Bab 1
"AKU jumpa kau esok!"
Airis Qaisya melambaikan tangan pada rakan-rakannya ketika keluar dari perkarangan universiti, lalu menaiki bas ke stesen LRT terdekat. Dia mengeluarkan telefonnya dan cuba menghubungi kakak kembarnya yang akan berkahwin pada akhir bulan ini tetapi gagal. Kakaknya tidak menelefonnya semula dan Qaisya sudah bimbang. Mereka sepatutnya melihat gaun perkahwinan Naira petang ini tetapi Naira tidak mengangkat panggilan telefonnya.
Qaisya tidak dapat berbuat apa-apa. Dia menyentuhkan kad Touch 'n' Go-nya di mesin dan berlari menaiki anak tangga untuk ke platform LRT. Qaisya berdiri di belakang garis kuning di platform ketika dia menunggu kereta api itu tiba. Dia mengeluarkan iPod dari beg galasnya dan memasukkan earphone ke telinga. Sebaik saja LRT tiba, Qaisya masuk ke dalam kereta api dan dengan cepat pergi ke tempat duduk kosong yang ada.
Baru dia hendak lelapkan mata, telefonnya mula berdering. Qaisya mengeluarkan fon telinga dan tersenyum apabila melihat nama Naira muncul di skrin telefonnya. "Kak, Qaisya dah telefon kakak berkali-kali!" Qaisya sudah mula membebel. Walaupun mereka kembar, dia lahir dua belas minit lambat daripada Naira. Sepatutnya Naira yang lebih banyak membebel. Tetapi, tidak.
"Alamak! Sorry, Qaisya! Kakak terlupa!"
"Macam mana pula boleh terlupa? Qaisya dah janji nak teman kakak, kan? Kak, dah pukul 6.30 petang ni. Butik tutup pukul 9.00 malam. We can still make it if you want."
"Okey, okey. Kakak keluar office sekarang. Lagi setengah jam kakak sampai. Qaisya tunggu aje di sana. By the way, Abang Azhar tak boleh datang sebab dia ada emergency di hospital. Tapi, nanti dia jemput kita untuk dinner."
"Okey. Jumpa dekat sana!"
Qaisya menutup panggilan dan menyimpan telefonnya kembali ke dalam begnya. Dia memandang ke luar tingkap dan mula mengelamun terfikirkan Naira. Sudah 26 tahun mereka hidup bersama. Mereka lahir daripada rahim yang sama. Ke mana saja mereka pergi, mereka pasti bersama. Kini, Naira bakal meninggalkannya. Naira bakal menjadi isteri orang kurang dari sebulan lagi. Kembarnya bakal menjadi isteri kepada Tengku Azhar.
Qaisya tahu bahawa Naira akan gembira kerana Tengku Azhar adalah seorang lelaki yang baik. Naira dan Tengku Azhar sudah setahun menjalin hubungan dan mereka memutuskan untuk berkahwin pada Disember ini. Qaisya masih ingat betapa gembiranya Naira enam bulan lalu apabila Tengku Azhar melamarnya. Naira adalah orang paling gembira apabila dia pulang ke rumah malam itu dan menunjuk pada Qaisya cincin yang dibeli oleh Tengku Azhar untuknya.
Qaisya gembira tetapi juga sedih kerana tahu bahawa dia bakal kehilangan sebahagian daripada dirinya apabila Naira bergelar isteri Tengku Azhar kelak. Qaisya pula? Jangankan kahwin, nak buat jadi teman wanita pun belum tentu ada orang mahukannya. Apatah lagi nak kahwin dengan dia. Naira dan dia adalah seperti dua orang yang berbeza. Jika Naira adalah anak perempuan yang cantik dan baik, dia seorang pemberontak.
Dia lebih sukakan kasual. Jeans dan t-shirt putih memang pakaian sehariannya. Tetapi, Naira tidak. Kembarnya lebih feminin berbanding dia. Naira pakai make up sedikit pun dah cantik. Natural look gitu. Ala-ala Fazura gitu. Qaisya pula kalau cuba pakai make up.. dah macam pelakon opera cina! Tetapi, Qaisya sikit pun tak peduli. Buat apa dia nak cemburukan Naira?
Memang Tuhan dah cipta manusia semuanya berbeza dan punya kelebihan dan kekurangan masing-masing. Siapa dia untuk mengubah ciptaan Tuhannya? Qaisya sayangkan Naira. Sebab itulah dia tidak peduli langsung jika ada yang membeza-bezakan mereka berdua. Dia sendiri mengaku yang Naira jauh lebih cantik daripadanya. Sebaik tiba di stesyen MRT Damansara, dia bergegas menuruni tangga bergerak.
YOU ARE READING
Setelah Kita Bertemu [ TERBIT ]
RomanceIndah dan bahagia, dua kata itu cukup menggambarkan betapa sempurnanya hidup Airis Qaisya. Namun, satu kejadian yang menimpa telah meragut segala-galanya. Dalam sekelip mata, indah itu lenyap.... bahagia itu ranap. Kakak kembarnya, Alayna Naira, mel...