HANANIA merebahkan badan di atas karpet. Letih kerana terpaksa berebut menaiki bas tadi. Hairan pula dengan orang yang ramai walaupun bukannya hari minggu. Lain sedikit dari KL, kerana di sana Hanania selalu bersesak menaiki LRT, tapi di sini terpaksa bersesak dengan bas pula. Ah! Nanti alah bisa tegal biasalah tu, gerutunya. Hanania akui sejak kehilangan tempat bergantung dua tahun lalu dia bersusah payah meneruskan kehidupan. Daripada kehidupan yang terlalu selesa kepada kehidupan yang tidak selesa langsung. Namun, bagi Hanania semuanya terpaksa ditempuh dan semakin lama keadaan itu sudah menjadi kebiasaannya.
Syukur kedua beradik itu yang menjadi tunjang kekuatannya sebagai ibu saudara. Hanania terbangun apabila terdengar bunyi bising dari rumah sebelah. Sejak mereka tiba di Pulau Pinang dua bulan yang lalu, apa yang dia dengari dari rumah sebelah bukannya gelak ketawa tetapi penuh dengan maki hamun. Macam manalah keluarga yang agak ramai itu tinggal di dalam rumah yang sempit itu. Tak dapat nak fikir langsung.
Hanania keluar untuk menjemput Mya akan sampai dari tadika tidak lama lagi. Dia mengukirkan senyuman pada seorang gadis yang mungkin umurnya lebih kurang dengan dirinya yang sedang berdiri di balkoni.
"Nak keluar?" tanya gadis itu sambil mengukirkan senyuman. Kali pertama bertegur sapa. Selama ini mereka tidak pernah terserempak.
"Hmm, nak ambil anak."
"Maaflah rumah saya bising sikit," katanya segan dengan pertelingkahan adik dan isterinya. Hanania hanya sekadar senyum. Dia tak mahu membalas apa yang diberitahu jirannya itu. Nanti kalau dia mengiyakan apa yang diberitahu, terasa pula hati jirannya itu. Hanania tunduk dan meminta diri untuk turun ke bawah.
Ketika Hanania dan Mya melangkah naik ke atas, gadis itu masih lagi ada di situ. Berdiri menghadap rumahnya.
"Hai, kakak." Mya terlebih ramah menegur. Mya senyum kepada gadis itu.
"Hai, baru balik ke?" tanyanya berbasa-basi kepada Mya. Mya angguk dan senyum lagi.
"Awak dari mana?" tanyanya lagi. Mungkin cara percakapan Hanania yang berbeza membuatkan dia bertanya.
"KL. Anak saudara saya belajar di USM. Sebab tu kami pindah ke sini," beritahu Hanania.
"Oh, yang tinggi lampai tu anak saudara awak? Saya ingatkan suami awak. Mya ni anak awak dengan dia." Nyata dia terkejut ketika mendengar bicara dari mulut Hanania. Kedua-dua mereka nampak sepadan. Ramai yang tersalah sangka kerana fizikal Syaqer meskipun umurnya masih muda. Syaqer matang lebih daripada usianya dan fizikal dia yang nampak seperti lelaki dewasa.
"Saya Naura. Awak? " Naura menghulurkan tangan untuk bersalam setelah lama berbual.
"Hanania, boleh panggil Nia. Kita tak pernah jumpa kan. Saya sibuk sebab baru pindah." Hanania senyum.
"Mama, Mya nak makan biskut semalam ya," beritahu Mya.
"Okey, jus ada dalam peti sejuk."
"Okey mama."
Hanania menepuk punggung Mya perlahan. Dia beralih kepada Naura semula.
"Anak awak nampak cerdik," puji Naura. Hanania ketawa kecil. Bangga dengan pujian itu. Hasil didikannya tanpa ibu mereka.
Sejak senyuman pertama yang dilemparkan dulu dia teringin sangat mahu mengenali Hanania. Naura renung wajah Hanania. Ada wajah ketabahan di situ. Kenapa dia tidak boleh mempamerkan wajah ketabahan seperti itu.
"Kenapa ada yang tak kena dengan wajah saya ke?" tanya Hanania apabila dia perasan Naura memandang wajahnya dengan lama.
"Hairan kenapa awak nampak tabah sedangkan saya tidak," katanya bagaikan cuba meluahkan isi hatinya yang telah lama terpendam. Hanania pandang Naura dengan pandangan pelik. Macam mana pula dia boleh nampak ketabahan di matanya.
"Ada waktunya saya tidak tabah. Maaflah saya bertanya, ada yang tak kena ke? Rasanya meluahkan perasaan pada orang yang baru kita kenal ini dapat meringankan beban. Lagipun saya ni pendengar yang baik," ujar Hanania mengukirkan senyuman. Naura ketawa kecil.
"Nanti awak tak dapat nak tahan sedih dengan cerita saya," kata Naura. Hanania ketawa kecil.
Ketika itu adik lelaki Naura melangkah keluar. Budak lelaki itu memandang mereka sekilas dan dia terus berlalu.
"Abang... tunggu," panggil si isteri dari di muka pintu dengan memakai baju sedondon dengan suaminya yang memakai baju berwarna merah. Aik! Tadi saja bergaduh sekarang dah baik. Dia terkedek-kedek mengejar suaminya.
"Macam tulah mereka berdua, Nia. Dalam bilik bergaduh sakan tapi bila keluar pura-pura romantik habis. Kalau hari tak bergaduh macam tulah," kata Naura lagi. Naura menggelengkan kepala. Tak benarkan mereka kahwin, si isteri kerap datang ke rumah mereka. Hinggakan tak mahu pulang. Bila dah berkahwin, macam-macam hal pula.
"Susah kan hidup berumahtangga ni," kata Hanania. Dia tahu Naura yang baru dikenalinya ini mempunyai masalah. Masakan tidak baru pertama kali bertemu dia sudah mahu bercerita tentang dirinya. Mungkin kerana dia berjiran dan selalu mendengar bunyi pergaduhan dari rumahnya. Sebab itulah Naura tidak segan-silu bercerita.
"Memanglah bagi yang bermasalah. Tapi kalau yang tiada masalah memang gembira. Saya bercakap dari pengalaman. Dua tahun tidak membawa apa makna dalam kehidupan rumah tangga saya. Mungkin salah saya agaknya," balasnya.
Hanania memandang Naura dengan terkejut. Sudah berkahwin rupanya. Tapi kenapa macam kecewa saja ayatnya tadi.
"Saya baru saja bercerai, sebelum kahwin semuanya serasi. Bila dah hidup bersama, barulah rasa rupanya indah khabar daripada rupa. Salah saya sebenarnya. Bekas suami saya tak salah," beritahunya dengan wajah sugul.
Naura mengeluh perlahan. Wajahnya terus sugul. Dia yang salah kerana mahukan cinta dia sanggup menipu. Bila penipuan terbongkar, padahnya dia dipaksa bercerai oleh mentuanya.
"Dah lepas. Nak buat macam mana. Sangkut dengan orang kaya sangat ni memang payah, Nia," luahnya lagi. Hanania masih lagi mahu mendengar cerita Naura tetapi Mya sudah memanggilnya. Lalu dia meminta izin untuk masuk ke dalam rumahnya.
"Naura nanti kita berbual lagi ya." Hanania muncul di muka pintu semula. Naura menganggukkan kepalanya. Hanania terus menutup pintu rumahnya.
YOU ARE READING
CINTA YANG TERTANGGUH
RomanceAdrish dan Hanania.. Pertemuan mereka bukan kerana cinta.