BAB 45

3.3K 125 3
                                    

Terasa pinggang dipeluk dan sesuatu mendarat di bahu, Wana lorek senyuman lebar. Dia tahu siapa gerangannya daripada bau.

“Awak baru balik?”

Farhan berdeham dan mengangguk perlahan. Seharian bekerja, penatnya tidak terkata. Dapat rehat seperti ini sebentar pun jadilah. Untung ada isteri.

“Dah makan?” tanya Wana lagi.

“Dah. Kenapa Wana duduk depan pintu gelangsar ni? Tengok apa?” Wajah diangkat sedikit, memerhati ke depan.

“Tak ada apa-apa. Cuma tak dapat tidur.”

“Ada perkara yang mengganggu Wana ke?”

Mendengar soalan Farhan, Wana tunduk menekur lantai. Bagaimana dia hendak mulakan? Dia tidak mahu menyakiti hati Farhan. Lelaki itu tidak pernah buat dia marah atau sakit hati.

Farhan mengangkat kepala. Tubuh Wana dipusing ke arahnya perlahan-lahan. Dagu wanita itu ditarik agar memandang wajah.

“Apa yang merunsingkan Wana? Atau Wana rasa tak sihat?” soal Farhan. Rambut Wana yang menutup dahi diselak ke tepi.

Wanita itu menggeleng perlahan.

“Wana rindu tok wan.”

“Jadi, Wana nak balik ya?” Soalan Farhan dibalas anggukan. Farhan lorek senyuman nipis.

“Minggu depan majlis sanding Asrul. Farhan sibuk lagi beberapa hari ni. Esok, kalau nak, Farhan boleh suruh Arshad hantar Wana balik.” Ujar Farhan. Kesian juga tengok Wana muram seperti itu. Bercakap pun kurang.

Wana menguntum senyuman. Tangan digerak, memeluk tubuh Farhan. Hangat.... Dia bakal merindui pelukan itu.

Kening bertaut apabila dia merasa tubuh Wana terhinjut kecil. Menangis ke? Farhan mula risau. Dia ada tersalah cakap atau sakitkan hati Wana ke? Atau... Wana marah sebab dia terlalu sibuk dengan kerja?

“Farhan ada salah cakap ke?”

Soalan Farhan dibalas gelengan.

“Habis tu, kenapa Wana menangis? Wana marah?”

Sekali lagi soalannya dibalas gelengan.

Wana mendongak. Hidung sudah memerah dengan wajah yang sembap. Sepasang mata Farhan dipandang. Jelas wajah lelaki itu seakan ingin memujuk.

“Kenapa Farhan baik sangat dengan Wana?” Soalan diaju membuatkan Farhan terdiam.

Entah mengapa soalan Wana bagaikan mempunyai maksud tersirat sehingga dia tidak mampu menjawab. Hati dan fikiran tidak sehaluan. Dia seolah-olah keliru hendak menuturkan jawapan.

“Tak boleh ke awak jadi jahat sikit? Saya rasa terharu sampai tak nak lepaskan awak sebab awak terlalu baik dengan saya,” ujar Wana.

Spontan tawa kecil terletus dari bibir Farhan. Wana mencebik. Apa yang lawak sampai Farhan ketawa? Dia dahlah dalam keadaan perasaan yang bercampur baur.

“Kalau macam tu, jangan lepas.” Rambut Wana dibelai. Selang beberapa saat, dahi isterinya itu dikucup.

Wana diam. Wajah disembamkan di dada Farhan. Aman rasanya berkeadaan seperti itu.

Mata diliarkan ke sekeliling apabila bekalan elektrik terputus. Gelap sungguh sehingga mereka tak nampak apa-apa. Telefon di dalam poket seluar dikeluarkan lalu lampu dinyala.

“Bateri telefon awak dah nak habis,” kata Wana.

“Farhan ingat Farhan ada letak lilin dalam laci. Tunggu dekat sini, Farhan pergi cari.”

TAKDIR DIATempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang