Mimpi Yang Sempurna - Bab 1

338 4 0
                                    

"SHOULD we buy or should we sell?"
Aku angkat kepala. Seorang lelaki yang kukira
berumur 30-an sedang berdiri di hadapanku. Raut wajahnya
serius tanpa segarit senyuman. Rambutnya pendek dan
kemas, penampilannya segak sempurna dengan kemeja
lengan panjang lengkap bertali leher. Cuma... er... warna
pink? Soft pink?
"Should we buy or should we sell?" soalnya lagi
bersama isyarat mata.
Aku toleh ke belakang, namun tiada sesiapa. Kerusi
tempat duduk seniorku juga kosong. Bermakna pada saat ini
hanya aku dan lelaki ini di sini. Kembali aku memandangnya.
Pandanganku terhala ke arah yang sama. Sebuah
fail yang aku telaah sejak sejam yang lalu. Salinan laporan
tahunan syarikat yang terbaru di mana helaian yang sedang
terbuka adalah graf turun dan naik harga saham syarikat
untuk tahun kewangan sebelumnya. Tiada kaitan dengan
latar belakang pengajianku atau bidang kerjaya yang bakal
kuceburi namun legal manager meminta aku membacanya
demi menambah pengetahuan tentang syarikat.
"Yang ini..."
Baru sahaja ingin membuka mulut, lelaki yang
menyoalku itu terus berlalu tanpa sepatah kata, bertembung
dengan Kak Ayu yang merupakan supervisorku di sini.
"Dia datang sini ke tadi?" soal Kak Ayu sebelum
melabuhkan punggung.
"Haah..." Aku angguk mengiakan. "Siapa tu, Kak
Ayu? Tak pernah nampak pun kat sini?" Dalam serba salah
aku bertanya. Risau jika dilabel sebagai busybody.
"Hot guy tu."
"Hot guy?"
Kak Ayu angguk.
"Ramai peminatlah tu?" tekaku.
Aku imbas kembali wajah matang yang menegurku
tadi. Nak kata handsome, ramai lagi lelaki yang lebih kacak.
Ini senyum pun tak pandai.
"Dia bukan hot yang tu la..." Kak Ayu mendekatiku.
"Dia tu dapat gelaran hot guy because of his temper. Sentiasa
'panas', selalu nak baran aje." Dia berbisik di telingaku
sebelum menjauh.
Menyambung pembacaan yang terhenti, aku cuba
melupakan bayangan lelaki tersebut. Namun soalannya
yang sehingga tiga kali diajukan kepadaku mengundang
seribu tanda tanya. Should we buy or should we sell? Apa
maksudnya?
"Wardah..."
Dalam fikiranku yang melayang, namaku diseru.
Angkat kepala, senyuman Kak Ayu menyapa mata.
"He was married. The hot guy. Dia duda."
Terbayang lagi raut yang serius itu. Terngiang-ngiang
kembali soalannya di telingaku.
Should we buy or should we sell?
Haih... Tak pasal-pasal semak telinga dan mindaku
jadinya. Forget it, Wardah! Forget it! Tak penting pun!
"NAH, surat daripada HR."
Abang Yusof, despatch syarikat ini menghulur
sekeping sampul putih kepadaku dan melangkah pergi
dengan tergesa-gesa.
"Terima kasih, Abang Yusof!" laungku sedikit kuat.
"Surat untuk siapa tu, Wardah?" Kak Ayu menyoalku
dari mesin fotostat.
Aku belek sampul yang baru diterima. Kelihatan
jelas namaku di atasnya.
"Surat untuk saya, Kak Ayu. Daripada HR. Ni mesti
pasal saya dah nak habis praktikal ni."
Pejam celik pejam celik, sekejap sahaja dah tiga
bulan. Minggu ini adalah minggu terakhir aku menjalani
latihan praktikal di sini sebelum ditauliahkan dengan ijazah
sarjana muda oleh pihak universiti.
"Any good news?"
Kak Ayu sudah berdiri di sebelahku dengan
segunung kertas di tangannya. Cepat-cepat aku bantu dengan
mengambil separuh dan aku letakkan ke atas meja.
Kemudian sampul surat aku buka cermat dan aku
baca baris demi baris ayat yang tertera.
"HR offer untuk jadi Management Trainee kat sini,"
jelasku.
"Congratulations! Kak Ayu pun memang perlukan
pembantu." Wajahnya berseri-seri.
"Tapi bukan dengan department ni," kataku
perlahan.
Jangan kata Kak Ayu, aku sendiri kecewa. Entah
macam manalah HR boleh 'campakkan' aku ke tempat yang
langsung tiada kaitan dengan latar belakangku.
"Habis tu department mana?" Kak Ayu duduk
berhadapan denganku.
"Investor Relations."
"What???"
Aku sengih melihat reaksi Kak Ayu. Sampai
ternganga tu...
"Kan? Jauh betul dengan undang-undang. Tak patut,
kan?" luahku.
Kak Ayu geleng. "Akak terkejut bukan pasal rasa tak
patut."
"Dah tu?" Laju aku menyoalnya.
"Ingat lagi pasal hot guy?"
Aku angguk.
'Should we buy or should we sell' guy. Sejak
pertemuan yang pertama kali itu, hanya beberapa kali
aku terserempak dengannya. Itu pun kami langsung tidak
bertegur sapa. Aku juga separuh pasti yang dia langsung tidak
mengecamku.
"Hot guy tu kat department tu, Wardah. Dia Senior
Manager Investor Relations."
Rahangku terasa ingin jatuh. Oh my...

"ADAH dah buat keputusan?" Pak uda menyoalku sewaktu
kami sedang bersantai menonton TV. Hanya ada aku, pak uda
dan mak uda di ruang tamu ini. Anak kembar mereka, Qaid
dan Qayyim terus menghilangkan diri sebaik sahaja selesai
makan malam sekejap tadi.
"Belum lagi, pak uda. Berbelah bagi sebenarnya
ni. Gaji memanglah okey sangat-sangat tapi bidang
Investor Relations tu macam tak kena pula. Adah study
undang-undang, bukan Investor Relations yang sepatah
haram Adah tak tahu apa-apa," luahku.
"Small matter aje tu! Tak tahu, belajar. Masa muda
nilah nak cari pengalaman banyak-banyak. Tak semestinya
belajar undang-undang, kena jadi peguam. Dah ada peluang
untuk explore benda baru ni, grab aje..."
Aku sengih pandang mak uda. Seperti selalu, mak
cik aku seorang ini memang sentiasa berfikiran positif dan
langsung tidak ada perasaan gusar atau risau.
"Buatnya Adah tak boleh buat macam mana?" Aku
cuba menduganya.
"Kalau mak uda, tak fikir dah boleh atau tak.
Semua tu psikologi otak aje. Muda-muda macam Adah
nilah, otak tengah cerdas tahap maksimum, boleh serap
ilmu banyak-banyak. Nanti dah jadi macam mak uda ni,
tak boleh nak ke mana dah. Peluang tak ada, otak pun dah
kurang cerdas. Bosan tak bosan, menghadaplah kerja-kerja
kat pejabat tu..."
"Tapi mak uda sekarang ni dah Senior Manager di
Samsung tu. Dah stabil, income dah meletup. Takkan nak lari
juga kut?"
Pak uda gelak besar dengan kata-kataku. "Takkan
Adah tak tahu, mak uda ni selagi tak dapat pegang jawatan
CEO kat mana-mana syarikat, selagi tu la dia tak puas hati."
"Dah awak tu kedekut nak bagi saya pegang jawatan
CEO kat company awak tu..." tukas mak uda.
"Company saya tu tak sesuai untuk awaklah, Puan
Emma. Training consultant aje. Awak kalau jadi CEO kat situ,
mahu lari semua pekerja-pekerja yang ada tu. Awak tu kan
garang?"
"Dah jadi CEO kenalah tunjuk garang, takkan CEO
nak menyengih-nyengih depan staf?"
"Apa masalahnya? Saya menyengih, anak-anak buah
saya masih hormatkan saya, tak ada pun diaorang melampau
batas."
"Err... Adah naik bilik dululah."
Aku meminta diri bila melihatkan perdebatan antara
mak uda dan pak uda semakin meleret.
"Naiklah rehat, Adah. Fikir elok-elok sebelum buat
keputusan, buat sekali solat istikharah." Pak uda membalas
tenang.
"Terima aje offer tu. Zaman sekarang ni bukan
senang nak dapat kerja. Kalau asyik nak takut, sampai bila-bila
tak ke mana!" saran mak uda sesaat kemudian, menyebabkan
langkahku terkaku di anak tangga kedua.
"Puan Emma, kut ya pun tengah panas dengan saya,
janganlah gadaikan masa depan Adah tu. Masa depan dia,
biar dia yang tentukan. Tak perlulah kita nak masuk campur,
wahai isteriku sayang..."
"Saya cuma nak yang terbaik untuk dia. Peluang tak
datang berkali-kali, Encik Qamaruzzaman."
"Dia dah besar, umur dia dah 23 tahun. Bagi dia
peluang untuk tentukan hala tuju sendiri. Kita ni cuma
penjaga dia, Emma. Yang ada hak ke atas dia ialah abang awak
dan isterinya."
Ini tak boleh jadi... Kalau dibiarkan, ada sampai esok
pagi pun mak uda dengan pak uda masih tak henti bertekak.
"Kejap, kejap! Tak payah gaduh. Tunggu ajelah
keputusan Adah esok ya?" pintaku.
"Okey. Ap..."
"No problem! Tapi harapnya Adah terimalah." Mak
uda mencantas kata-kata pak uda.
Aku garu kepala yang memang tengah terasa gatal
sejak tadi. Kenapa mak uda dan pak uda sekarang ini sebijik
macam Qaid dan Qayyim bila bergaduh? Alahai...

Mimpi Yang Sempurna - Aiza Qriselda (AQ)Where stories live. Discover now