ADLILA dan Lorena berjalan lagi.
Kata Lorena, pulau ini dikenali dengan nama Pulau Romantik. Patutlah dia nampak ramai saja pasangan yang berpegangan tangan. Dah nama pun Pulau Romantik. Kiranya nak beromantik kat sinilah. Cumanya, tak sedap dipandang mat salih dan minah salih yang tak hairan dengan orang bercumbu.
Panas melihat aksi mereka. Bukan panas yang satu itu, tapi panas hati. Rasa nak tegur saja. Tapi, dia sedar dia tiada hak untuk berbuat demikian.
"Kau ni macam tak ada tempat lain kau nak bawa aku." Adlila merungut.
Tapi, mata masih lagi memandang aksi panas tersebut.
"Aku sajalah nak datang. Boleh cuci mata." Lorena tergelak.
"Cuci mata kepala bapa kau. Kau tengok tu. Hii, maksiat!" Adlila menjawab kasar.
Matanya terarah pada pasangan yang sedang memeluk antara satu sama lain sambil bibir bertaut. Itu belum lagi dikira tangan lelaki itu yang memeluk belakang perempuan itu. Kalau boleh nak masukkan perempuan tu dalam badan dia.
Memanglah bukan orang Melayu, tapi dia geli tengok aksi itu. Suka sangat tunjuk kemesraan depan orang ramai.
"Dah nama pun mat salih. Biarlah." Lorena ketawa kecil. Dia turut memerhatikan pasangan tersebut.
"Sebab tu aku tak suka mat salih. Tak kira tempat nak tunjuk kemesraan. Patutnya perkara macam ni hanya rahsia di antara pasangan saja. Ini tidak, boleh buat orang fikir apa sebenarnya yang berlaku dalam bilik tidur mereka." Panjang lebar Adlila meluahkan rasa hatinya.
Lorena ketawa. Sampai ke situ Adlila fikir.
"Lila, kalaulah satu hari nanti kau ada jodoh tak kira dengan siapa pun, kau takkan cium peneman kau kat tempat awam?" tanya Lorena.
"Takkan!" Dia menjawab yakin.
"Aku takut kau dapat suami yang nak cium kau tak kira tempat aje." Lorena mengusik.
"Kau doakan aku?" Adlila jegil mata.
"Taklah. Mana tahu kan. Ataupun, kau yang nak cium dia merata tempat." Lorena ketawa lagi dengan usikannya.
Adlila mengejar Lorena. Laju pula Lorena lari. Termengeh-mengah Adlila mengejar. Lorena yang semakin jauh membuatkan Adlila tak fikir perkara lain. Apa yang dia tahu, dia hanya mahu mengejar Lorena.
Buk. Kaki Adlila tersadung sesuatu dan dia tersembam ke pasir pantai yang putih. Wajahnya tenggelam dalam pasir halus itu.
Adlila menjerit apabila mukanya dipenuhi dengan pasir. Mahu membuka mata pun dia tidak berani. Tangannya laju menyapu mukanya. Tapi ada tangan yang memegang tangannya dan menolongnya.
"Ena, sebab kaulah ni. Menyampah aku!" Adlila menjerit.
Tangan Lorena turun ke lehernya. Menyapu sisa pasir di tudungnya.
"Kau ni gatallah. Sapu muka aku aje. Tangan tu jangan gatal ke tempat lain. Aku rasa kat muka aku aje ada pasir."
Adlila pegang tangan yang sedang menyapu bahagian atas tudungnya itu. Dia merasakan itu bukan tangan Lorena. Sepantas kilat dia membuka mata. Adlila lepaskan tangan apabila dia dengan jelasnya nampak wajah yang berada di depannya.
Darrin!
Terlentang Adlila ke belakang kerana terkejut. Sungguh, dia ingatkan Lorena.
Darrin mahu menolong Adlila bangun. Dia hulurkan tangannya dan entah macam mana, badannya tidak seimbang ketika menghulurkan tangan.
Buk! Muka Darrin tersembam betul-betul di dada Adlila.
Terkebil-kebil Adlila memandang Darrin yang turut memandangnya. Adlila tolak tubuh Darrin ke tepi dan tanpa dapat dikawal, tangannya memukul dada Darrin sekuat hatinya. Bertubi-tubi.
YOU ARE READING
CINTA HARUS MEMILIKI
RomanceTajuk: CINTA HARUS MEMILIKI Penulis: ZAZA QRY Harga: RM25 / RM28 Adlila dicurangi tunangnya, Falik. Daripada mahu menangisi kecurangan Falik, Adlila bertindak memaksa Falik membayar wang yang telah dia habiskan untuk Falik semasa tunangnya itu belaj...