Berkerut muka Farhan dengan tangan gigih cuba memasang butang baju melayu. Susah betul! Selalunya Puan Zulaikha yang akan tolong dia pasang butang sebegitu.
“Dari tadi lagi kau ni. Tak sudah-sudah lagi?” Ashraff bercekak pinggang. Butang baju melayu diambil, kemudian Ashraff tolong pasangkan. Setengah jam dia tengok Farhan cuba pasang, tapi tak lepas-lepas.
“Cari isterilah suruh pasangkan butang tu,” kata Asrul. Ashraff selamba menghamburkan ketawa.
“Jangan cakap isteri, calon pun aku tak nampak lagi. Farhan ni mana ada kawan perempuan. Kawan sekerja perempuan pun dia tak pandang.” Ujar Ashraff.
“Jangan cakap kau ni....” Asrul kecilkan mata sebelum badannya menggelentik ngeri.
Tidak semena-mena kaki Farhan naik menendang pahanya. Mulalah tawa Ashraff dan Asrul terhambur.
“Mana ada. Tak guna betul kau ni!” Jelas tidak puas hati air muka Farhan. Boleh pula Asrul usik dia sebegitu hanya disebabkan dia tiada kawan perempuan. Kalau didengar dek Puan Zulaikha, mahu mengucap mamanya itu. Terus dicarikan calon isteri dan dipaksa kahwin bagi mengelakkan anaknya terpesong.
“Dah siap dah.” Ashraff menepuk dada kiri Farhan beberapa kali.
“Anak kau dah datang tu. Mesti nak minta dukung,” kata Asrul tatkala melihat Adam merangkak dan memanjat kaki Farhan. Ada sahaja kerja si kecil itu mahu menempel dengan Farhan. Farhan pula layankan sahaja.
“Adam...” panggil Wana seraya berlari anak ke arah Farhan.
“Laju betul lari. Ibu tak sempat pakaikan baju lagi,” ujar Wana. Adam cuba diambilnya daripada dukungan Farhan, namun si kecil itu terus menyorokkan wajahnya di sebalik leher Farhan. Geram pula Wana jadinya.
“Adam.... Cepatlah. Ibu nak tolong tok wan buat kerja pula ni.” Wana menghela nafas melihat keengganan Adam. Entah Farhan buat apa dekat Adam sehingga Adam suka melekat dengannya sampai begitu sekali.
“Sini baju Adam. Biar Farhan tolong pakaikan.” Tangan dihulur meminta pakaian yang dipegang oleh Wana. Lambat-lambat wanita itu beri kepada Farhan. Serba salah juga kerana Adam asyik buat hal mahu melekat dia.
Pernah sekali Qisya ceritakan tentang Adam. Ketika dia tak sedarkan diri, Adam suka melekat dengan Syah sampaikan kadang-kadang Syah tak dapat pergi kerja. Sekarang dengan Farhan pula. Apalah nasib Farhan nanti? Memandangkan lelaki itu hanya berada di sini untuk waktu yang singkat, Wana yakin Adam tidak akan terlalu terbiasa.
“Manja-manja macam ni ada makna ke?” Asrul mencuit pipi Adam.
“Kau tak nampak lagi ke apa maknanya, bang?” Sampuk Izam yang kebetulan lalu di ruang tamu itu. Bingung dia dengan soalan Asrul. Sudah tahu, tanya lagi. Sengajalah tu nak menyakat Farhan.
“Maknanya tak lama dah ni nak kahwin ni,” tutur Ashraff seraya memandang ke arah Farhan.
“Kau ingat aku tak tahu yang kau tu ada hati dekat Insyirah?” Farhan memberi serangan balas. Geram apabila dirinya asyik diusik oleh mereka.
Ashraff berdeham, cuba menghilangkan rasa gugup. Dari manalah Farhan tahu tentang itu walhal dia dengan Insyirah jarang bercakap secara bersemuka.
"Wuish! Diam-diam kau ni. Berkenan pula dengan kawan Wana tu.” Asrul silangkan tangan di dada. Kawan-kawan dia memang tak boleh diharap! Bab-bab ada calon isteri dirahsiakan. Tahu-tahu dah dapat jemputan kahwin.
“Dalam proses memikat lagi. Dah dapat pikat nanti baru aku pinang. Kalau tak dapat pikat, putus asa jelah. Cari baru...” ujar Ashraff.
“Ceit! Cakap memang mudah Raff. Belum rasa belum tahu,” kata Asrul. Belakang badannya disandarkan pada dinding. Farhan pula dilihatnya sudah duduk di atas sofa sedang memakaikan pakaian di tubuh Adam.
KAMU SEDANG MEMBACA
TAKDIR DIA
Action[COMPLETE] [ACTION/ROMANCE] Tragedi yang meragut nyawa seseorang dan kehadiran bayi lelaki merubah hidup Wana sepenuhnya. Wanita itu terpaksa menghadapi bermacam tuduhan serta kata makian. Saat bahaya mendekat, Farhan datang melindungi. Misi yang di...