Gelak ketawa Adam mengundang perhatian mereka. Si kecil itu menepuk tangan beberapa kali dengan pandangan mata terarah ke kiri. Asrul angkat kepala. Menyepet matanya memandang ke arah yang dilihat oleh Adam.
“Patutlah suka. Nampak bapa angkat kesayangan dia rupanya,” kata Asrul. Air liur Adam yang meleleh dilap menggunakan kain lampin. Suka sangat sampai meleleh air liur.
“Mana Ashraff?” tanya Farhan. Punggung dilabuhkan di sebelah Asrul. Laju sahaja Adam merangkak ke riba Farhan. Dipanjat tangan kiri Farhan lalu leher Farhan dipeluk.
“Rumah opah dia. Baru siap renovate minggu lepas. Gediklah Adam.” Asrul menarik pipi Adam. Tak reti duduk diam bila dapat pegang Farhan. Apa yang dia suka sangat dengan Farhan pun tak tahu.
“Manja-manja nak bapa tiri. Bukan bapa angkat.” Danish ketawa kecil.
Farhan buat tak dengar. Rasa macam dah kebal dah telinga dia dengar usikan macam tu.
“Aku sokong. Diam maknanya setuju.” Asrul turut ketawa.
“Apa yang suka sangat tu abang? Tok wan cakap malam nanti dia nak kenalkan abang dengan anak kawan dia. Pastikan abang datang sini tau,” ujar Wana.
Asrul terbatuk-batuk akibat tersedak biskut kering yang dikunyah. Berair matanya sambil menepuk dada.
“Kenapa cepat sangat?” soal Asrul. Gelas minuman yang dihulur oleh Wana diambil. Perlahan-lahan, air diteguk menghilangkan rasa perit di tekak.
“Tok wan nak 10 orang cucu daripada abang. Jadi kenalah kahwin cepat.” Balasan Wana membuatkan Danish hambur tawa besar.
“Semoga berjaya.” Farhan yang ketawa kecil menepuk bahu Asrul beberapa kali. Lelaki itu jelas sedang tercenggang ketika ini.
“Adam, meh dekat ibu. Encik Farhan sakit tu.” Wana menarik Adam ke ribanya. Serba salah juga tengok keadaan Farhan sekarang.
Tangan kanan sudah berbalut dan terpaksa memakai anduh akibat tembakan beberapa hari yang lalu. Sudahlah luka calar tembakan dan perut yang ditikam pisau belum sembuh sepenuhnya, ditambah pula luka lain.
“Tak masuk akal.” Asrul geleng kepala. Air minumannya kembali diteguk.
“Han, aku dengar Ashraff kata pembedahan Farish dah berjaya. Dia dah sedar ke belum?” Ujar Asrul.
Dianne yang menghampiri mereka sambil membawa kuih dipandang sekilas. Petang-petang seperti ini memang sedap makan dan berbual dekat pangkin kayu. Angin pun sepoi-sepoi menjamah tubuh.
“Dah. Dia susah nak berjalan sikit, kena pakai tongkat. Mungkin lepas buat terapi nanti dia boleh berjalan normal semula. Insha-Allah....”
“Baguslah. Aku nak pergi lawat tak boleh. Jauh dekat negara orang. Kawan tu tak balik Malaysia ke?”
“Kalau dia sembuh dengan baik, baliklah tu. Dia ada syarikat nak kena handle lepas ni.” Asrul terangguk-angguk mendengar balasan Farhan.
“Membawang apa woi?” Tegur Ashraff. Tempat di sebelah Farhan diduduknya. Insyirah turut labuhkan punggung di sebelah Dianne.
“Pergi rumah bakal mertua kau hari ni. Amacam?” Dianne sengih melihat Insyirah tersipu-sipu. Ceit! Malu pula.
“Menarik,” komen Insyirah. Rumah opah Ashraff bukannya jauh sangat. Selang tiga buah rumah dari kedai Pak Osman saja.
KAMU SEDANG MEMBACA
TAKDIR DIA
Action[COMPLETE] [ACTION/ROMANCE] Tragedi yang meragut nyawa seseorang dan kehadiran bayi lelaki merubah hidup Wana sepenuhnya. Wanita itu terpaksa menghadapi bermacam tuduhan serta kata makian. Saat bahaya mendekat, Farhan datang melindungi. Misi yang di...