Demi Rindumu part 1

1.2K 28 1
                                    


Demi Rindumu - Bab 1
Dua tahun kemudian...
BUNYI ketukan yang bertalu-talu membuat
telinganya jadi bingit. Siapa pula yang datang pagi-pagi buta
begini? Dalam rungutan dengan mata yang masih terpejam,
dia menggeliat malas sebelum menggelongsor turun dari
katil. Selimutnya dibiarkan jatuh ke atas lantai. Diheret
langkah ke pintu utama dengan mata yang masih terkatup
rapat. Ketukan yang bergema berulang kali membuat dia
naik rimas. Dia benci digesa begini.
“Ya... ya... sabarlah!” laungnya. Digaru-garu belakang
telinga, rimas. Tiba di depan pintu, tangan teraba-raba mencari
tombol. Dia tersenyum sendiri apabila berjaya menggapai
apa yang dicari. Daun pintu dikuak dengan sebelah tangan,
manakala sebelah tangan lagi menahan dinding.
“Ya, nak apa?” soalnya tanpa membuka kelopak mata.
“Abang saya mana?”
Suara merdu berbaur garang itu sudah cukup
untuk membuatkan dia membuka mata seluas-luasnya.
Pandangannya terus terpaku pada seraut wajah di depan.
Langsung tidak sedar mulutnya sedikit ternganga.
“Helo! Awak dengar tak apa saya tanya tadi?” Nurhana
melambai-lambaikan tangan di depan muka lelaki itu. Pelik
apabila lelaki yang membuka pintu itu tiba-tiba mematung.
“Saya sedang bermimpi ke? Bidadari mana pulak
yang datang ke rumah saya awal-awal pagi macam ni?” Lelaki
itu akhirnya bersuara. Tidak berkelip mata memandang gadis
yang sedang berdiri di hadapannya itu.
Bidadari? Meluat pula Nurhana mendengar bicara
lelaki separuh mamai itu. Ditenung lelaki itu dari atas ke
bawah. Dengan muka tak mandi dan rambut berserabut,
hanya satu saja perkataan yang Nurhana boleh gunakan.
Selekeh!
“Awak tak bermimpi, saya bukan bidadari dan
sekarang dah pun tengah hari. Mana abang saya?” Nurhana
menyoal sekali lagi. Dia cuba mencuri pandang ke dalam
rumah, mencari kelibat abangnya. Sejak bila pula abangnya
ada teman serumah? Setahunya, abangnya tidak suka
berkongsi.
“Abang awak? Saya harap bukan saya yang awak
cari. Sebab saya tak sanggup terima kenyataan kalau
perempuan secantik awak jadi adik saya,” balas jejaka itu
lalu menyandarkan tubuhnya pada pintu. Senyumannya
meleret-leret. Alangkah indahnya kalau setiap kali dia bangun
tidur, dia dapat melihat wajah secantik ini.
Nurhana tergeleng-geleng.
“Tak sangka lelaki yang baru bangun tidur macam
awak boleh bermulut manis macam ni!” desisnya, bengang.
Lelaki itu mempamerkan ekspresi terkejut yang jelas
dibuat-buat. Matanya membuntang, keningnya terangkat dan
mulutnya separuh terbuka.
“Bila masa pula awak rasa mulut saya?” usiknya,
nakal.
“Jangan loyar buruk dengan saya lagi, boleh tak?
Abang saya mana? Saya nak jumpa dia.” Nurhana mulai
bosan. Darahnya menggelegak panas. Berani sungguh lelaki
asing ini mengusiknya dengan gurauan melampau sebegitu.
“Siapa nama abang awak tu, sayang?”
Eii... Meluat dia dengar! Nurhana terasa hendak
angkat kaki pada waktu itu juga. Tetapi ini rumah abangnya,
dan dia perlu tahu di mana abangnya berada. Sekarang juga!
“Abang saya, pemilik rumah ni. Namanya Nasrul bin
Hussin. Mana dia?” tanya Nurhana, kali ini lebih tegas.
“Oh, awak cari Nasrul rupa-rupanya.” Lelaki itu
tertawa besar. Barisan giginya putih bersih. Sepasang lesung
pipit terbit di kedua belah pipinya.
“Kenapa awak ketawa pulak ni?” Hilang akal atau
apa? Terpinga-pinga Nurhana melihat reaksi berlebihan
lelaki itu. Kelakar sangatkah soalannya tadi?
“Kalau awak nak tahu, Nasrul tinggal di rumah
sebelah. Rumah nombor 15. Ini rumah saya, nombor 13.”
‘Oh my god!’ Nurhana tak tahu di mana dia nak letak
muka. Dia dah tersalah rumah! Tapi dia yakin dengan nombor
13. Lagipun abangnya sendiri yang tulis alamat tersebut
kepadanya dulu. Nanti kejap! Dia terlupa tulisan abangnya
jenis cakar ayam. Tak ubah macam cacing menari-nari di atas
kertas. Nombor 13 dan 15 pun tak reti tulis!
“Sorry. Saya... saya minta maaf. Saya ingat
rumahnya nombor 13. Maaf sangat-sangat,” ucap Nurhana.
Malu sungguh rasanya dengan segala tutur katanya tadi.
“Tak perlu minta maaf. Awak bukannya sengaja
pun,” jejaka itu tersenyum senang. Tiada riak tersinggung
langsung pada air mukanya.
Nurhana segera meminta diri dan bergegas ke rumah
sebelah. Diketuk pintu rumah abangnya. Beberapa kali dia
mengetuk, sampai hendak roboh pintu itu dikerjakannya.
Loceng ditekan berkali-kali, namun tiada jawapan.
Dari ekor mata, Nurhana menyedari lelaki tadi masih
berdiri di situ. Ikutkan hati, dia mahu saja pecahkan pintu
rumah abangnya. Tetapi tidak mungkin dapat dia lakukan
jika ada yang sedang memerhati.
“Abang awak tak ada kat rumah. Dah dua hari dia tak
balik.” Lelaki itu memberitahu.
“Macam mana awak tahu abang saya takde kat
rumah?” Nurhana hairan. Masih ada lagikah jiran prihatin di
zaman materialistik begini?
“Cuba awak tengok tu...” Bibir jejaka itu memuncung
ke arah lantai di depan rumah abangnya.
Nurhana tunduk. Terdapat dua naskhah akhbar tidak
berkutip di luar pintu rumah. Dua akhbar untuk dua tarikh
yang berturutan; iaitu semalam dan kelmarin. Maknanya
memang benar abangnya tiada di rumah selama dua hari.
Nurhana menghela nafas perlahan. Dia kecewa. Sia-sia sahaja
dia membazirkan minyak kereta semata-mata untuk bertemu
abangnya.
Enggan menunggu lagi, dia terus mengorak langkah
pergi. Tanpa disedari, gerak-gerinya masih menjadi tumpuan
sehingga dia menghilang ke dalam lif.
ORANG YANG dicari, tidak ditemui. Kini keretanya pula buat
hal entah di ceruk mana. Huru-hara sungguh hidupnya hari
ini.
Nurhana membuka bonet hadapan kereta, cuba
melihat apa yang tidak kena. Dia menggaru-garukan kepala.
Bingung kerana tidak tahu apa-apa. Menyesal dia tidak
menuntut ilmu mengenai kereta dengan bapa atau abangnya
dulu.
Dikeluarkan telefon bimbit untuk menghubungi
ibu bapanya. Mungkin mereka dapat memberikan nombor
mekanik yang boleh membantu. Baru sahaja dia hendak
mendail, sebuah kereta tiba-tiba berhenti di depan keretanya.
Dia panik, namun cuba berlagak tenang. Sekiranya dia
diserang, dia akan melawan. Akan dia praktikkan ilmu
tekwando yang pernah dia pelajari ketika kecil dahulu.
Pintu tempat pemandu terbuka dan seorang lelaki
melangkah keluar. Dahi Nurhana berkerut. Wajah pemandu
itu seakan-akan pernah dia lihat sebelum ini. Tetapi di mana
ya?
“Hai, kita jumpa lagi,” sapa jejaka asing itu, ceria.
Awak siapa? Soalan itu dihantar dengan mimik
muka.
“Awak tak ingat? Pagi tadi awak nak robohkan pintu
rumah saya. Sekarang kereta awak rosak kat sini pulak.
Awak tak rasa jodoh kita kuat ke?” Jejaka itu bertanya, seraya
mengangkat-angkat keningnya.
‘Oh, dia rupa-rupanya! Jejaka rumah nombor
13.’ Nurhana segera teringat insiden tengah hari tadi.
Diperhatikan jejaka tersebut dari atas ke bawah dan ke atas
semula. Dalam keadaan begini, mengapa lelaki ini nampak
begitu... menarik! Dan dah tak selekeh. Cepat-cepat dia
membuang perasaan peliknya itu jauh-jauh.
“Pertama, bukan pagi tapi tengah hari. Kedua,
saya tersalah ketuk bukan nak robohkan pintu rumah awak
sebab abang saya salah tulis alamat dan ketiga, kereta saya
rosak sebab dah lama tak bergerak,” jelas Nurhana. Dia
cuba mengawal emosi agar perasaannya tidak goyah dengan
penampilan berbeza jejaka itu.
“Kenapa awak mesti nak betulkan semua kata-kata
saya?” Dahi jejaka itu berkerut.
Nurhana menjongket bahu. Spontan dia menjauh
apabila jejaka itu tiba-tiba mara mendekatinya. Jejaka itu nak
buat apa ni???
“Jangan risau. Saya bukannya nak buat apa-apa pada
awak. Saya nak tengok kereta awak aje. Apa yang rosak?”
Lelaki itu berdiri di depan bonet kereta yang sudah sedia
terbuka. Ada ketelusan dalam suara lelaki itu. Ketelusan yang
tidak mungkin dapat dibuat-buat.
“Kalau saya tahu, awal-awal lagi saya dah baiki
sendiri.” Nurhana rasa hendak tampar mulutnya sendiri.
Lancang tak bertempat. Padahal lelaki itu nampak ikhlas
hendak menolongnya.
Lelaki itu hanya tergelak perlahan. Belum pernah
dia bertemu perempuan seperti ini.
“Tolong beri laluan.” Jejaka itu meminta. “Terima
kasih,” ucapnya selepas Nurhana bergerak ke tepi.
“Awak tahu baiki kereta ke?” Nurhana membiarkan
lelaki itu melihat ruang enjin keretanya.
“Awak pernah nampak mekanik yang handsome
macam saya ke?”
Bukan main puji diri sendiri! Tetapi Nurhana tidak
dapat menidakkan kata-kata lelaki itu. Memang lelaki itu
ada pesonanya yang tersendiri. Aura yang bisa membuatkan
wanita menoleh untuk kali kedua, ketiga dan seterusnya.
“Nampak gayanya awak kena call mekanik awak.
Minta mereka datang ke sini untuk tarik kereta awak.”
Kata-kata lelaki itu menyentak Nurhana ke alam nyata.
“Saya...” Nurhana tidak tahu bagaimana hendak
menjelaskan. Dua tahun berada di luar negara dan baru tiba
semalam, dia tidak pasti sekiranya nombor mekanik yang
disimpannya dahulu masih wujud atau sudah ditamatkan
perkhidmatan.
“Kenapa? Awak tak ada nombor mereka? Takpe.
Jangan risau. Saya kan ada.” Jejaka itu mengeluarkan
telefonnya lalu mendail satu nombor.
“Helo bro. Kereta girlfriend saya rosaklah. Boleh
datang repair tak?” Dia bertanya.
Bulat mata Nurhana apabila jejaka itu menggelarnya
sebagai ‘girlfriend’. Nama pun dia tak tahu, bila masa pula dia
jadi kekasih jejaka itu?
“Cantik! Nanti saya update location. Terima kasih
banyak-banyak, bro.” Lelaki itu menamatkan panggilan.
“Girlfriend?” Terjongket kening Nurhana. Tajam
matanya merenung jejaka itu.
“Boleh dapat diskaun,” jelas jejaka itu, terseringai.
“Saya tak kisah kalau tak dapat diskaun pun. Saya
boleh bayar.” Nurhana ketap bibir selepas menuturkan bicara.
Terpaksa pinjam duit papalah nampaknya.
“Sorry... it’s too late.” Jejaka itu menunjukkan skrin
telefonnya yang sudah gelap, tanda panggilan sudah lama
ditamatkan.
Nurhana mengetap bibir. ‘Dia ni, ikut suka hati dia
aje nak buat apa!’
“Sekejap lagi kawan saya tu akan datang untuk tarik
kereta awak. Sebenarnya awak nak pergi mana ni? Saya boleh
tolong hantarkan.” Jejaka itu menawarkan bantuan.
“Eh, takpelah. Saya tak nak susahkan awak. Biar saya
tunggu teksi aje.” Nurhana cepat-cepat menolak.
“Saya bukannya ada benda nak dibuat pun. Biar saya
hantar awak. Lagipun tempat ni susah nak dapat teksi tau.”
“It’s okay. Saya boleh telefon kawan saya. Minta
mereka tolong ambil saya kat sini.” Nurhana menunjukkan
telefon bimbitnya. Dia ingin mendail, namun pergerakannya
terhenti sendiri.
‘Aku masih ada kawan lagi ke?’ Nurhana
tertanya-tanya. Sepanjang dua tahun berada di luar negara,
hubungannya dengan rakan-rakan lama sudah terputus.
Apatah lagi selepas berkeluarga, mereka terus menyepi dek
sibuk dengan urusan sendiri.
“Kenapa tak call?” Jejaka itu masih memerhatikan
dirinya.
“Kalau kawan awak sibuk, saya tolong hantarkan.”
“Awak pergilah dulu. Saya boleh tunggu teksi.”
Jejaka itu diam sejenak, tidak terkata. Ditatap wajah
Nurhana, cuba membaca apa yang tersirat di sebalik kata-kata
gadis itu.
“Awak tak percayakan saya.” Kata-kata jejaka itu
bukan dalam bentuk soalan, sebaliknya lebih pada suatu
kenyataan.
Nurhana terus mengangguk, mengiakan.
“Ouch, you hurt me!” Jejaka itu meletakkan tangan
ke dadanya sendiri. Wajahnya berkerut, mempamerkan perit
yang nyata dibuat-buat.
“Saya langsung tak tahu nama awak. Macam mana
saya nak percaya orang yang saya langsung tak kenal?” ujar
Nurhana. Dia tidak berani mempercayai lelaki yang baru dia
temui itu.
“Saya Amir Haznik bin Amirudin. Sekarang awak
dah tahu nama saya, kan?”

Demi RindumuWhere stories live. Discover now