Bab 1

142 1 0
                                    

Tahun 1990

Kampung Gelam Tikus

"PADA abad yang ke 19, muncul banyak pondok-pondok agama di Tanah Melayu. Semuanya berpunca daripada pergolakan politik di Pattani. Ramai ulamak keluar dari negara asal lalu berhijrah ke Kedah, Terengganu dan Kelantan. Pondok-pondok didirikan supaya pendidikan Islam terus hidup dalam kalangan anak-anak muda.

Sejak itu sistem pengajian pondok terus berkembang ke negeri-negeri lain kerana masyarakat dahagakan ilmu agama. Mereka memerlukan satu tempat khusus untuk belajar dan merujuk. Dengan itu juga, saya berpendapat bahawa sudah sampai masanya tempat kita juga mempunyai sekolah pondok sendiri yang lebih tersusun. Kerana yang paling dekat pun teramat jauh untuk kita pergi; dan pengajian yang kita jalankan sekarang tak cukup untuk menampung keperluan." Ustaz Muiz menjelaskan hal itu kepada semua yang dijemput ke rumahnya petang itu.

Imam Daud, Ustaz Majdi, Tok Empat Abu, Karim dan beberapa orang kampung yang hadir di rumah Ustaz Muiz terdiam dan termenung. Saranan itu agak mengujakan namun dalam masa yang sama terasa berat untuk dilaksanakan.

"Di mana kita nak dirikan tu, ustaz?" tanya tok imam apabila yang lain senyap sunyi seperti kehilangan punca.

"Saya sudah berbincang dengan Ustaz Majdi." Ustaz Muiz memandang Ustaz Majdi yang merupakan bapa saudaranya juga. Ustaz Majdi yang sudah berusia 73 tahun sekadar angguk perlahan.

"Saya bercadang hendak menyerahkan tanah kebun saya tu sebagai tapak madrasah. Luasnya dalam lima ekar. Segala modal pembinaan bangunan dan pengurusan termasuk pendaftaran akan kami uruskan perlahan-lahan. Sekiranya ada yang hendak memberi sumbangan dalam bentuk tenaga atau duit, saya amat mengalu-alukan. Biarlah semua ini menjadi bekal kita di akhirat kelak."

"Tok tak ada halangan. Tok yakin orang kampung juga akan membantu sedikit sebanyak nanti. Mudahlah orang Kampung Gelam Tikus dan kampung-kampung berdekatan belajar daripada ustaz berdua." Imam Daud membalas. Yang lain terangguk-angguk meskipun ada riak bingung pada wajah masing-masing.

"Alhamdulillah. Mohon tok hebahkan nanti dan tolong fikirkan apa yang baik untuk rancangan kita ini. Maklumlah kerjanya bukan ringan namun kita harap ada berkat dan reda Allah dalam usaha kita untuk memastikan masyarakat setempat hidup bersumberkan wahyu Al-Quran dan sunnah nabi. Kita semua sedar yang kita sedang menuju ke akhir zaman di mana memegang teguh agama itu seperti menggenggam bara api. Anak-anak muda di kampung kita ini pun nampaknya dah ramai yang terpengaruh dengan gaya hidup barat."

Ustaz Muiz merenung dalam wajah Imam Daud. Besar harapannya di situ agar mendapat sokongan ahli-ahli agama dan semua orang kampung. Besar harapannya agar satu hari nanti mampu menyebarkan ilmu agama yang telah dipelajari bertahun-tahun di banyak negara, kepada sesiapa sahaja yang ingin datang belajar. Tidak kira umur dan jantina. Tidak kira latar belakang dan bangsa.

Bukan habuan ringgit yang dicari namun reda Allah. Dia selalu percaya, ada sebab kenapa dia dipersiapkan dengan ilmu agama sebegitu rupa dan sudah menjadi tugasnya menyampaikan, membimbing dan memberi faham orang lain pula dengan sedaya upaya. Dia hanya berikhtiar dengan segala pengetahuan yang dia punya dan berharap agar orang lain lebih mengenali pencipta dan kembali ke jalan Allah. Itu sahaja.

"Insya-Allah, kami akan bantu. Dengan wang, tenaga dan masa yang kami ada," sambut Imam Daud yang sudah berpuluh tahun dilantik menjadi imam di masjid itu. Juga merupakan salah seorang waris tertua yang masih ada selain Ustaz Majdi dan beberapa orang tua lagi.

"Alhamdulillah. Kita semua tahu bahawa nusrah atau pertolongan Allah swt itu akan turun apabila dalam jamaah ada kesatuan hati. Disebabkan itu sangat penting apabila kita semua bersatu hati atas jalan Allah."

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 01, 2019 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

LARA WIRANGWhere stories live. Discover now