"Farhan tak sedarkan diri lepas ditikam. Kau nak datang jenguk tak?"
Kata-kata Insyirah ketika menelefonnya pagi tadi terngiang-ngiang dalam kepala. Wana termenung jauh saat melihat ke luar tingkap kereta. Dia berharap, sesuatu yang lebih parah tidak berlaku kepada Farhan.
"Dah sampai. Biar abang pegang Adam. Wana pergi tengok Farhan dulu." Syah hulur tangan mengambil Adam.
"Terima kasih abang. Dah selesai nanti Wana telefon." Mendapat anggukan daripada Syah, Wana segera beredar.
Insyirah yang berada berdekatan kaunter jururawat dihampiri.
"Macam mana Encik Farhan boleh kena tikam?" soal Wana. Nadanya masih dikawal agar tidak mengganggu orang lain.
"Dia pergi jalankan misi. Jom, aku bawa kau jumpa dia." Lengan Wana ditarik menuju ke arah lif.
Mata dipejam beberapa saat lalu nafas dihela. Wana cuba menghilangkan debar yang bertandang di dada. Insyirah di sebelah tidak lepas daripada memandang Wana. Dia... perasan akan sesuatu.
Ada genangan di dalam mata Wana.
"Encik Farhan dah sedar?" Soalan yang diaju, dibalas gelengan.
"Macam mana dengan Abang Ashraff? Ada sesiapa yang lain tercedera?" tanya Wana lagi.
"Yang lain tak luka. Encik Farhan je."
Mereka berdua melangkah keluar dari lif sebaik sahaja pintu lif terbuka. Kaki dihayun menuju ke wad yang menempatkan Farhan.
Langkah Wana terhenti seketika tidak jauh dari katil di mana Farhan terbaring. Nafas dihela sekali lagi. Hujung baju yang digenggam, dikepal kuat.
"Wana, mari laa." Insyirah memanggil. Ashraff dilihatnya sudah menghampiri gadis itu.
"Saya keluar dulu. Nanti kita jumpa dekat bawah," tutur Ashraff. Insyirah mengangguk sebagai balasan.
Wana melangkah menghampiri katil Farhan. Kerusi ditarik lalu dia duduk. Tubuh Farhan penuh dengan wayar berselirat. Bibir lelaki itu memucat dengan mata yang terpejam rapat.
"Kau okey tak?" tanya Insyirah. Risau pula dia tengok Wana diam menatap ke arah Farhan.
Tisu segera dicapai tatkala melihat linangan air mata pada wajah Wana. Lantas, wajah itu dilap lembut. Kemudian tubuh Wana dipeluk erat seraya mengusap perlahan belakang tubuhnya.
"Nanti dia sedarlah tu. Ashraff cakap Farhan dah lepas tahap kritikal," ujar Insyirah. Dia cuba untuk menenangkan Wana yang mula teresak.
"Aku takut. Aku takut sangat Syirah. Aku tak nak dia tinggalkan aku macam Haris."
"Dia takkan tinggalkan kau. Doalah yang baik-baik. Kau dah pastikan perasaan kau?"
Wana mengangguk sebagai balasan kepada soalan Insyirah. Dia cukup yakin akan perasaannya ketika ini. Pelukan dirungkai tatkala mendengar suara Puan Zulaikha. Wana laju mengelap air mata pada wajah.
"Aku ke tandas dulu," pamit Wana. Dalam keadaan menunduk, dia laju berjalan pergi. Tidak mahu dirinya yang telah menangis dilihat oleh keluarga Farhan.
"Allah.... Anak mama." Puan Zulaikha menyentuh kepala Farhan lalu diusap perlahan. Jantungnya terasa bagai hendak luruh mendengar perkhabaran bahawa Farhan dimasukkan ke hospital dan dalam keadaan kritikal.
"Insyirah seorang je ke dekat sini?" soal Puan Zulaikha.
"Taklah, dengan Wana. Dia baru je pergi tandas."
"Tak perasan pula dia lalu. Bila lagi Wana datang? Dia datang dengan siapa?"
"Baru je sampai beberapa minit tadi mak cik. Adam dengan Syah ada dekat bawah. Ashraff pun..." jawab Insyirah.
KAMU SEDANG MEMBACA
TAKDIR DIA
Action[COMPLETE] [ACTION/ROMANCE] Tragedi yang meragut nyawa seseorang dan kehadiran bayi lelaki merubah hidup Wana sepenuhnya. Wanita itu terpaksa menghadapi bermacam tuduhan serta kata makian. Saat bahaya mendekat, Farhan datang melindungi. Misi yang di...