BAB 56

3.3K 125 2
                                    

Air mata diseka apabila mendengar suara Syah di hadapan pintu. Lantas selimut ditarik menyelubungi kepala. Mata dipejam rapat. Dia berpura-pura tidur kerana tidak mahu menangis di hadapan Syah.

“Kenapa Wana berselubung?” soal Syah, hairan. Perlahan-lahan selimut yang menutupi kepala Wana ditarik turun sehingga ke paras bahu.

Dahi Qisya berkerut halus. Dia pun hairan. Tangan naik menyentuh dahi Wana. Ada sedikit panas.

“Wana demam sikit. Semalam jururawat kata dia menangis. Bila ditanya kenapa menangis, dia kata rindu Adam.” Ujar Qisya.

“Dia dah makan ke belum?”

“Pagi tadi adalah jamah sarapan sikit. Tengahari aku tak tahu.”

“Tak apalah kalau macam tu. Biar dia rehat dulu. Aku ada kerja sikit ni. Kalau dia bangun, cakap aku ada bawa makanan.”

“Aku punya tak ada ke?” Qisya muncungkan mulut sambil menarik lengan baju Syah. Bukan selalu dapat bermanja dengan suaminya itu pada waktu siang. Dia sibuk, Syah pun sibuk.

“Ada. Jom aku teman kau makan dulu.” Hidung Qisya dicuit. Terus tersengih suka wanita itu.

Wana menghela nafas apabila bunyi pintu ditutup. Sesaat dia memandang sekeliling. Sudah tiada orang dan dia bersendirian.

Dia tidak dapat memejam mata lagi. Setiap kali matanya ditutup, memori bersama Insyirah terlayar di kotak fikiran membuatkan dadanya berasa sesak.

Air mata yang meleleh keluar, langsung tidak diseka. Wana tenggelam dalam kesedihan. Dia tak dapat meredakan perit dan kesakitan akibat kehilangan sahabat dek kerana dirinya.

•••

Pinggan makanan dihidang di atas meja. Awin mengelap tangan yang baru dibasuh. Perut sudah berkeroncong lapar, namun dia masih menunggu Ashraff dan Farhan pulang.

Bunyi pintu dikuak menggamit perhatian. Seketika kepala dijengul melihat gerangan yang menolak daun pintu.

“Raff, Han, mari makan,” pelawa Awin.

“Buang tabiat kau masak hari ni? Ke kau beli dekat luar?” Ashraff sengih. Lapar pula bila hidu bau makanan yang dimasak oleh Awin.

“Aku masaklah. Ingat kau je pakar memasak?”

Ashraff mendecit. Jaket disidai pada kerusi lalu dia duduk.

“Kau tak pernah masak. Aku pun hairan,” kata Farhan.

“Hari ni aku terlebih rajin. Jadi, aku masaklah.”

“Ouh. Selama ni kau malaslah eh?”

Plak! Tidak semena Farhan mendapat pukulan di bahu. Awin mengetap gigi dengan mimik muka geram.

“Aku sibuk la. Kau ni, sedap-sedap je nak cakap aku malas. Cubit nanti!”

“Mulut mak-mak macam Ashraff. Kuat membebel.”

“Mulut mak-mak Ashraff tak ada tandingannya dalam rumah ni. Jangan nak bandingkan dengan aku. Kes Haqim dah tutup ke?” Ujar Awin sekaligus menukar topik.

“Dah. Sedap juga kau masak. Bolehlah ganti aku masak dekat rumah ni nanti. Si budak Izmir tu balik esok,” kata Ashraff.

“Jangan harap! Aku tak pandai masak sesedap yang kau masak.”

Ashraff ketawa kecil. Merendah diri pula dia ni.

“Bahagianya hidup aku. Kiri kanan orang pandai masak. Kerja aku makan jelah nanti.” Farhan bersandar pada kerusi. Kenyang dia setelah menghabiskan sepinggan nasi.

TAKDIR DIATempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang