"I'm sorry.."
" Eh, awak?"
Alisya terkejut apabila terlihat Ris berdiri di bawah tiang lampu jalan . Dia langsung tidak menyedarinya. Mana kan hendak disedarinya apabila dia dari tadi berjalan dengan wajah yang menunduk ke tanah.
Jadi dia juga tidak tahu yang Ris sudah berada di sini sejak dua jam lepas. Menantinya.
Menanti dirinya yang tidak balik sejak petang tadi.
Ris mendekati Alisya. Mengetahui hanya jalan ini satu-satunya menuju ke banglo biru, Ris tahu di laluan ini mereka pasti ketemu.
Wajah Alisya direnung dan pandangannya menjalar jatuh ke jari manis Alisya. Tiada cincin di jari manisnya. Cincin yang disarungnya. Jernih matanya berubah menyembunyikan rasa kecewa.
" Aah, saya memang tunggu awak. Mari, kita pulang bersama." ajak Ris.
"Tadi awak ada kata sesuatu ke?"
Tiada balasan dari Ris.
Fikir Alisya mungkin dia tersilap dengar.
Mereka berdua berjalan beriringan saling membisu.
Berdiri di sisi Ris, Alisya perasan yang Ris lebih kurang tinggi Neal. Jalannya teratur dan setiap langkahnya sentiasa mengikut rentak langkah Alisya, sentiasa memastikan Alisya tidak ketinggalan jauh darinya. Berbanding dengan Neal yang sentiasa berjalan di depannya,menonong.
Namun walaupun dirinya jauh di belakang Neal, dia rasa begitu selesa berbanding Ris yang membuatkan dia rasa kekok.
" Dah seminggu kan? Tapi, awak masih tidak mengingati saya." kata Ris.
Alisya serba salah.
" Alisya, saya tak kisah berapa lamapun masa yang awak perlukan untuk mengingati tentang saya dan tentang kita. Bagi saya sudah cukup yang awak tahu yang saya amat mencintai awak. Malah, jika untuk selama-lamanya pun awak tidak mengingatinya, tidak apa. Saya akan terus mencintai awak, seperti ini. "
Langkah kaki Alisya terhenti. Dia merenung Ris, lelaki yang muncul sebagai tunangnya ini.
" Jadi, awak tak perlu rasa bersalah atau kekok bila bersama saya. Awak boleh ambil seberapa banyak masa untuk menerima saya. " tutur Ris lembut.
Alisya tahu Ris tidak putus-putus berusaha untuk menceriakannya. Malah Ris juga sedaya upaya cuba mewujudkan keselesaan dan mendekatkan jurang antara mereka. Sikap Ris yang memahami dan sangat bertolak ansur membuatkan Alisya merasakan yang dirinya seorang wanita yang beruntung menjadi cinta hati dan tunang Ris. Tetapi, mengapa dia tidak gembira?
" Jika awak tidak ingin pulang ke L.A bersama saya, saya faham."
" Tidak, saya ingin kembali bersama awak." bantah Alisya keras.
" Saya ingin pergi dari sini..." kata Alisya perlahan.
"Ah bukan, maksud saya, cerita kita, kisah kita, saya ingin mengingatinya semuanya. Sebagaimana, saya mencintai awak... segalanya. " jelas Alisya cepat-cepat.
" Kita akan kembali seperti sedia kala. " janji Alisya.
"Emm..Begitukah.. Ah, Baguslah!" sahut Ris bersetuju. Dia terus memimpin tangan Alisya dan mereka berdua beriringan berjalan.
Ris tidak henti-henti bercerita. Cuba menceriakan Alisya, cuba membuatkan Alisya ketawa dan tersenyum. Namun bagi Alisya, semakin Ris cuba, semakin kuat dia teringatkan Neal. Mereka berdua individu yang jauh berbeza.
Wajah Ris tak lekang senyum dan sentiasa kelihatan ceria. Memandangnya sama seperti melihat mentari yang bersinar. Cahayanya tenang dan selamat.
Neal pula seperti bulan mengambang di dalam malam yang pekat. Cahayanya sangat dingin dan begitu jauh.
Namun, kenapa mesti cahaya bulan itu juga yang mencuri pandangan?
Dia tak mampu meluahkan pada Ris betapa terseksanya dirinya saat ini.
Peritnya saat Neal membuat keputusan untuk melepaskannya.
Mereka yang saling merindui, bertemu dan berpisah lagi.
Mungkin ini yang terbaik?
Dia ada hidupnya sendiri, iaitu bersama Ris. Neal juga ada kehidupannya. Mereka sepatutnya tidak patut mengingati apa yang patut dilupakan.
Memori ini teruk!
" Ah, bulan malam ni cantik! Tengok!" teriak Ris tiba-tiba.
Alisya mendongak merenung langit dan bulan yang mengambang. Tiba-tiba Ris mengeluarkan batu kecil dari poket seluarnya dan meletakkannya di telapak tangan Alisya.
" Untuk semua yang ingin dilupakan, ada ini."
" Apa ini?"
" Batu kecil yang akan jadi pelindung awak. "
Alisya tidak mengerti.
" Setiap kali, awak teringatkan dia, lihat ini dan bina tembok di hati awak." kata Ris.
"Saya tahu yang hati awak bukan milik saya lagi. Tetapi, awak ingin pergi dari sini, ingin pergi dari dia. Jadi, benarkan saya yang membawa awak pergi."
YOU ARE READING
Berikan ku jawapan (edited and completed)
RomanceApa itu cinta?.. Sejauh mana kita sanggup lakukan untuk sebuah kisah bernama cinta?Bagaimana cinta mengorak sebuah kehidupan? Neal menjalani kehidupannya dengan sempurna, kerjayanya, kawan-kawannya dan kekasihnya. Namun, di sebalik semua itu... ter...