Dua buah kereta berhenti di perkarangan rumah Wan Deejah. Farhan mengorak langkah ke arah kereta tersebut. Masa orang datang nilah Syah pergi kedai. Nampaknya, dialah kena tangani tetamu.
“Assalamualaikum,” Adriq memberi salam. Tangan dihulur, menjabat tangan milik Farhan.
“Waalaikumusalam.” Farhan melorek senyuman nipis. Danish dan Andi yang menghampiri turut berjabat tangan.
“Tumpang tanya, yang mana satu rumah Shafwana Farhannah?” tanya Adriq.
“Kawan-kawan Wana?” Soalan dibalas soalan. Adriq angguk mengiakan.
“Marilah masuk. Wana ada dekat dalam,” pelawa Farhan. Langkah diatur ke arah pintu di mana Asrul sudah pun tercegat sambil berpeluk tubuh.
Hairan juga dia akan lelaki itu. Tak kerja ke? Ada sahaja masanya nak melepak di rumah Wan Deejah. Oh lupa! Kerja dekat kebun sendiri, bolehlah ponteng sesuka hati.
“Aiman! Janganlah ambil! Tu kak ngah punya....” Dari muka pintu kedengaran suara Wana. Pasrah wanita itu apabila diusik Aiman. Habis separuh aiskrimnya dimakan!
“Abang Syah cakap tak elok makan aiskrim banyak sangat. Disebabkan kak ngah degil, nak tak nak Aiman kena makan separuh.” Ujar Aiman.
“Aisya, abang lupa ambil buah tangan. Abang pergi ambil sekejap.” Kata Adriq sebelum sempat dia tiba di hadapan pintu.
Aisya anggukan sahaja. Kelibat suaminya yang beredar ke kereta dipandang sesaat.
“Ish! Merajuklah!” Dengus Wana. Cemberut mukanya kerana geram akan sikap Aiman.
Langkah diatur ke ruang tamu. Kakinya terhenti di hadapan muka pintu apabila ruang pintu sesak dengan manusia. Dahi berkerut kecil memandang seraut wajah Aisya.
“Awak siapa?” tanya Wana.
Aisya pula terkaku tanpa kata-kata. Perasaannya bercampur baur, namun rindu lebih mengatasi. Bibir sudah bergetar ingin menghamburkan tangisan. Tangan teragak-agak ingin memeluk tubuh sahabatnya itu.
“Kawan encik ke?” tanya Wana lagi. Kali ini matanya terarah ke arah Farhan. Aisya tidak mampu menahan lagi desakkan kata hatinya, tubuh Wana terus dipeluk erat.
“Kau tak ingat aku? Aku Aisya,” kata Aisya. Wana tidak mengendahkannya malah mata tertumpu ke arah gerangan lelaki yang semakin menghampiri. Kepala yang sakit mencengkam dipegang dengan dahi yang berkerut. Mata tetap tidak dialihkan daripada lelaki itu.
“Wana mengandung.” Suaranya seakan bergema di dalam kepala. Entah bila masa dia mengucapkan kalimat tersebut.
“Wana mengandung.” Ia terus-terusan bergema sehinggakan Wana tidak mampu menampung rasa sakit kepalanya.
Tubuh mula lemah dan longlai dalam pelukan Aisya. Farhan yang melihatkan itu laju mencempung Wana ke sofa. Mahu dihantar ke bilik, dia tidak berani menjejakkan kaki ke dalam sana.
“Wana.... Wana....” Panggil Farhan disertakan tepukan pada bahu. Segelas air suam di atas meja dicapai lalu direnjiskan ke muka Wana.
“Kenapa dengan Wana?” Syah yang baru pulang menyoal. Segera adiknya dihampiri.
“Adriq... siapa Haris?” Gumam Wana hampir tidak kedengaran. Matanya hanya celik sedikit dan terpejam tidak menyedarkan diri semula.
KAMU SEDANG MEMBACA
TAKDIR DIA
Action[COMPLETE] [ACTION/ROMANCE] Tragedi yang meragut nyawa seseorang dan kehadiran bayi lelaki merubah hidup Wana sepenuhnya. Wanita itu terpaksa menghadapi bermacam tuduhan serta kata makian. Saat bahaya mendekat, Farhan datang melindungi. Misi yang di...