ADLILA pandang jemari manisnya yang tersarung cincin belah rotan. Tercapai juga impiannya untuk menjadi tunangan Falik setelah sekian lama bercinta. Tapi sayangnya, Falik pula yang akan menyambung pelajaran ke London.
Adlila pandang Falik di sisinya.
"Tak payah sedihlah Lila. Lik pergi tak lama. Empat tahun tu pejam celik saja dah habis. Lepas tu kita kahwinlah." Falik senyum.
Sungguh, dia tak sanggup nak tinggalkan Adlila. Percintaan sejak zaman sekolah sudah pun termeterai dengan pertunangan. Kalau boleh, memang dia nak kahwin dan bawa Adlila ke sana. Tapi, emaknya menghalang. Emaknya mahukan Falik pergi belajar saja.
Mereka semua sedar selepas habis A levelnya itu, dia akan menyambung pelajaran ke sana. Tapi, itulah bila makin dekat dengan tarikhnya, semakin kuat pula hati tidak mahu melepaskannya.
"Empat tahun tu lamalah, Lik."
Adlila cemberutkan mukanya. Tak sanggup nak fikir apa yang akan jadi dalam masa empat tahun itu.
Falik ketawa. Kalau boleh, mahu saja dia peluk Adlila. Tapi, dia tahu Adlila tak suka sentuh-sentuh sebelum kahwin. Haram. Ah, dia pun tahu tentang itu, cumanya dia terlalu ingin menyentuh Adlila.
"Lila, bagi Lik sentuh Lila sikit. Nanti kempunanlah Lik kat sana." Falik pamer muka sedih.
"Nak pergi jauh bukan ada tiket boleh sentuh ya." Adlila tegas dengan pendiriannya.
Ibu sudah berkali-kali memesan. Jangan sesekali. Di antara dua orang makhluk yang berlainan jantina, ada syaitan di tengahnya. Syaitan yang sedang menanti untuk meruntuhkan akhlak umat Nabi Muhammad SAW.
"Lila ni berkiralah." Falik tarik muka.
"Lik, nak sentuh Lila, kahwin dulu ya. Jangan nak buat sekarang. Haram." Adlila mengingatkan Falik.
"Yalah, yalah. Lik tunggu sampai kita kahwin. Nanti lepas kahwin, tahulah Lila." Falik angkat keningnya.
Adlila ketawa. Lepas kahwin dia tak kisah pun.
"LIK, jangan lupakan Lila ya." Adlila berpesan untuk kali yang ke berapa.
"Lik tu pergi belajar, Lila. Kena tumpu pada pelajaran. Kalau asyik ingat kamu saja nanti, bila masa dia nak belajar."
Puan Hamilah menyampuk. Bibirnya mengherot.
"Lila bukan suruh dia ingat Lila sampai tak belajar, mak cik. Jangan lupa Lila saja. Belajar tetap belajar." Adlila menjawab.
Naik geram dia dengan kata-kata bakal ibu mentuanya itu. Lepas kahwin nanti, tahulah dia nak ajak Falik tinggal di tempat lain.
"Lik takkan lupakan Lila." Falik sengih.
Rasa macam nak peluk Adlila sekarang juga.
"Mak, kalau mak benarkan, Lik dah kahwin dengan Lila. Lik nak bawa dia pergi sana." Falik sengih kepada emaknya.
"Jangan cari pasal. Dunia kamu tu masih luas. Bukan ada Lila saja." Puan Hamilah menjuih.
"Masalahnya, saya dengan dia dah bertunang, mak cik. Macam mana pun, dunia Lik mesti ada Lila, mak cik." Adlila menjawab lagi.
Tak senang hati dengan kata-kata orang tua ni. Ada saja yang tak kena.
Adlila memang sudah pelan dari awal dia akan tinggal di tempat lain selepas kahwin dengan Falik. Kalau tengok gaya Puan Hamilah tu, sah-sah dia akan masuk campur dalam perkahwinan mereka. Serupa artis terkenal yang baru bercerai tu.

YOU ARE READING
CINTA HARUS MEMILIKI
RomanceTajuk: CINTA HARUS MEMILIKI Penulis: ZAZA QRY Harga: RM25 / RM28 Adlila dicurangi tunangnya, Falik. Daripada mahu menangisi kecurangan Falik, Adlila bertindak memaksa Falik membayar wang yang telah dia habiskan untuk Falik semasa tunangnya itu belaj...