A…A..…Pak Itam kaki hisap, kaki tipu!
A..A…Pak Itam, tua tempang, hidup malang!
Kesian dia, pedulikan dia…
Nyanyian mereka berulang-ulang seperti perakam suara yang rosak dan tidak dapat aku hentikan .Terus menerus melodi nyanyian itu diulangi dan mereka kini berlari mengelilingi ku dengan gelak ketawa kecil yang comel.
Kaki tua ini terus melangkah perlahan-lahan berbantukan tongkat usang yang aku buat sendiri dari kayu rotan di hutan. Terasa perjalanan ini terlalu panjang dan apabila ditemani dengan nyanyian mereka ini, aku tahu ia tidak mungkin berpenghujung.
Dahulu, aku bukan begini. Aku angkuh dan dunia ini bagiku satu permainan anak-anak bagiku. Aku tidak pernah takut pada sesiapa! Tidak penting dan tidak bermakna. Itulah bagiku dunia ku, masa depan ku- ia tidak punya nilai.
" Gua nampak bintang!" katanya sambil ketawa berdekah-dekah. Di tangannya terdapat jarum suntik yang dicuri dari farmasi tempoh hari.
Abie menghulurkan jarum suntik itu pada seorang remaja lelaki yang duduk bersandar dengan kakinya terhulur lemah, cuma bersarungkan seluar' jeans' yang koyak. Remaja lelaki yang kurus dan selekeh itu mengambilnya gembira.
" Gua nak tengok juga bintang. Bintang syurga. " Remaja itu ketawa seakan gila. Dengan angkuh, dia berdiri kemudian terkinja-kinja cuba mencapai langit yang gelap di angkasa. Abie yang memerhati , ketawa melihat kelakuannya dan apabila dia terjatuh kerana tidak dapat menyeimbangkan diri, ketawa mereka semakin kuat. Berdekah-dekah dan bersahut-sahutan seperti dubuk di padang afrika. Ini yang terlihat di mata mereka, dunia halusinasi yang tercipta dari serbuk bewarna putih yang sering dijadikan teman dikala kebosanan.
------------------------------------------------------------------------------------------
A…A..…Pak Itam kaki hisap, kaki tipu!
A..A…Pak Itam, tua tempang, hidup malang!
Kesian dia, pedulikan dia…
Aku tersedar dari kenangan yang telah terbang terlalu jauh itu. Telingaku kini kembali menangkap melodi nyanyian itu di alam nyata ini. Ianya bergermesik mendayu-dayu mengikuti setiap langkahku dan apabila tiba-tiba ia berhenti, aku lihat salah seorang 'penyanyi kecil' itu terjatuh.
Aku hulurkan tangan ingin membantunya berdiri. Dia tidak menyambut tanganku, sebaliknya dengan kudrat yang ada, dia berlari mengikut teman-teman ciliknya meninggalkan aku. Sempat dia menoleh dan menjelirkan lidahnya mengejek diriku.
Mereka berteriak.
" Eee….. Pak itam busuk!"
Kemudian dengan ketawa yang kuat, mereka berlari menyelit-nyelit di celah-celah mereka yang dewasa.
" Ish.. budak-budak ni. " rungut Nazri, si penjual sayur yang gerainya sering ku kunjungi. Nazri mengalihkan perhatiannya padaku.
" Diorang tidak hormat langsung orang tua!" Nazri masih merungut. Matanya yang jernih itu menunjukkan rasa kemarahan.
Hati siapa yang tidak panas melihat kanak-kanak itu mempermainkan seorang tua yang tempang. Ejekan mereka itu dan nyanyian mereka itu kini mempengaruhi kanak-kanak di kampung sebelah malahan kadang-kadang Nazri mendengar mereka menyanyikannya di sekolah.
Nazri, mereka cuma anak kecil yang masih naïf. Mereka masih tidak mengerti bahawa hati yang tua ini masih boleh terguris.
" Nah pakcik. Ambillah daging ayam ini. Saya ada lebih."
Aku lihat Nazri menghulurkan sebungkus plastik berisi daging ayam berserta sayur kangkung yang aku pesan.
" Ish.. tidak payahlah."