Ketukan pintu membuatkan tingkah Farhan yang sedang menyikat rambut terhenti. Wajah Arshad menyapa pandangan mata sebaik sahaja pintu dibuka. Kening dijongket mengganti bibir meluahkan pertanyaan.
“Abang Ashraff ada dekat bawah. Dia nak jumpa angah.”
Tidak membalas, Farhan bergerak turun. Jarang-jarang Ashraff cari dia sampai ke rumah Tengku Ahmad memandangkan mereka berdua tinggal di rumah sewa yang sama. Malam ini dia terpaksa pulang ke rumah Tengku Ahmad kerana esok dia akan berangkat ke luar negara.
Ashraff dipandang sekilas. Kemudian, dia duduk di atas sofa bertentangan. Belum sempat dia hendak mengeluarkan suara, Ashraff terlebih dahulu melempar dompet ke arahnya.
“Kau datang nak bagi ni je?” Pertanyaan Farhan dibalas dengan gelengan.
“Aku ada hal sikit nak tanya kau. Laporan sebelum ni kau yang buat, kan?”
“Bukan aku. Sepatutnya Megat Raiz yang buat sebab dia ada dekat tempat kejadian. Kenapa kau tanya? Kes tu tak selesai lagi?” Hairan pula Farhan dibuatnya.
Dengar khabar kes kematian yang dikendalikan oleh Ashraff dan Megat Raiz hampir selesai. Namun kenapa diungkit di hadapan dia pula?
“Tak. Semalam baru tambah seorang lagi mangsa, meninggal juga. Setakat ni ada 15 kes sama.”
“Punca?” Farhan bersandar pada sofa sambil tangan disilangkan di dada. Dia tak berapa faham tentang kes itu memandangkan dia tidak terlibat sekali. Ditambah pula kesibukannya mengendalikan kes lain membuatkan dia tidak peka tentang itu.
“Kegagalan jantung berpunca daripada serbuk asing yang beracun.” Sehelai kertas dihulur kepada Farhan.
“Aip! Dekat rumah pun bincang pasal kerja ke?” Teguran Puan Zulaikha membuatkan Ashraff tersengih. Wanita itu letak dulang teh di atas meja, kemudian teh dituang ke dalam cawan.
“Sambunglah bincang, mama nak pergi dapur dulu. Ashraff kalau lapar, dekat meja ada makanan.”
Ashraff angguk tanda faham. Figura Puan Zulaikha yang beredar ke dapur dipandang seketika. Nafas lega dihela.
“Nasib baik mama kau. Kalau papa kau, tak pasal-pasal aku kena bebel.” Perlahan Ashraff berkata.
Farhan mendecit dengan senyuman tipis. Tengku Ahmad bukannya berminat sangat dia kerja sebagai seorang polis dan asyik mendesak dirinya untuk bekerja di syarikat.
Farhan enggan kerana menjadi seorang polis adalah impiannya. Sayanglah jika dia berhenti sekarang.
“Kenapa kau cakap pasal ni dekat aku?” soal Farhan. Kertas tadi diletak di atas meja.
Ashraff yang baru menyisip teh mengalih pandangan ke arah Farhan. Sengihan ditayang semula.
“Alang-alang kes yang kau tangani dah selesai, aku nak ajak kau bergabung.” Kata-kata Ashraff mengundang kerutan di dahi Farhan.
“Kan Megat Raiz dah ada. Apa hal pula tarik aku sekali? Kau ni memang tak boleh tengok aku senang ke apa?”
“Memang pun. Mata aku sakit bila tengok kau duduk diam.”
Farhan angkat kaki lalu betis Ashraff ditendang. Sakit hati pula dia dengar. Ashraff hambur tawa kecil.
“Isteri Megat Raiz kemalangan petang semalam. Teruklah juga cedera. Jadi, dia ambil cuti nak jaga anak dan isteri dia. Sebab tu aku heret kau,” jelas Ashraff.
KAMU SEDANG MEMBACA
TAKDIR DIA
Action[COMPLETE] [ACTION/ROMANCE] Tragedi yang meragut nyawa seseorang dan kehadiran bayi lelaki merubah hidup Wana sepenuhnya. Wanita itu terpaksa menghadapi bermacam tuduhan serta kata makian. Saat bahaya mendekat, Farhan datang melindungi. Misi yang di...