamimi yang dari tadi tak berhenti menangis.
"Dia jahat, Yaa. Hakim jahat!" Hingus meleleh tidak dipeduli.
"Mi, kau dekat hospital la. Janganlah macam ni. Macam mana kau nak treat patient kalau kau pun macam ni?" Mareeya masih tidak berhenti menggosok belakang tubuh sahabatnya.
"Aku nak berhenti! Aku nak berhenti!" jerit Syamimi.
"Kau jangan nak buat gila la. Perah otak 5-6 tahun macam mayat hidup, lepas tu kau nak give up profession kau? Cakap tu pakai otak sikit boleh tak? Hei, kau boleh dapat lelaki yang 10 kali ganda lagi handsome, lagi baguslah, Mi."
"Dah macam-macam aku berkorban untuk dia, Yaa! Sikit pun dia tak hargai aku. Macam mana aku nak fokus kerja kalau dalam kepala aku asyik teringatkan dia aje?! Aku menyesal tak dengar cakap kau, Yaa!" bentak Syamimi.
Alam nyata...
Mareeya berkelip mata beberapa kali. Lengannya tiba-tiba rasa suam dek diusik Syamimi di sebelah dengan senyuman manis.
"Mareeya?" sapa Syamimi mengejutkan Mareeya dari lamunan yang jauh membawa dia lihat masa hadapan apabila matanya bertentang dengan anak mata Hakim sebelum lelaki itu meminta diri untuk pergi ke bilik air.
"Hmmm?"
"Kau nampak apa? Kau rasa Hakim tu okey tak?" Syamimi ingin tahu. 13 tahun berkawan dengan Mareeya, rahsia Mareeya bukan lagi asing baginya. Malahan kebolehan itulah yang mereka guna untuk menjalani hidup sejak zaman sekolah.
"Kau kenal bala ni kat mana?" Mareeya merengus geram. Teringatkan esakan Syamimi yang dia nampak itu betul-betul membuatkan hatinya sakit. Geram!
Bala? Syamimi telan air liur.
"Dia tak okey ke?" Soalan dibalas dengan soalan.
"Tinggalkan dia. Kau dengar cakap aku, tinggalkan dia." Selamba kata Mareeya sambil menyedut jus avokado.
Syamimi terdiam sejenak. Dia sudah mengenali Hakim hampir 2 tahun. Sejak mula HO lagi. Sepanjang tempoh berkenalan, Syamimi tak pernah nampak sedikit pun kekurangan Hakim. Semua jururawat memujinya. Termasuk juga para doktor di hospital mereka. Solat tak pernah tinggal. Alunan mengajinya juga mendayu. Mana silapnya?
"Tapi, Yaa..."
Mareeya kerling ke sebelah. Buat kali pertama selepas 12 tahun Syamimi tahu tentang kebolehannya, gadis itu seakan cuba menyangkal apa yang dia nampak.
"Tapi? Seriously, Mi?"
Syamimi gigit bibir bawahnya sebelum mata mereka berdua berlaga semula.
"12 tahun aku hidup kat bawah bayang kau. Semua benda aku tanya kau sama ada apa yang aku buat itu betul atau tidak. Memang selama ni kau betul, Yaa. Tapi kali ni, aku ikut instinct aku. Aku sayang dia, Yaa," ujar Syamimi lembut.
Mareeya terdiam. Air mata yang tumpah dari tubir mata sahabatnya itu benar-benar menggores hatinya.
"Mi... Aku cakap ni sebab aku tak nak kau menangis sebab dia. Aku tak nak kau jadi bodoh sebab cinta. Percayakan aku. 13 tahun kau kenal aku. Sedangkan baru dua tahun kau kenal dia." Jemari Syamimi dielus lembut.
Beberapa saat kemudian, Syamimi tarik semula tangannya. Dia menggeleng.
"Mungkin kalau kali ni kau betul juga, aku just kena belajar untuk rasa apa tu kecewa. Aku sanggup ambil risiko. Sebab, kau bukan Tuhan, Mareeya."
Kata-kata Syamimi membuatkan Mareeya tersentap. Hatinya berat tiba-tiba. Bergenang air matanya. Dia genggam kuat penumbuknya di bawah meja.
"Memang aku bukan Tuhan. Aku cuma... Bagi tahu apa yang aku nampak." Mareeya senyum tawar menahan air mata yang hampir menitis. "Bila-bila kau perlukan aku, aku sentiasa ada untuk kau." Mareeya bangun dari kerusinya dan terus ke kaunter bayaran untuk membayar minumannya.
YOU ARE READING
Deja Vu
General FictionTajuk: Deja Vu Penulis: Nurul Ain Syuhada Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-76-2 Halaman : 704 Harga: RM28.00 (Semenanjung) // RM31.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Januari 2019