CERPEN: IMBER

1.2K 73 6
                                    

IMBER

Imber memandang kosong kerusi meja makan yang berada di hadapannya sekarang ini. Matanya mula beralih ke arah jam di dinding. Jarum pendek singgah di angka 10 dan jarum panjang berhenti di angka 12. Tubuhnya mula bangun dari duduk dan mengutip dua pinggan kosong di atas meja makan. Imber menuju ke ruang dapur ingin meletakkan semula pinggan ke dalam almari. Namun, langkah kakinya berhenti dek deringan telefon rumah yang menjerit minta diangkat. Gadis itu meneruskan langkahnya menghiraukan panggilan tersebut. Tapi, untuk deringan kali kedua, dia terpaksa juga pergi menyambut panggilan tersebut. Ganggang telefon diangkat lalu dilekap ke telinganya. "Mama masih ada hal dengan Pakcik..." tanpa mendengar dengan lebih lanjut, Imber meletakkan ganggang telefon ke tempatnya semula.

Dia memeriksa beg galasnya buat kali kedua di depan pintu rumah. Beberapa barang dan bahan yang penting sudah dibawanya bersama. Imber membuka langkah meninggalkan kawasan rumahnya. Semakin jauh langkahnya dari rumah, semakin dalam dia masuk ke dalam hutan gelap yang terletak di belakang rumahnya. "Kenapa sahaja tidak beritahu awal-awal? Argh! Tak faham aku." Rasa kesal dan marah bercampur tika ini dalam diri Imber. Pada tika itu, hanya pokok-pokok dan haiwan-haiwan di dalam hutan menjadi telinga mendengar luahan hati Imber.

"Papa..." bisiknya perlahan. Apabila panggilan itu meniti di bibirnya, hatinya di singgah rasa sayu. Bagi Imber, kehilangan lelaki itu bagai merubah segala dalam hidupnya. Perkara itu tidak dapat dia nafikan.

Imber mendongakkan kepalanya memandang langit gelap yang hanya ditaburi bintang-bintang. Jarinya menekan hidung dalam beberapa saat. Matanya dipejam dan nafas ditarik dihembus. "Jangan menangis Imber. Kau tak boleh menangis." Katanya memujuk diri sendiri dalam masa yang sama menyuruh diri sendiri agar kuat. Lemah? Kalau boleh, dia tidak mahu orang sekelilingnya tahu yang dia bagai sebuah kaca yang sudah retak hanya kerana kehilangan seseorang yang penting dalam kehidupannya. Kalau dia tahu kaca itu ingin retak, dia cuba juga tutup atau baiki agar retakan itu tidak boleh dilihat orang. Biarlah hanya dirinya sendiri sahaja yang tahu apa yang berada dan bermain di dalam kepalanya.

Imber menyingsing sedikit lengan bajunya dan melihat kearah jam tangan yang berada di pergelangan tangan. Dia memandang ke kiri dan kanan. Entah mengapa malam ini dia ingin mencabar diri sendiri untuk tidak mengikut trek jalan hutan yang biasa diikutinya. Menimbang-nimbang keputusan, gadis itu akhirnya membuat pilihan untuk menyahut cabaran dengan memilih jalan kanan.

Beberapa minit sudah berlalu tanpa dia sedar kerana dirinya sangat selesa berada di dalam kawasan hutan gelap itu. Kakinya terpaku begitu juga dengan pandangan Imber. "Wow!" itu sahaja yang mampu keluar dari mulutnya. Siapa sahaja yang berada di tempatnya sekarang ini akan rasa kagum dengan keindahan yang berada di hadapan di matanya. Bunyi yang disangkanya air sungai deras rupa-rupanya bunyi air terjun. Malah, menambahkan keindahan kawasan air terjun itu adalah dengan cahaya rembulan yang seolah menjadi mentol lampu mencahayai air terjun itu.

Dia terus berjalan. Satu persatu batu besar dilompatnya seperti main permainan tengteng. Senyuman semakin melebar di wajahnya saat dirinya semakin mendekati air terjun yang mengalir tidak putus-putus. Tangannya dibiarkan merasai kesejukan air mengalir. Hatinya yang tadi marah dan kesal bagai terubat dengan ketenangan dan kesejukan air terjun tersebut. Imber menadah tangan menahan air dan basuh mukanya. Segar! Nyaman!

Imber meletakkan beg galasnya di atas batu besar. Kemudian, dia membiarkan tubuhnya berdiri di bawah air terjun. Sejuk? Sejuk hingga terasa di tulang hitam tapi itu tidak menghalang dirinya dari bersatu dengan air terjun. Rambutnya yang disanggul tinggi tadi dilepaskan. Tangannya didepakan. Matanya ditutup. Bunyi-bunyian air terjun dan hutan gelap malam itu menyapa telinganya menyenandungkan irama-irama indah. "Argh!!!" Jerit Imber sekuat hati melepaskan rasa yang tersimpan dalam hatinya selama ini. Dia terasa panas di tubir matanya. Ya, dia tahu dia menangis. Tapi, dia tidak hirau kerana air terjun yang mengalir menghapuskan air mata dia. Seolah-olah mutiara jernih itu tidak menganggu dan menyapa dia.

IMBERWhere stories live. Discover now