Perkarangan Madrasah Taujih Ruhiyyah semakin jauh ditinggalkan. Beberapa santri junior melambai-lambai kepada Amru. Amru sekadar mengangkat tangan, namun tidak dapat memaniskan roman wajahnya yang sugul.
Perlahan-lahan Taujih Ruhiyyah menghilang di balik belantara.
Amru memandang ke tempat pemandu. Seniornya, Khalid, sedang tekun memandu, membawa mereka keluar dari belantara ini.
Untuk ke Kota Lemuria, dia perlu pertamanya ke jeti, kerana tempat itu tidak berhubung dengan kawasan ini melalui jalan darat. Kemudian, Amru akan menempuh perjalanan air yang memakan masa sekitar dua hari, sebelum tiba ke kota tempat lahirnya itu.
"Bonda Amru ada di sana. Jaga dia sebaiknya. Tiada yang lebih bererti pada saat ini buat bondamu itu, melainkan Amru ada di sisinya."
Suara Buya bergema, terngiang-ngiang dalam ingatan. Amru menghela nafas.
"Semuanya akan baik-baik sahaja, Amru."
Khalid yang perasan dengan kesugulan yang dipamerkan Amru, cuba untuk menyalurkan kekuatan. Tangan kirinya menyentuh bahu Amru, sambil pandangan fokus ke hadapan.
Selepas beberapa ketika, mereka semakin meninggalkan kawasan belantara. Akhirnya lautan luas mula terpampang di hadapan mata. Perlahan-lahan kereta diparkir berhampiran sebuah jeti. Kelihatan ramai juga manusia berada di sini. Semuanya pasti mahukan perkhidmatan pengangkutan untuk ke tempat lain.
"Ini kali pertama saya tinggalkan Taujih Ruhiyyah, bang." Amru memecahkan sunyi.
Khalid menghela nafas. Masing-masing belum keluar daripada kenderaan.
"Ini juga kali pertama saya akan kembali ke Kota Lemuria."
Dia belum cukup senior untuk dihantar menyertai misi dakwah yang digalas oleh Santri Terutama. Mereka biasanya terdiri daripada mereka yang telah berusia 30-an ke atas, juga bergantung kepada berapa lama mereka telah berada di Taujih Ruhiyyah, dan tahap ilmu mereka. Buya tidak menghantar sembarangan orang.
"Bagaimana jika saya sesat di sana? Bagaimana jika kegelapan Kota Lemuria mencengkam diriku?" Bertubi-tubi soalan dilontarkan.
Khalid segera memanjangkan tangannya, menyentuh bahu Amru.
"Abang faham perasaan engkau. Tetapi percayalah, Taujih Ruhiyyah akan selalu merindui engkau. Apa sahaja dugaan dan cabaran di sana, engkau tahu Allah ada, dan kami sentiasa ada untuk engkau kembali. Bonda Raudah memerlukan engkau, Amru. Engkau satu-satunya anak yang dia ada sekarang. Bertabahlah, dan laksanakan tugas hakikimu." Bahu Amru ditepuk-tepuknya lembut.
Amru terangguk-angguk.
"Yang abang tak faham ..." Khalid menoleh ke satu arah di luar kenderaan. "... yang itu."
Amru megerutkan dahi. Dia turut memandang ke arah yang ditunjukkan Khalid. Matanya membesar. Kelihatan Zaharah di situ, tampak sedikit canggung dan cuba menghilangkan mengah. Di sisi santri wanita itu ada sebuah basikal. Pastinya kenderaan itu yang digunakan oleh Zaharah untuk ke mari.
Khalid ditatapnya, seperti memohon kebenaran. Khalid tertawa dan menggeleng. Kemudian memberikan isyarat supaya Amru pergi kepada Zaharah.
"Aku uruskan beg engkau. Cepatlah. Nanti bot mahu bergerak pergi."
Amru bingkas keluar daripada kenderaan, pergi mendapatkan Zaharah. Dia berdiri sekitar sedepa jaraknya antara mereka. Sedikit kesipuan. Amru menggaru belakang kepala yang tidak gatal.
YOU ARE READING
Amru Rebellion
ActionAmru belia sederhana. Membesar bernaungkan Madrasah Taujih Ruhiyyah diselia Buya. Selain ilmu agama, seni mempertahankan diri melengkapkan dirinya. CInta juga berputih di dalam jiwannya dengan santri rupawan, Zaharah. Namun kehidupan indah itu terga...