BAB 9

2.6K 31 0
                                    

Selepas dua bulan.

HANANIAsudahpun membawa barang-barang masuk ke dalam rumah sewa barunya. Tunggu hari untuk pindah ke sana sahaja. Hanya ada dua bilik, terlalu sempit berbanding rumah lama abang iparnya. Tapi, apa yang dia boleh buat, rumah itu sudah digadaikan. Sudah jadi hak milik samseng-samseng itu.

"Mak usu, kenapa kita kena pindah dari sini?" tanya Syaqer.

Dia terlalu ingin tahu, tapi dia terpaksa mendiamkan diri dahulu melihat kesusahan mak usunya berpindah. Sekarang mereka sudah ada di rumah baru, bolehlah dia bertanya.

Hanania pandang Syaqer. Dia tahu, sampai satu masa, dia perlu juga bercerita kepada Syaqer tentang apa yang berlaku.

"Qer janji jangan terkejut dengan apa yang mak usu nak cakapni. Memang payah nak percaya, tapi Qer tetap kena percaya." Hanania memulakan penjelasannya kepada Syaqer. Matanya merenung Syaqer.

"Mak usu jangan buat Qer takut. Apa sebenarnya ni? Pasal kita ke?" tanya Syaqer. Dia berdebar dengan apa yang bakal dia dengari.

"Pasal kita juga, tapi Qer jangan risau. Bukan perkara yang bukan-bukan pun. Cuma, kita takkan tinggal kat rumah lama lagi. Mak usu tak nak ganggu Qer yang sedang periksa masa tu. Sebab tu, baru hari ni mak usu nak cerita hal sebenar. Rumah tu papa dah cagarkan kepada orang yangmemberi hutang. Tapi bukan salah papa Qer pun. Kawan papa yang pinjam, tapi dia letak nama papa Qer. Jadi, bila dia melarikan diri, papa Qer yang terpaksa membayarnya."

"Bila semua ni berlaku, mak usu?" tanya Syaqer terkejut.

"Sebelum mak usu kemalangan," beritahu Hanania.

"Tapi, mak usu tak diapa-apakan, kan? Kalau tak, kenapa orang lain yang kena membayarnya? Kawan papa yang mana sanggup buat papa macam tu?" tanya Syaqer.

"Uncle Bahri yang buat macam tu. Mereka sekeluarga larikan diri. Sampai sekarang tak jumpa lagi." Hanania sakit hati apabila menyebut nama kawan arwah Arash.

Syaqer memang tidak menyangka kawan baik papanya yang buat mereka merempat. Inilah yang dinamakan kawan makan kawan.

"Qer tak kisah di mana kita tinggal asalkan kita bertiga tetap bersama, mak usu," kata Syaqer prihatin.

Sekarang hanya dia saja lelaki dalam keluarga mereka. Walaupun masih muda, dia akan menjaga mak usu dan adiknya dengan baik.

"Jauh sikit dari rumah lama, tak apa kan? Tapi, mak usu harap rumah ni selesa untuk kita bertiga. Kiranya, bermula cuti nanti, Qer akan balik ke sinilah," beritahu Hanania.

Syaqer angguk kepala.

"Kalau Qer tanya mak usu, tak apa ke?" tanya Syaqer.

Sudah dua bulan peristiwa kemalangan itu. Syaqer masih ingat, ketika dia sedang belajar, guru sekolahnya datang memberitahu bahawa mak usunya kemalangan. Hampir-hampir saja jantungnya terhenti. Dia tidak sanggup hilang tempat bergantung lagi. Gurunya membawa Syaqer ke hospital.

"Nak tanya apa?" tanya Hanania.

"Mak usu memang tak ingat mak usu kemalangan dengan siapa?" tanya Syaqer.

"Tak, Qer. Mak usu hairan sebab ketika sedar, mak usu ada di hospital."

Dia tahu dia kemalangan pun daripada jururawat. Itupun sebab mereka asyik bersembang pasal kemalangan itu. Sebabnya hanya dia saja yang dibawa ke hospital itu. Jadinya, butiran kemalangan itu tidak jelas. Selepas sedar, dia tidak tahu apa yang terjadi kepadanya. Dia hilang ingatan tentang kemalangan tersebut. Sudah puas dia mencari ingatan bagaimana dia terlibat dengan kemalangan tersebut. Tapi, memorinya tetap kosong.

"Tak apalah, mak usu. Qer cuma nak tahu saja. Kalau mak usu tak ingat juga, biarlah. Mungkin ada hikmahnya mak usu tak ingat peristiwa tu," ujar Syaqer.

Pelik sungguh ingatan mak usunya. Pasal kemalangan dia tak ingat. Mujurlah perkara lain mak usunya ingat. Buat mak usunya ini lupakan dia dan Mya, itu lagi teruk.

"Mak usu pun tak mahu ingat lagi perkara yang buat mak usu sakit kepala." Hanania sengih kepada Syaqer.

Setiap kali dia cuba memikirkan kenapa dia boleh kemalangan, ketika itulah sakit kepalanya akan menyerang. Sudahnya, dia tidak mahu ingat dan fikir lagi.

"Mak usu, kalau Qer beritahu pasal ni, mak usu jangan marah ya. Qer dapat ofer jadi model pakaian lelaki untuk majalah dan online. Ibu kawan Qer yang cadangkan. Tak apa ke,mak usu?" tanya Syaqer.

Sungguh dia bimbang dengan penerimaan Hanania. Hanania terlalu mementingkan pelajarannya. Tapi, disebabkan agak lumayan bayaran yang ditawarkan, dia rasa tak mampu nak menolaknya. Lagipun, iniboleh membantu kehidupan mereka bertiga.

"Tapi, masa cuti sekolah aje kan? Mak usu tak nak pelajaran Qer terganggu dengan apa yang akan Qer buat. Lagipun kalau dah ada orang ofer, maknanya Qer berkerjalah. Kena ada komitmen." Hanania pandang Syaqer.

"Cuti sekolah dan juga hujung minggu kalau ada kerja. Kawan Qer tu dah lama buat. Ibu dia yang uruskan. Lagipun kalau pasal pelajaran, mak usu tak payah bimbang. Qer nak simpan wang untuk belanja universiti nanti. Qer tak nak menyusahkan mak usu." Syaqer sudah membuat perancangan sendiri.

"Mak usu masih mampu lagi menanggung kamu berdua. Tapi, kalau Qer nak cari wang saku sendiri, mak usu akan sokong. Cuma mak usu tak mahu Qer leka dengan kerja saja," kata Hanania. Dia meyokong apa sahaja yang akan dilakukan oleh Syaqer selepas ini.

"Terima kasih, mak usu sebab faham apa yang Qer nak. Qer janji Qer akan berjaya dalam peperiksaan nanti."

Syaqer berjanji dan mengukir senyuman untuk Hanania.Tubuh Hananiadipeluk. Kepada Hananialah Syaqer menumpang kasih ibu. Hanania sudah dianggap seperti ibu sendiri.

Kehidupan mereka sudah berubah. Mereka bertiga terpaksa bergantung harap dengan diri masing-masing. Namun, Syaqer bersyukur kerana masih ada Hanania yang sudi menjaga mereka. Akan dibalasnya jasa Hanania hingga ke akhir hayatnya.

CINTA YANG TERTANGGUHWhere stories live. Discover now