"Assalammualaikum," tegur Izzah. Sopan, penuh kelembutan. Juga malu. Masih terasa macam mimpi apa yang berlaku tadi. Cincin belah rotan, dan cincin berlian bermata satu yang tersarung di jemari mulusnya, Izzah usap perlahan.
Tak menoleh, Izzah hanya dilihat melalui ekor mata sahaja.
"Waalaikumussalam." Acuh tak acuh. Tak sudi. Tiada segaris senyum pun yang Ibra pamerkan. Namun salam itu berdosa kalau Ibra tak jawab.
Izzah senyum lagi. Berfikiran positif. Mungkin... Abang Ibra malu. Dan nervous. Macam yang Bonda Ammara bagitau tadi.
"Boleh Izzah duduk?"
Ibra pandang beberapa bangku besi yang ada tidak jauh dari bangku besi yang dia duduk.
"Duduklah. Sini ada banyak kerusi kosong."
Dada tengah panas. Api dah mula menyala. Namun kehadiran Izzah yang lemah gemalai sikit pun tak mampu buat hati Ibra Iskandar sejuk.
Mengambil tempat di bangku paling dekat dengan Ibra Iskandar, Izzah tunduk menekur rumput karpet yang terbentang. Hasrat hati mahu menanti sang tunang memulakan bicara. Namun, hampir seminit dia di situ, lelaki itu tetap bisu.
"Errr... nak borak apa eh?" soal Izzah. Masih berharap Ibra tunjukkan rasa teruja lebih dari dirinya.
Izzah dah mulakan pun, Ibra masih kaku.
Tiada jawapan dari Ibra Iskandar. Yang ada hanyalah kedua-dua bahu yang dijongket tinggi bersama wajah yang dihalakan ke arah lain. Tidak kepada Izzah.
Izzah masih tersenyum. Cuba berbaik sangka sebaik mungkin.
"Erm... macam tak percaya kan, abang? Masa kecik-kecik dulu, kita selalu main kahwin-kahwin, main sanding-sanding."
Angin malam menampar muka. Dingin. Tapi entah kenapa cuping telinga Ibra mulai hangat. Dadanya berombak lebih tinggi dari tadi. Kata-kata Izzah ibarat petrol yang menyimbah api yang sudah menyala.
"Tak sangka bila dah dewasa, kita betul-betul akan kahwin. Kan?"
Sumpah. Ibra rasa nak meletup.
"Masa Bonda Ammara dan mama bagitau nak satukan kita, Izzah tak sangka secepat ni. Izzah..."
"Izzah."
Belum habis Izzah meluahkan rasa bahagianya, Ibra lebih pantas mencantas. Tidak mahu pohon yang bondanya dan mama Izzah tanam, mulai berputik.
"Errr... ya?"
Ibra Iskandar berdiri tegak. Setelah sekian lama Izzah di situ, baru ini dia menghalakan pandangannya menghadap Izzah.
Merenung gadis itu, tiada apa yang kurang pada Izzah. Cantik, lemah lembut, sopan santun, manis bertudung litup. Bukan calang-calang orangnya, lulusan luar negara. Bukan itu sahaja, pekerti gadis itu juga mulia di mata Ibra. Apa lagi? Ya. Gadis di hadapannya itu masih anak dara. Muda.
Tapi...
Itulah. Tetap ada 'tapi'nya pada Ibra.
"Izzah, abang minta maaf. Izzah perempuan yang baik. Izzah cantik, berpelajaran. Tak ada apa-apa yang kurang pada Izzah. Tapi... abang minta maaf. Dari dulu sampailah ke saat ni, abang cuma anggap Izzah macam adik abang."
Riak wajah gadis itu berubah. Kelu. Matanya terpaku di wajah Ibra. Lidahnya mengeras. Bisu.
"Abang tak cintakan Izzah. Dan takkan cinta. Pertunangan ni sepatutnya tak berlaku sebab tak ada apa-apa perbincangan dan persetujuan dari abang. Percayalah, hubungan ni takkan ke mana. Dan kerana abang hormatkan Izzah, abang terus-terang. Abang tak nak berpura-pura. Abang tak nak tipu Izzah. Permainkan Izzah. Jadi suami Izzah, sedang hati abang untuk perempuan lain. Abang memang tak boleh teruskan. Kalau hubungan ni diteruskan, abang jamin, Izzah akan menyesal. Abang minta maaf. Abang pergi dulu."
Ibra Iskandar mengatur langkah berlalu. Sementara Izzah, terkedu. Seakan baru terjaga, Izzah menyedut nafas dalam-dalam. Menghembus berat. Sedikit mencungap. Seakan sahaja nyawanya terputus sekejap saat Ibra luahkan segalanya.
YOU ARE READING
BUANG SEGALA TENTANG DIA
RomanceBUANG SEGALA TENTANG DIA telah diterbitkan. Untuk pertanyaan atau tempahan sila WhatsApp admin di talian 011 1106 7072 www.wasap.my/601111067072/wattpadbuangsegalatentangdia