Amin Al-Hafiz

34 2 3
                                    


   Suasana riuh pada waktu pagi di hadapan sekolah . Suasana yang tidak asing lagi bagi seorang guru seperti aku. Namun ini bukan kisah aku, ini kisah tentang anak murid aku. Seorang pelajar biasa namun, semangat juangnya sangat tinggi. Cukup untuk membuat aku kagum terhadap dirinya.

   Kisahnya bermula pada hari pertama aku mula mengajar di sekolah ini. Lengkap berkemeja batik, berseluar slack serta bersongkok. Aku yang dikenali sebagai Ustaz Ali mula melangkah menuju ke bilik darjah sambil mengelek beberapa buah buku untuk dijadikan rujukan untuk kelas pertama aku sebaik sahaja bergelar seorang guru. Tiba-tiba aku disapa oleh seorang pelajar yang berpakaian kemas yang mana dia juga memakai songkok seperti aku.

"Assalamualaikum cikgu. Cikgu baharu di sekolah ini bukan ? Gayanya seperti mencari sesuatu. Boleh saya bantu ? " kata pelajar itu kepadaku.

Mungkin sahaja kerana gayaku yang seperti mencari kelas dan sememangnya itulah keadaan sebenarku pada waktu itu.

"Waalaikumussalam, ya saya guu baharu di sini. Nama saya Ustaz Ali. Saya sedang mencari kelas 2 Sodiq. Kamu tahu di mana? " balasku untuk mula berkenalan serta bertanyakan arah tujuku.

"Ustaz rupanya. Ustaz itu kelas saya. Mari ikut saya saya tunjukkan ustaz arahnya" jawab pelajar itu.

Dalam perjalanan aku ke kelas aku sempat berbual ringkas dengan pelajar itu.

"Apa nama kamu ?" soalku
"Nama saya Muhammad Amin bin Ahmad " jawab dia bersahaja.

"Kamu tinggal di mana ?" soalku memperpanjang perbualan.

"Saya tinggal berdekatan sini sahaja Ustaz. Tidak jauh dua lorong sahaja dari sekolah ini " jawab Amin memperinci kedudukan rumahnya.

"Ustaz sudah sampai" kata Amin sebaik sahaja tiba di depan kelasnya.

"Terima kasih ya Amin" ucapku. Namun dia hanya tersenyum lalu masuk ke kelas.

Aku mulakan sesi pembelajaran pertama aku dengan sesi suai kenal pelajar-pelajar di kelas tersebut. Dalam banyak-banyak pelajar aku tertarik untuk mengenali Amin dengan lebih dekat, pelajar yang pertama membantu aku. Aku bertanyakan perihal Amin kepada beberapa orang guru yang baru aku kenali. Hasil yang aku dapati, baru aku tahu bahawasanya Amin itu seorang anak yatim. Ayahnya meninggal setahun yang lepas kerana sakit yang tenat. Aku cuba untuk mengekori Amin ketika dia pulang dari sekolah. Aku dapati rumahnya tidak kukuh lagi seperti rumah yang lain. Rumahnya kelihatan uzur dan hampir roboh. Setiap hari apabila Amin pulang ke rumah, kelihatan ibunya sentiasa menyambut Amin di pintu.

Aku yang menyewa rumah berdekatan sekolah di kampung itu, sering juga ke surau yang terletak di hujung kampung. Apabila tiba di surau, kelihatan Amin sudah sampai dahulu daripada aku. Dia mengenakan sepasang jubah putih, berserban dan tergantung sehelai ridak berwarna hijau di bahunya.

Setiap kali aku ke surau, aku akan melihat Amin sentiasa mengenakan persalinan yang sama dan dia terlebih dahulu sampai sebelum aku. Aku selalu melihat Amin membaca Al-quran dan duduk di saf yang pertama sementara menunggu masuknya waktu solat. Aku kehairanan kerana jarak rumahnya dan surau itu agak jauh.

Selesai solat berjemaah aku mendekati Amin kerana hendak bertanyakan perihal kelakuannya itu.

"Amin, Ustaz selalu lihat kamu sampai awal ke surau dan setiap kali Ustaz tengok, kamu tetap dengan persalinan yang sama. Bolehkah kamu beritahu kepada Ustaz mengapa ? " soalku kepada Amin sebaik sahaja dia melangkah keluar dari surau.

"Jika ustaz ingin tahu, jubah, serban dan ridak yang selalu saya pakai ini merupakan peninggalan arwah ayah saya. Dahulu, saya selalu pergi ke surau bersama ayah. Ayah selalu membonceng saya dengan basikal ini." terang Amin sambil menunjukkan sebuah basikal tua yang tersandar di sebelah pintu masuk surau. Kelihatan mata Amin mula berkaca kerana sebak.

Amin Al-Hafiz Where stories live. Discover now