"Tunggu Aku Di Stesen"

4 0 0
                                    

Dani kemas alat tulis dan sumbat dalam beg sandang yang penuh dengan tampalan-tampalan patch kumpulan muzik hardcore. Dani tengok jam, sudah pukul 4 menandakan tamat waktu prep petang. Perlahan pergerakannya menuju blok asrama sambil dipenuhi rasa berbolak balik.

Ditenungnya lumat-lumat poster Mosh Fest esok yang terpampang di lokernya. Line up untuk gig itu diamati satu per satu. Rebellious Fawkes, Fiction Fantasy, Orkes Rosak, Jacky Comes Lately, Noise Saints From South, The Screaming Layla, Kertas Layang, Skrip Kosong, Hectic Jam, dan Nottoscale.

"Padu semua ni. Ah aku mesti turun! Aku tak peduli!" bentak hati Dani sambil mengemas ala kadar baju-bajunya. Mindanya mencongak pantas rangka kerja dan strategi untuk menjayakan misi ini.

Laluan biasa yang dia susuri untuk menyeludup rokok adalah longkang besar belakang rumah pengetua. Namun untuk sampai ke sana dia perlu melintasi dewan selera dan juga blok akademik.

Tuah memilih untuk bersama Dani. Menu ikan cencaru membuatkan segelintir sahaja yang singgah ke dewan selera petang itu. Dan hari ini Jumaat. Jadi ceramah wajib mingguan akan diadakan pada waktu maghrib di surau - tiada pelajar di blok akademik. Rumah pengetua pon gelap semacam, pergi ceramah mungkin.

Dani menyelinap seperti ninja menggunakan waktu lengang sebaik mungkin. Dia perlu mengejar bas lompat dari Bandar Seri Jempol ke Bahau, dan bas ekspres dari Bahau ke Kuala Lumpur.

Langit semakin meniti senja jingga. Dani masih bengang dengan faktor lokasi asramanya yang agak terpencil dari pekan membuatkan waktu perjalanan bas kurang efisien. Dani melompat keluar dari semak setelah dilihatnya bas usang berwarna merah menghampiri.

"Bahau ye pak cik" Dani hulur duit kertas pada pemandu bas.

"Kau jangan duduk seat belakang sekali" tegas pemandu bas separuh abad.

Dani mengendah malas walau kepala diserbu musykil. "Bukan ada orang lain. Aku sorang je pun".

Bas berhenti di satu perhentian lama. Lelaki lewat 20an dengan kemeja kotak-kotak, berkolar naik dan seluar besar deras masuk dalam keadaan sedikit basah. Pelik, diluar tak hujan pon. Diambilnya tempat duduk paling akhir. Wajahnya kelihatan gementar.

"Maaf bertanya. Apakah abang kelihatan terlalu kusut?"

"Okay je. Gaya lama macam 60an. Abang peminat Kugiran Masdo ke?"

"Masdo? Siapa tu? Samseng kampung sebelah tu kah? Abang gugup dik. Abang hendak bertemu tunangan abang. Mari lah temankan abang sebentar"

Dani tarik beg dan menurut saja.

"Dani? Aneh juga namamu. Abang bernama Hassan." sambil menyisir rapi rambutnya.

"Nak dating kat mana dengan girlfriend malam-malam gini?"

"Nama dia Zaiton, anaknya Nona Kalsom. Sudah 2 tahun kami berkaseh mesra. Hari ini abang bakal ke kota Kuala Lumpur kerna abang sudah mendapat tempat untuk bermain dengan sebuah orkes. Abang sudah berjanji dengan Zaiton untuk bertemunya sebelum berangkat"

Dani jengkel dengan gaya tutur ortodoksnya.

"Oh adik hendak ke Kuala Lumpur juga. Satu jalan lah kita. Harap jumpa nanti", sambung Hassan.

Dani hanya mengangguk.

* * *

Dengan tidak semena, Hassan bagai diragut jantungnya. Menggelupur sambil tangan mencengkam dada. Getir. Terbatu kaku tanpa gerak. Hilang mata hitamnya.

Dani cemas lalu berlari ke hadapan mendapatkan pemandu bas.

"Kan aku dah cakap jangan duduk seat belakang sekali!"

Dani toleh belakang. Kosong.

***

Masih cuba menghujamkan peristiwa tadi di dasar benak, Dani mendaki tangga pintu bas dan bingkas mendapatkan tempat duduk sebelum pandangnya terpaku pada sesuatu.

Dari tingkap bas ekspres yang baru bergerak ke Kuala Lumpur, mata Dani tertancap pada seorang wanita tua yang sugul bersama sekeping gambar yang digenggam erat di seberang stesen. Terhampar di wajahnya harapan dalam penantian. Menunggu sang pujangga, menuntut janji lama.

Perlahannya tunduk. Cuba malayan buai lena.

"Bukankah sudah dibilang kita bakal satu jalan. Itu dia tunanganku, Zaiton diseberang jalan tu"

Dani pejam. Tak mahu toleh.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Feb 10, 2019 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

"Tunggu Aku Di Stesen"Where stories live. Discover now