Bab 15

2.7K 35 0
                                    


TANGAN yang sedang menaip terhenti apabila ada sepasang tangan terletak elok di kiri kanan bahunya. Dia menggigit bibir geram. Sabarlah wahai hati! Hanania menggigit bibir. Hanania pura-pura jatuhkan penselnya dan dia terus menunduk untuk mengambil pensel yang dijatuhkan tadi. Lantas dia pura-pura bangun dan berdiri di agak jauh sedikit daripada Encik Fizi.

"Encik Fizi nak apa? Saya ada bawa ubat gatal tangan," perli Hanania. Dia buat-buat senyum manis.

"Aha, tangan saya ni gatallah. Awak boleh tolong garu tak?" Encik Fizi sengih dengan lagak gatal tak bertempatnya. Hanania menjuihkan mulutnya. Encik Fizi hulurkan tangan ke arah Hanania.

"Maaflah Encik Fizi saya baru saja keluar dari tandas. Melepas," kata Hanania. Dia sengaja menghulurkan tangan kirinya kepada Encik Fizi.

Encik Fizi segera bergerak jauh sedikit dari Hanania. Dia lelaki pembersih yang tak kena pada tempat. Padan muka! Desis hatinya. Hanania pandang ke arah Nivi yang tersengih. Dia membalas sengihan itu.

"Haisy, baru melepas nak menggaru tangan saya pula." Dia buat aksi geli-geleman.

"Encik Fizi yang suruh. Saya nak tolong garulah." Hanania sengih.

"Sudahlah." Dia terus berlalu. Padan muka!

"Terima kasih beritahu pasal apa yang Encik Fizi tu tak suka," ucap Hanania kepada Nivi. Dia duduk semula di mejanya. Dulu Hanania ingatkan Nivi itu gadis penyambut tetamu, tapi rupanya dia hanya menggantikan temannya.

"Tak apa. Dulu sebelum awak datang, saya yang kena. Saya dah selamat diganggu, tapi saya tak naklah awak juga terpaksa makan hati macam saya. Saya dah banyak kali nak berhenti kerja sebab gangguan Encik Fizi tu, tapi bila mengenangkan susah benar nak dapat kerja waktu sekarang saya bertahan saja," beritahu Nivi. Dia pernah senasib dengan Nivi. Agaknya kalau 10 tempat kerja pun dia akan diganggu seperti ini. Hairan sungguh apa yang ada dengan dirinya , Hanania tidak tahu. Orang yang gatal merenyam suka benar bagi gangguan seksual kepadanya.

"Saya pula macam kena sumpah. Masa di Kuala Lumpur dulu dua tempat kerja saya memang saya kena gangguan seksual. Siap main raba dada lagi. Sekarang sini pula. Tapi macam awak katalah susah nak dapat kerja sekarang. Kena pandai elaklah," ujar Hanania. Dia nekad akan melawan, tidak mahu lagi beralah dengan berhenti kerja.

Dengan gaji yang agak lumayan sekarang, Hanania akan terus bertahan demi Syaqer dan Mya. Dia tidak mahu terlalu bergantung dengan Syaqer yang ada pendapatannya sendiri dengan menjadi model pakaian mana-mana saja butik yang mahukan khidmatnya.

HANANIA pandang sekeliling. Mencari-cari Nivi dan Aqira yang terlebih dahulu sudah duduk di meja makan. Dia ternampak lambaian tangan Nivi. Dia segera menapak ke arah mereka. Dalam kekalutan berjalan, Hanania terlanggar seseorang. Hanania tertumpahkan air yang dibawanya.

"Maafkan saya," Hanania memohon maaf sambil memandang perempuan itu. Matanya beralih kepada skirt yang sudah basah di bahagian depannya. Sudahlah itu jus tomato yang dibawa dari rumah. Tidak tahu pula macam mana penutup bekas airnya itu tidak bertutup rapat.

"You ni jalan tanpa mata ke!?" agak kuat dan kasar perempuan itu bersuara.

"Saya minta maaf, cik," sekali lagi dia memohon maaf. Hanania tunduk. Kasihan dengan perempuan tinggi lampai ini. Teringat ketika kali pertama bertemu dengan perempuan ini di dalam lif. Bajunya kali ini tentu mahal juga.

"You ni kan, lain kali jalanlah elok sikit." Suaranya kendur sedikit.

Hanania pandang skirt perempuan itu yang basah sekali lagi. Alamak! Warna beige skirtnya sudah bertompok dengan warna jingga tomato. Perempuan itu menyapu skirtnya yang basah itu dengan tisu.

"Kenapa ni, Elise?" tanya satu suara. Hanania dan perempuan yang dipanggil Elise itu sama-sama menoleh ke arah suara tersebut. Lelaki tinggi lampai dan sudah semestinya kacak sedang berdiri melihat tompokan jingga di skirt Elise.

"I tak tahulah ini jus apa. Habis jingga skirt I." Elise pandang skirt yang baru pertama kali dipakai.

"Ini skirt yang I beli minggu lepas kan?" Lelaki itu cepat saja memegang hujung skirt Elise. Elise anggukkan kepalanya . Serentak dengan anggukan itu, mata lelaki itu mencerlung ke arah Hanania. Hanania telan liur. Rasa nak tercekik ketika itu juga.

"Kau buta ke!" jerkahnya. Siap menuding jari lagi kepada Hanania. Tergerak badan Hanania. Terkejut disergah dengan kuat.

Tersentap jantung Hanania apabila dijerkah begitu. Eh! Dia pula yang lebih-lebih, tuan punya badan yang terkena tak ada marah sangat.

"Tak buta pun ada mata lagi! Saya dah minta maaf," kata Hanania berani. Bagi Hanania jika dia sudah meminta maaf maknanya kesalahan itu datang daripadanya.

Lelaki itu mencerlung lagi, memandang Hanania yang begitu berani menjawab. Mana ada perempuan yang berani menajwab kata-katanya. Semuanya mengikut katanya meskipun hanya sekadar berkawan.

"Kau!"

"Rish! Sudah! I boleh beli yang lain. Dia pun tak sengaja. Basah sikit aje. You jangan melebihlah," kata perempuan itu. Dia cukup bimbang dengan kemarahan Adrish. Dia bukan Adrish yang dulu. Yang lembut hatinya dengan perempuan, meskipun selepas Zakirah meninggalkannya. Sejak kemalangan yang terjadi dulu, Adrish agak cengeng dengan perempuan.

"I tak kira, sekarang mari kita pergi dobi sekarang juga. Kau ingat skirt ni aku beli tepi jalan." Adrish tak puas hati. Jari telunjuknya ditudingkan ke arah skirt itu lagi.

Amboi! Sampai macam tu sekali. Tahulah kaya pun. Walaupun, Hanania tak kaya, dia juga tak pernah beli baju tepi jalan. Baju bundle pun dia tak pernah beli. Syaqer cukup menjaga pemakaiannya.

"Cepat, kita pergi," ajak Adrish. Dia tarik pergelangan tangan Elise. Hanania sudah berkira-kira mahu pergi.

"Eh, kau nak ke mana?" tanya Adrish. Dia memaku pandangan kepada Hanania. Terkaku langkah Hanania.

"Rish, sudahlah. I boleh suruh pembantu I basuh." Elise tidak mahu membabitkan lagi gadis itu. Melebih-lebih pula reaksi Adrish. Bukannya dia disimbah dengan air taik.

"Tak boleh. Kau ikut kita orang," tuding Adrish. Dengan menggunakan jari telunjuk dan tengahnya dia memanggil Hanania mendekatinya. Takut-takut Hanania menghampirinya. Hanania berpaling melihat Nivi dan Aqira. Muka Hanania tak usah cakaplah. Takut dan juga lapar.

"YOU ni gilalah, Rish. You nak biarkan I separuh bogel dalam kereta ni. Nanti apa kata orang kat luar," terjerit Elise apabila Adrish mengarahkan dia menanggalkan skirtnya.

"Kereta ni tintednya gelap. Tak ada orang akan nampak you separuh bogel. Melainkan you keluar dari kereta ni. Dah cepat tanggalkan," arah Adrish. Adrish masih di situ. Hanania pula hampir pengsan bila melihat drama sebabak di depannya.

"You ni melampaulah. You keluar dulu. Awak pun," kata Elise.

"Okey, okey. Macamlah I tak pernah tengok you pakai bikini." Adrish keluar dari kereta. Dia ketawa besar. Terlopong Hanania. Elise pernah pakai bikini? Agaknya pantai luar negara. Hanania dan Adrish berdiri di luar kereta. Cermin kereta terbuka sedikit dan Elise menghulurkan skirtnya.

"Cepat pergi basuh." Mata Adrish bagaikan mata helang yang sedang mencari musuhnya. Hanania melangkah masuk ke dalam kedai dobi. Diikuti oleh Adrish. Mujurlah kedai dobi ini menyediakan semuanya. Apa yang perlu hanya masukkan duit saja ke dalam mesin dobi layan diri.

Hanania duduk sementara menanti skirt selesai dibasuh. Rimas pula bila Adrish juga duduk di sisinya. Dia ni, macamlah tak ada kerusi lain, Hanania menceceh dalam hati. Dia menjeling sekilas.

"Lain kali kalau berjalan, mata letak kat tempatnya. Jangan letak di lutut. Payah kalau mata letak kat lutut." Adrish masih lagi tak puas menyindir.

"Encik, saya sudah minta maaf. Encik tak puas hati lagi. Bukannya saya sengaja. Mata saya ni tak akan terletak di lutut. Sebab Allah dah letak elok di tempatnya. Kita sebagai manusia ni, baharu. Tak terlepas daripada kesalahan. Sampai bila-bila pun, kita tak akan jadi sempurna macam nabi. Saya dah selesai basuh dan keringkan. Cik Elise dah boleh pakai terus skirt ni." Hanania hulurkan skirt itu. Selepas saja Adrish menyambut skirt itu, dia terus berlalu pergi. Termangu-mangu Adrish ditinggalkan Hanania.

CINTA YANG TERTANGGUHWhere stories live. Discover now