BAB 11

3.9K 160 2
                                    

Sebuah rumah agam mewah sudah dikelilingi anggota polis. Masing-masing menunggu arahan untuk menyerbu masuk ke dalam.

Selang beberapa saat, isyarat arahan diberi. Terus mereka masuk ke dalam. Mulalah huru-hara tempat itu dengan manusia yang bertempiaran lari dan bunyi tembakan tidak henti-henti.

Masing-masing berbalas tembakan untuk menyelamatkan diri. Bagi anggota polis yang terlibat pula, itu kerja dan tanggungjawab mereka menangkap penjenayah. Meski tahu risiko akan terkorban dalam situasi sebegitu, mereka sedikit pun tidak gentar.

Pertumpahan darah berlaku. Rata-rata mayat terbaring di atas lantai. Ada juga yang sudah digari tanpa sebarang kecederaan.

Farhan mengatur langkah agak laju menuju ke tingkat atas bersama Ashraff. Habis bilik mereka geledah untuk mencari penjenayah yang masih bersembunyi. Tembakan dari tingkat bawah masih kedengaran menandakan ada lagi penjenayah di rumah itu yang belum ditangkap.

Terhenti langkah Farhan apabila mata disapa dengan beberapa orang wanita berpakaian seksi. Rumah banglo ini bukan sahaja menjadi sarang penjenayah malah merupakan sarang maksiat.

Semua wanita yang berada di situ dibawa turun ke bawah. Rontaan dan rayuan untuk dilepaskan langsung tidak dihirau. Jika mereka mangsa, sudah pasti pihak bertanggungjawab tidak akan memenjarakan mereka. Namun dilihat daripada tingkah laku mereka serta percakapan, mereka bukanlah mangsa. Sebaliknya turut terlibat!

“Siapa ketua kalian?” Ashraff menyoal.

“Jawab! Siapa ketua kalian?” Soalan diulang, tetapi dengan nada yang lebih tegas. Bengang dirasakan apabila tiada sesiapa menjawab seolah-olah lidah mereka sudah dipotong.

“Cik bagitahu kami, siapa ketua yang memberi arahan di rumah ini?” Farhan beralih ke arah tahanan wanita memandangkan tahanan lelaki tiada tanda-tanda ingin menjawab.

“Tak tahu,” jawabnya serentak kepala digeleng.

“Betul tak tahu?” Farhan menyoal lagi.

“Betul.”

Nafas dihela lelah. Farhan menghampiri Ashraff yang masih mengaju pertanyaan. Sekilas matanya meliar memandang sekeliling.

“Mereka tak nak bercakap juga?” soal Farhan. Ashraff menggeleng sedikit pasrah.

“Biar aku cuba sekejap,” pinta Farhan. Ashraff merupakan ketua dalam misi dan kes kali ini. Jadi, dia perlu menghormati Ashraff selaku ketua.

“Tak ada sesiapa nak cakap siapa sebenarnya dalang utama di sebalik jenayah yang kalian buat?” Soal Farhan setelah Ashraff berundur selangkah untuk memberi ruang.

“Kalau kalian tak cakap, apa manfaatnya dekat kalian sedangkan kalian akan masuk penjara juga? Tapi dia... bebas di luar sana dan sakiti orang lain pula. Perkara ni akan berlanjutan. Mungkin keluarga kalian akan menjadi mangsa dia nanti.” Ujar Farhan.

“Cakap senanglah,” gumam salah seorang mereka. Kedengaran sayup-sayup sahaja suaranya di pendengaran Farhan.

“Tuan....” Seorang lelaki yang berada di belakang sekali mengangkat tangan. Habis semua mata terarah ke arahnya.

“Ya?” Sahut Farhan.

“Lelaki tu... jarang nak tunjukkan wajah, tapi ada satu benda yang boleh pastikan dia ialah ketua. Tatu pada pergelangan tangan dia.” Ujar lelaki itu.

“Kau tahu tatu dia ada bentuk apa?” Soalan Farhan dibalas anggukan.

“Dasar pengkhianat! Kalau keluarga aku mati, kita jumpa di neraka!” Jerit salah seorang lelaki. Bengang riak wajahnya kelihatan.

TAKDIR DIATempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang