"Bosannya minggu ini. Asyik melepak saja di rumah. Apa kata hujung minggu nanti kita ke Air Terjun Bakawali?" Fiza meluahkan rasa bosannya. Zara dan Amanda yang leka menghafal lirik lagu Justin Bieber masing-masing tersentak. Mata mereka yang sememangnya bulat semakin bulat.
"Wah, cadangan yang sungguh hebat!" Amanda memuji cadangan sahabat baiknya itu.
"Mmm... Bunyinya sungguh menarik. Lagipun kita sudah lama tidak keluar beriadah," Zara pulak menambah.
"Fiza... Tolong mama sayang. Tolong angkat baju-baju ini semua. Bawa masuk ke dalam kereta mama," arah Datin Norjuma sambil tergesa-gesa menyarung selipar dengan timbunan koleksi baju dipelukkannya. Terkedik-kedik Fiza berlari mengambil sebahagian lagi baju-baju yang bertimbun di atas sofa putih rumahnya. Dia mengatur langkah menuju ke kereta mamanya, sebuah kereta Mercedes berwarna biru muda.
"Banyaknya mama. Kenapa mama tidak suruh Kak Rozie datang ambil saja? Bukankah lagi senang? Tidak menyusahkan kita. Sudah ada pembantu peribadi tapi tidak buat kerja. Rugi sajalah mama bayar upah Kak Rozie," bebel Fiza sambil memasukkan baju-baju yang dipegangnya. Naik lenguh legan Fiza kerana jarang buat kerja. Semua kerja bibik yang uruskan. Nasib baik jika ingin makan tidak minta bibik tolong kunyahkan. Kalau tidak, alahai... Dahsyatnya.
"Hai... Mama minta tolong sedikit sudah bising," sindir Datin Norjuma yang lengkap berjubah hitam.
"Bukan bising... Cuma Fiza meluahkan pendapat Fiza yang bernas lagi ideal. Bukan senang Fiza mahu berkongsi idea yang hebat begini," Fiza tersengih. Mulalah masuk bakul angkat sendiri.
"Mmm... Yalah. Suka sangat anak mama yang seorang ini angkat bakul sendiri," sekali lagi Datin Norjuma menyindir anak gadisnya.
"He... He... He... Boleh apa mama. Fiza masuk dalam bakul kemudian duduk dalam lif. Tekan. Dia naiklah sendiri," Sempat pula Fiza buat lawak bodoh.
"Haah... Kamu sudah habis sekolah. Apa perancangan Fiza dan kawan-kawan?" soal Datin Norjuma sambil mengemas baju yang penuh di bahagian belakang keretanya. Hampir tidak nampak cermin pandang belakang.
"Dum!" pintu kereta ditutup kuat oleh Datin Norjuma.
"Er... Er... Kami sedang berbincanglah tadi, mama."
"Apa kata ikut mama pergi butik? Tolong mama jaga butik. Ataupun kalau Fiza mahu boleh tolong jaga spa mama yang baru dibuka di Ampang. Boleh?"
"Wah, Fiza akan fikirkan dulu ya mama!" kata Fiza sekadar menjaga hati mamanya. Dia memang tidak berminat bekerja dengan mama sendiri. Lagipun baru empat hari mereka cuti sekolah. Baru empat hari juga mereka menamatkan peperangan. Perang menjawab soalan peperiksaan. Mereka bertiga baru habis peperiksaan SPM.
"Amboi, macam kurang berminat saja? Fiza ajaklah sekali Zara dan Amanda kerja dengan mama," cadang Datin Norjuma lagi tidak putus asa.
"Tengoklah mama. Nanti Fiza tanya pada mereka. Tapi sebelum apa-apa, kami bercadang hendak ke Air Terjun Bakawali esok. Bolehkan mama?"
"Air terjun? Kolam renang di rumah kita punyalah besar belum puas berenang?"
"Ala mama... Mandi kolam dengan mandi air terjun lain. Tidak sama. Lagipun di sana boleh cuci mata dan segarkan diri melihat keindahan alam semula jadi," balas Fiza manja sampai terlentok kepalanya pada bahu mamanya.
"Tanya papa. Kalau papa kata okey. Okeylah. Kalau tidak okey... Maaf ya."
"Terima kasih mama. Nanti papa balik, Fiza tanya. Mama mahu ke butik sekarang?"
YOU ARE READING
Fiza Ashley (Malay Version)
DiversosMenjadi sukarelawan di rumah orang tua? Oh tidak!!! Itulah padahnya jika panas baran dan bertindak sesuka hati. Akhirnya, Fiza Ashley dihukum oleh mama kerana bergaduh dengan pelanggan di spa mama. Apakah yang akan berlaku pada Fiza Ashley semas...