Farhan hela nafas. Naik pening dia tengok Asrul mundar-mandir sejak tadi. Bukannya nak ke depan tengok calon isteri. Syah yang melangkah memasuki dapur dipandang sekilas.
“Han, kalau kau mengantuk tidurlah dalam bilik Aiman. Jangan paksa diri tidur dekat ruang tamu. Kau kena rehat awal,” ujar Syah.
“Okey.” Sepatah dibalas Farhan. Matanya memerhati Wana yang sibuk menyediakan kuih-muih ke dalam piring. Berseorangan, namun cukup pantas.
“Serol, mari sini. Buat apa dekat situ. Orang nak jumpa ni.” Wan Deejah bercekak pinggang di laluan yang memisahkan dapur dan ruang tamu.
“Takutlah. Tengok, lutut Asrul menggigil betul-betul ni. Rasa macam nak menyanyi lagu rock pun ada tok wan.” Peluh di dahi dilap.
“Merepek abang ni. Pergi depan sana. Pening Wana tengok abang asyik jalan dekat situ.” Tutur Wana.
Asrul juihkan bibir.
“Serol nak nyanyi dangdut sekalipun, tok wan tak kisah. Mari depan cepat! Lambat, tok wan sunatkan Serol untuk kali kedua.” Ugut Wan Deejah.
Syah hambur tawa yang masih dikawal nadanya. Adoi!
Bibir dimuncungkan. Dengan keterpaksaan langkah diatur ke ruang tamu. Seketika dia hentikan langkah. Kepala dijengul keluar ingin memerhati suasana di ruang tamu. Hanya dua orang perempuan asing menyapa mata.
“Asrul! Mari sini cepat!” Panggil Wan Deejah. Haa! Dah keluar sebutan nama yang betul. Depan calon isteri, memanglah. Tengok nanti dia tukar balik.
“Malu dia kalah perempuan,” komen Wan Deejah. Geram tengok Asrul terjengul-jengul. Bukannya nak keluar.
Asrul sengih apabila semua orang yang berada di ruang tamu memandang ke arahnya. Langkah diatur ke depan dengan tangan kiri menggaru belakang leher yang tidak gatal. Malu-malu, dia labuhkan punggung di sebelah Wan Deejah.
“Macam pernah tengok muka cucu kau ni Wan.” Mak Cik Hasnah kerutkan dahi cuba mengingat di mana dia pernah bertemu Asrul.
“Dia ni ada kebun. Kau jumpa dia masa pergi jual sayur kot,” tutur Wan Deejah.
“Jual sayur.... Kawan Ehsan ke? Yang bagi sayur bulan lepas.”
Kata-kata Mak Cik Hasnah dibalas anggukan. Asrul sengih kekok. Dalam banyak-banyak orang, kenapa mesti yang ada kaitan dengan kawannya? Kecil sungguh dunia. Ke salah dia sebenarnya sebab banyak kawan? Asrul mengeluh dalam hati.
“Haa patutlah pernah tengok. Ni, anak mak cik. Nama dia Fateha. Ehsan dengan Fateha ni sepupu. Cubalah kenal-kenal dulu dengan Fateha. Kalau berkenan, boleh dah bertunang nanti.” Mak Cik Hasnah ketawa kecil. Entah apa yang menggelikan hatinya.
“Okey mak cik. Insha-Allah,” jawab Asrul. Fateha dipandang sekilas. Diam sahaja gadis itu dengan senyuman manisnya.
“Jemput minum mak cik,” pelawa Wana. Teh yang sudah dituang ke dalam gelas ditolak ke depan Mak Cik Hasnah.
Tersenyum wanita itu memandang Wana. Dia dengar dan tahu apa yang terjadi kepada Wana, namun dia tidak mahu mengungkit. Dia bukanlah sesiapa dan masalah itu pun sudah diselesaikan. Wana terbukti tidak bersalah.
Wana mengatur langkah keluar menghampiri Farhan dan Adam yang duduk di anjung rumah. Suara Farhan serta gelak ketawa Adam sedari tadi kedengaran. Seronok sungguh bermain.
KAMU SEDANG MEMBACA
TAKDIR DIA
Action[COMPLETE] [ACTION/ROMANCE] Tragedi yang meragut nyawa seseorang dan kehadiran bayi lelaki merubah hidup Wana sepenuhnya. Wanita itu terpaksa menghadapi bermacam tuduhan serta kata makian. Saat bahaya mendekat, Farhan datang melindungi. Misi yang di...