PUAN AMNI memandang Adlila yang duduk menyandar di keretanya. Sejak balik dari tempat kerja, dia hanya berdiri di situ.
"Lila, rumah kita nak runtuh ke?" tanya Puan Amni.
"Hah?" Adlila tengadah dan ketawa kecil lalu diayunkan kakinya ke arah ibunya.
"Ada apa lagi, Lila?" tanya Puan Amni.
Tak lain tak bukan, Adlila sedang berfikir tentang Faliklah tu. Adlila nampak saja kuat di luar. Puan Amni tahu Adlila sedang bersedih di dalam.
"Falik, ibu..." Adlila tiba-tiba menangis.
"Lila ni separuh mati cintakan dia, tapi dia buat Lila macam ni. Apa salah Lila, ibu?"
Adlila baru melepaskan rasa hati setelah sekian lama. Puan Amni lega apabila Adlila mula menangis. Sungguh dia risau apabila Adlila hanya mengamuk saja selepas hal Falik mahu memutuskan pertunangan mereka. Dia tahu Adlila sedang meratap dalam hati.
"Ibu lega bila Lila dah menangis macam ni. Falik bukan untuk Lila sebab Lila lebih baik daripada dia." Puan Amni mengusap belakang Adlila.
"Lila ni tak baiklah, sebab tu Falik tinggalkan Lila."
"Lila, Lila belum jadi isteri dia lagi. Kalau isteri, baru Lila boleh guna ayat tu. Falik yang bodoh sebab tinggalkan Lila," pujuk Puan Amni lagi.
Adlila terlalu baik.
"Lila nak duit Lila semula, ibu. Sampai ke lubang cacing Lila akan cari dia. Dia kena bayar balik hutang dia dengan Lila."
Adlila menyapu air mata yang mengalir di pipi. Bila sebut pasal duit saja, Adlila jadi bersemangat semula.
"Haisy, sampai macam tu sekali."
"Itu titik peluh Lila, ibu. Lila buat part-time lagi. Gila kalau Lila tak tuntut balik." Adlila mendesis kuat.
"Nak cari dia kat mana Lila?" tanya Puan Amni.
"Lila dah jumpa tempat yang mungkin Lila akan jumpa Falik. Mungkin bukan dalam masa yang terdekat."
"Di mana?" tanya Puan Amni.
"Terengganu."
Ternganga Puan Amni. Jauh betul tu.
"Lila... dah berapa bulan Lila putus tunang?"
Adlila diam sambil berfikir. "Dekat tujuh bulan, ibu. Kenapa?"
"Hmm, kawan ibu ni... Dia tanya ibu pasal Lila..."
Teragak-agak Puan Amni bertanya. Bimbang Adlila mengamuk.
"Nak jodohkan Lila ke, ibu?" tanya Adlila laju. Matanya tidak lepas memandang Puan Amni.
Puan Amni angguk laju. Kalau Adlila sudi terima, bolehlah dia merapatkan lagi hubungan persahabatan dengan kawannya itu. Sudah lama Umi Yan bertanyakan Adlila. Tapi, ketika itu Adlila sudah menjadi tunangan Falik.
"Tak naklah, ibu. Jantan-jantan kat luar tu bukan boleh percaya. Lila nak sendiri." Adlila menjawab tegas.
Hal dengan Falik pun tak selesai lagi, ini nak menambah pasal pula.
"Mana boleh, Lila. Ibu nak juga cucu. Takkanlah Lila nak sendiri sampai Lila tua?"
Puan Amni tak suka jika itu yang berlaku. Kecewalah dia kalau itu benar-benar terjadi.
"Haisy, ibu ni... kahwin tak menjamin nak dapat cucu ke tak. Entah-entah Lila ni mandul. Ha, tak ke haru." Adlila cakap perkara yang tak sepatutnya pula.
Puan Amni menampar mulut Adlila agak kuat.
"Tarik balik, Lila. Ada ke patut cakap mandul sebelum kahwin."

YOU ARE READING
CINTA HARUS MEMILIKI
RomanceTajuk: CINTA HARUS MEMILIKI Penulis: ZAZA QRY Harga: RM25 / RM28 Adlila dicurangi tunangnya, Falik. Daripada mahu menangisi kecurangan Falik, Adlila bertindak memaksa Falik membayar wang yang telah dia habiskan untuk Falik semasa tunangnya itu belaj...