Prolog

817 22 0
                                    


Dia berdiri di situ. Di sebuah tempat yang tinggi dan agak terasing. Melihat pelabuhan besar yang terbentang di hadapan. Teropong dinaikkan dengan tangan kanan agar searas dengan mata. Aktiviti di satu bahagian pelabuhan tersebut dapat dilihat dengan lebih jelas. Beberapa pekerja seperti sedang mengalihkan sesuatu daripada kontena.

Dia menghela nafas, panjang. Teropong dijauhkan daripada mata. Kemudian, pandangannya mendarat ke sebuah poster yang ditampal berdekatan pelabuhan tersebut. Poster seorang lelaki berpakaian korporat dengan ungkapan kata-kata, OYABUN: Keunggulan Masa Depan Kota Lemuria.

Dia hanya mampu tersengih kelat.

"Keunggulan masa depan apa jika apa yang engkau lakukan hanyalah kerosakan?"

Deruman sebuah kenderaan menarik perhatiannya. Segera dia berpaling. Sebuah kereta mendekati tempat dia berada. Seorang lelaki yang sedikit berusia kelihatan pada tempat pemandu. Lelaki itu keluar dan berjalan mendekatinya.

"Bagaimana, Zaman?"

"Zaman nekad, ayah."

"Ayah pasti, engkau sudah tahu benar makna perjuangan. Berjuang itu berkorban. Berkorban itu ertinya ..."

"Berkorban itu ertinya terkorban, ayah. Zaman tahu."

Teropong pada tangan kanan dilepaskan, dibiarkan bergayutan pada leher. Tangan kanan tersebut kemudiannya mengenggam erat tangan lelaki yang dipanggil Ayah itu.

"Man sanggup, ayah. Kalaulah itu harganya perjuangan Man ini. Mereka telah jatuhkan ayah dengan cara kotor. Kita perlu dedahkan permainan jahat mereka ..." Zaman berpaling kembali menghadap pelabuhan. "... dan juga perbuatan-perbuatan buruk mereka ke atas Kota Lemuria ini."

Ayah mengangguk-angguk.

"Sebelum itu, selamatkanlah dahulu anak-anak dan isteri engkau, Zaman."

Zaman kembali menatap Ayah, mengangguk kecil.

"Kota Lemuria akan bergegar, ayah. Zaman pasti."

Ayah sekadar meleretkan senyuman penuh makna.

"Kita hanya hamba Allah, Zaman. Tidak ada yang pasti buat kita, melainkan janji-janji-Nya."

***

"Amru, macam mana perut? Sudah semakin lega?"

Anak kecil itu mengangkat wajah, menatap Bonda. Wajah wanita yang ditatapnya itu mulus, berhias senyuman indah, membuatkan dia sendiri turut tersenyum sambil menjilat aiskrim yang dipegang. Tangan kanannya sudah kotor dengan lelehan aiskrim tersebut. Tangan kiri pula menepuk perutnya sendiri.

"Alhamdulillah, bonda. Sudah tidak meragam."

"Bagus. Esok boleh ke kelas al-Quran semula. Kasihan Amri, berseorangan hari ini."

"Nanti Amri kena ajar Amru apa dia telah belajar hari ini, kan bonda?"

Sekali lagi wanita itu mengukir senyuman lebar lagi manis. "Nanti bonda periksa bacaan Amru dan Amri selepas maghrib. Insya-Allah, bonda akan pastikan Amru tidak ketinggalan."

"Kalau Amri lagi pandai daripada Amru, nanti Amru sedih." Amru mencebik.

Bonda tertawa. "Aturan Allah SWT itu terbaik, Amru. Hari ini Dia tentukan perut Amru tidak selesa. Entah esok lusa, hari Amri pula. Apa sahaja kelebihan dan kekurangan antara kalian adik beradik, perlulah sentiasa saling lengkap-melengkapi. Jangan dicontohi sengketa Habil dan Qabil." Pipi Amru dicubit lembut.

Amru RebellionWhere stories live. Discover now