Kain diperah dan dilibas beberapa kali sebelum disidai pada tali ampaian. Mendengar deheman seseorang dari arah belakang membantutkan perbuatan Wana yang ingin mengambil pakaian di dalam bakul. Lantas, tubuh dipusing ke belakang.
"Kenapa datang sini?" Wana mengaju soalan. Dia tidak menjangka kehadiran Adriq di situ. Berseorangan pula tu. Kelibat sahabat-sahabatnya yang lain tidak kelihatan.
"Aku nak cakap dengan kau."
"Pasal apa?"
"Apa kata kita duduk dulu," ajak Adriq. Dia mahu berbicara dalam keadaan tenang. Angin Wana terlihat seperti acuh tidak acuh mahu berbincang dengannya saat ini. Bimbang mengundang perbalahan dan merumitkan masalah sahaja.
"Kau tunggu la dekat sana dulu. Aku habiskan sidai ni sekejap."
Adriq mengangguk kecil. Langkah diatur ke pangkin kayu. Di situ dia duduk menunggu. Sesekali mata dikalihkan ke arah kereta. Aisya masih menunggu. Isterinya itu tidak mahu keluar kerana risau Wana akan naik marah pula.
Telefon yang berbunyi dikeluarkan dari poket seluar. Butang jawab diseret dan telefon dilekap pada telinga.
"Abang dah cakap dengan Wana?" soal Aisya.
"Belum lagi. Abang tunggu dia siap jemur kain. Lepas tu baru bincang."
"Oh. Okeylah kalau macam tu."
"Panas tak dalam kereta? Nak keluar?"
"Tak naklah. Tak panas. Em Aisya tutup dulu. Abang cakap elok-elok dengan Wana tau," pesan Aisya. Adriq hanya berdehem mengiakan.
Kepala dikalih ke tepi apabila Wana duduk di atas pangkin. Mata wanita itu jauh memandang ke hadapan. Tidak sedikit pun memandang ke arahnya. Melihat dari wajah, Adriq dapat merasakan ada kegusaran yang mengganggu sahabatnya itu.
"Macam mana keadaan kau?" Adriq memulakan bicara.
"Aku okey. Kenapa kau datang sini? Sebab Aisya dan Dianne?"
"Tak, sebab kau. Ada apa dengan kau sebenarnya? Cuba cerita dekat aku."
"Aku tak nak." Tiada guna dia mahu menafikan di hadapan Adriq. Lelaki itu agak memahami tingkahnya.
"Putuskan hubungan dengan kawan, bukan benda yang senang dibuat. Lagi-lagi bila tak ada sebab yang jelas macam ni. Aku tahu kau sedih pasal kematian Insyirah, tapi tu bukan salah kau Wana."
"Kenapa bukan salah aku Adriq? Kau lupa Haris mati macam mana?"
"Apa kaitannya dengan Haris, Wana? Kau sendiri lebih jelas pasal kematian dia. Letupan tu berlaku sebab Ikmal, bukan kau. Kau nak salahkan diri kau macam mana lagi?"
"Ikmal buat macam tu sebab aku. Insyirah pula terlibat sama sebab Haqim nak balas dendam dekat aku. Arifah, Haris, Insyirah dan Ikmal mati sebab aku. Kau sedar tak Adriq?" Wana lepas tawa kecil. Air mata yang meleleh di pipi, dilap.
"Aku cuba Adriq. Aku cuba jauhkan semua orang daripada aku supaya tak ada yang mati sebab aku dah. Hati aku sakit. Mental aku sakit. Aku rasa macam nak gila. Kalau boleh aku nak hilang dari muka bumi ni, tapi aku masih terpikir pasal Adam." Ujar Wana lagi.
Adriq mengucap panjang. Mungkin dia tak dapat rasa betapa sakitnya yang dirasakan oleh Wana saat ini, namun dia faham bebanan yang Wana rasa.
Tetapi, Wana salah. Dirinya sendiri yang membawa bebanan ke hati walhal bukan salahnya.
"Mengucap Wana, tenangkan diri. Kematian mereka ditentukan oleh Allah. Bukan kau. Jangan salahkan diri kau untuk perkara yang kau tak buat."
"Cukuplah Adriq. Tak kira apa pun yang kau cakap, perkara tu takkan ubah kenyataan yang aku penyebab semua tu. Apa yang aku buat, semua untuk kebaikan korang juga. Jangan jumpa aku dah. Baliklah. Terima kasih datang lawat aku."
KAMU SEDANG MEMBACA
TAKDIR DIA
Action[COMPLETE] [ACTION/ROMANCE] Tragedi yang meragut nyawa seseorang dan kehadiran bayi lelaki merubah hidup Wana sepenuhnya. Wanita itu terpaksa menghadapi bermacam tuduhan serta kata makian. Saat bahaya mendekat, Farhan datang melindungi. Misi yang di...