Amran perlu tunjukkan pada kawan2nya bahawa dia boleh memberi sumbangan dalam projek raksasa mereka. Dia sudah ada sasaran tertentu dan dia tak akan tukar sasaran lain. Hanya basikal Tuk Said yang sering ditunggangi Fariha sahaja sasarannya yang satu.
Masalahnya, bagaimana harus Amran mengayat Tuk Said untuk sudi pinjamkannya basikal? Sedangkan sudah dipersetujui dalam mesyuarat pertama, hanya ahli projek saja yang boleh tahu tentang projek merayau ke Bahau itu.
Apa yg harus diberitahunya kepada Tuk Said kalau dia nak minta pinjam basikal? Tambah pula, Tuk Said sebagai ketua kampung tentu ada urusan yang lebih penting untuk dilayannya. Otak Amran tak berhenti memikirkan perkara tersebut.
"Ombung.." lamunan Amran terganggu. Nora tercegat di hadapannya bersama sehelai kertas.
"Mintak tolong sikit ha.. Tolong mintak sain Tuk Said kek borang nia.. Esok kono hantar kek sekolah" jelas Nora. Amran senyap sahaja.
"Ala.. tolong la.. Udo ado kojo ghumah nak buek ni. Ombung tu bukan tak biaso meghayau jauh2. Ghumah Tuk Said tu pun bukan jauh bona. Tolong la.." rayu Nora. Kesenyapan Amran seolah2 menceritakan ketaksetujuannya. Sedangkan hati Amran sudah mula ditumbuhi putik2 bunga bila mendengarkan permintaan adiknya itu. Berurusan di rumah Tuk Said membawa bersama kemungkinan bersua dengan buah hati. Sudah terbayang dalam fikirannya, semasa berurusan dengan Tuk Said, muncul Fariha dari dapur membawakan kopi o dan goreng pisang. Dia akan menikmati kopi o dan goreng pisang itu macam hidangan dari syurga, dihidangkan oleh seorang bidadari.