Daun pintu ditolak. Seketika kepala dijengul ke dalam mencari kelibat Wana.
Tiada.
Langkah diatur ke dapur pula. Wan Deejah yang sedang bermain dengan Adam dihampiri. Di situ pun tidak terlihat bayang isterinya. Ke mana agaknya Wana pergi waktu malam seperti ini?
"Tok wan ada nampak Wana tak?" tanya Farhan.
"Wana ada dekat pangkin." Wan Deejah memandang ke arah pintu dapur sekilas. Lama sungguh Wana keluar. Padahal nak jawab panggilan telefon saja. Nampak macam perkara sulit sampai duduk jauh-jauh.
Langkah Farhan terhenti di pertengahan jalan. Melihat wajah Wana muram, dia pasti ada sesuatu yang mengganggu isterinya itu.
"Wana," panggil Farhan. Saat Wana menoleh, senyuman diukir seraya tangan membetulkan topi hitam di kepala.
"Hm?" Wana berdiri. Hilang lamunannya setelah dipanggil oleh Farhan.
Tangan Wana ditarik dan dipegang sebaik sahaja tiba di hadapan. Sementara itu, tangan kirinya naik menyentuh kepala Wana.
"Buat apa dekat sini? Kenapa dengan muka ni?" soal Farhan. Pipi Wana diusap menggunakan ibu jari.
"Farhan dah nak balik?"
Soalan Wana dibalas anggukan. Rasanya, dia sudah tahu jawapan Wana. Beg pakaian pun belum kemas lagi.
"Wana...." Air liur ditelan. Teragak-agak Wana mahu mengungkap kata-kata. Apa yang difikirkan sejak tadi, mungkin akan melukakan hati Farhan.
"Wana tak jadi balik?" Farhan cuba menyambung kata-kata Wana. Kesian juga melihat raut serba salah Wana. Mungkin isterinya itu bimbang dia akan berasa sedih kerana tidak pulang sekali.
"Tak apa. Nanti Wana nak balik, Wana bagitahu la. Farhan datang ambil Wana semula. Okey?" Ujar Farhan.
Namun Wana masih bereaksi sama, menunduk dengan wajah muramnya. Sepatah kata pun tidak keluar dari mulut.
"Tak apa.... Jangan muram dah." Tubuh Wana dipeluk sekadar menenangkan.
"Wana tak balik sekali ke?" Asrul di hadapan pintu dapur berkata. Ashraff di sebelah dipandang.
"Nampak gaya macam tak balik."
Tautan pelukan dilepas. Farhan yang tersenyum memandang ke arah Wana.
"Farhan balik dulu. Jaga diri elok-elok," tutur Farhan.
Baru sahaja dia mahu melangkah pergi, Wana menarik tangannya membuatkan dia menoleh. Senyuman diukir, berharap Wana menukar fikiran untuk pulang bersama.
Dia bukannya tak dapat berjauhan, cuma dia rasa tak sedap hati kebelakangan ini. Entah apa yang akan berlaku dan entah yang tidak kena. Perkara itu betul-betul menyesakkan fikiran. Hatinya seakan mengasak dia untuk berada di sisi Wana.
"Farhan...."
"Ya?"
Cincin yang tersarung di jari, dibuka. Wana menarik kembali tangan Farhan. Lantas, cincin tersebut diletakkan di atas telapak tangan Farhan.
Asrul dan Ashraff sudah beriak serius. Terkejut melihat kejadian itu. Dah kenapa Wana tanggalkan cincin kahwin?
"Wana rasa, Wana dah tak mampu nak jadi isteri Farhan."
Kata-kata Wana membuatkan senyuman Farhan memudar. Air liur ditelan. Dada sudah berdetak gemuruh, takut akan kehilangan. Dia tak menjangkakan kata-kata itu daripada Wana.
KAMU SEDANG MEMBACA
TAKDIR DIA
Action[COMPLETE] [ACTION/ROMANCE] Tragedi yang meragut nyawa seseorang dan kehadiran bayi lelaki merubah hidup Wana sepenuhnya. Wanita itu terpaksa menghadapi bermacam tuduhan serta kata makian. Saat bahaya mendekat, Farhan datang melindungi. Misi yang di...