ARASH memegang pintu keretanya. Dia memandang ke arah sebuah rumah agam. Dia telah membesar di situ. Pandangannya dihalakan ke arah wanita yang berada di sisinya. Wanita itu mempamerkan wajah tidak senang. Sungguh dia takut mahu menghadapi apa saja yang bakal berlaku sekejap lagi. Bukan sekali dua dia datang ke rumah ini merayu supaya perkahwinan mereka diterima. Namun semuanya hampa. Ianya tetap ditolak.
"Berjaya atau tak kita kali ni, abang?" tanya Hanani.
"Kita cuba lagi kalau tidak berjaya juga cukuplah sekali ini sahaja. Nani bersama abang kan?" tanya Arash kepada isteri kesayangannya.
"Abang ni pelik, kalau Nani tak bersama abang siapa pula yang nak bersama abang. Ini masalah kita bersama. Bukan baru kita kenal. Dah lama. Lepas tu kahwin pula." Hanani senyum sambil meletakkan tangannya di pipi suaminya. Arash menyentuh belakang tangan isterinya dan dia menciumnya.
"Rumah siapa ni kak?" tanya satu suara kecil di belakang kereta.
Kedua-dua mereka menoleh. Hampir terlupa pada suara kecil yang bertanya itu. Hanani tidak pernah meninggalkan adiknya itu sejak ibunya meninggal dunia. Sekarang dialah ibu kepada si kecil itu. Si kecil yang sudah memasuki sekolah rendah.
"Rumah keluarga Abang Rash. Nia tak pernah datang lagi ke sini." Hanani senyum kepada adiknya.
"Wah! Besarnya." Hanania memandang rumah itu. Dia terpegun melihat rumah yang besar itu. Bukan setakat besar malah sejak tadi, Hanania memandang keliling rumah itu yang mempunyai sebuah taman dan juga sebuah kolam mandi. Dalam hati kecilnya, alangkah bagusnya kalau dia dapat mandi di kolam tersebut. Tak adalah setiap minggu Abang Rashnya membawa mereka ke kolam renang awam.
"Nia tunggu dalam kereta ya," arah Arash. Dia pandang Hanania.
"Baik, Abang Rash." Hanania memang adik yang mengikut kata.
Kedua-duanya melangkah masuk ke dalam rumah besar itu. Belum pun sempat mereka sampai ke pintu depan seorang lelaki yang kemas pakaiannya keluar. Wajahnya bengis yang amat.
"Berani kau berdua datang lagi ke sini!"Jerkahnya. Matanya mencerlung ke arah mereka berdua. Bercekak pinggang.
"Papa, Rash mohon papa terimalah perkahwinan kami. Rash tak minta lebih daripada itu pun. Cukuplah papa terima kami anak beranak. Rash tak akan tuntut apa-apa pun," rayu Arash buat kesekian kalinya. Dia tak jemu-jemu sejak dulu. Dia cuma mahukan restunya saja.
"Kau ingat senang aku nak terima anak yatim piatu macam isteri kau ni jadi menantu aku. Aku dah rancang segalanya untuk kau. Anak Tengku Adil kau lepaskan, kau nak aku terima perempuan miskin ni. Kau jangan harap!" jeritnya lagi. Matanya mencerlung memandang Hanani.
Hanani diam saja dengan maki hamun bapa mertuanya. Dia sudah lali sejak kali pertama dia datang ke sini. Cumanya dia tak berani bertentang mata dengan ayah mentuanya itu.
"Papa, apa kurangnya Nani, dia lebih baik daripada anak Tengku Adil. Kenapa ayah nampak kebaikkan mereka tetapi tidak nampak kebaikkan Nani." Arash membela Hanani.
"Aku dah cakap banyak kali. Kau pun dah tahu sebab apa kan. Jangan sesekali jejakkan kaki ke sini lagi!" jeritnya lagi.
"Papa, jangan buang Rash dan keluarga Rash macam ni, papa."Arash merayu lagi. Jika boleh dia mahu ayahnya itu menerima mereka sekeluarga tanpa sikap prejudis. Kalaupun diterima dia tak akan pulang dan tinggal di sini.
"Kau dengar sini, Rash mulai saat ini kau bukan lagi anak aku, anak aku hanyalah Adrish seorang. Kau! Aku keluarkan kau dari senarai wasiat aku. Kau nyah dari sini," kata Encik Reza.
YOU ARE READING
CINTA YANG TERTANGGUH
RomanceAdrish dan Hanania.. Pertemuan mereka bukan kerana cinta.