Sudah tiga hari berlalu. Banyak kedai, pasar, restoran, bahkan tempat pembinaan telah Amru jejaki. Semua menolak permintaannya mentah-mentah. Tiada siapa yang sudi memberikan Amru pekerjaan, apatah lagi wang. Kisah Bonda yang sakit, tidak menarik simpati sesiapa, bahkan ada yang menggelarkannya penipu, ada tempat terus menghalaunya.
Amru buntu. Rasa optimisnya tempoh hari malap.
67 deus di dalam dompet pun kini tinggal sekitar lima deus. Habis untuk membeli makanan setiap hari bagi mengisi alas perut. Bukanlah dia mahu membazirkan wang titipan Buya itu, tetapi kos sara hidup di Kota Lemuria ini terlalu tinggi!
Tiga hari ini, dia hanya makan sehari sekali. Pun duitnya tetap mengalir seperti air deras.
Tidak hairanlah warga Kota Lemuria rata-rata dilihat bersikap nafsi-nafsi. Pentingkan diri. Sibuk mencari harta. Namun, Amru kekal bersangka baik, mereka juga tertekan dengan kehidupan di sini. Mungkin kerana itu, wajah kebanyakannya masam dan tidak mesra. Berjalan laju ke sini dan ke sana.
Amru juga pergi ke surau dan masjid berhampiran Hospital Lemuria, meluahkan kesusahannya kepada ahli kariah. Tetapi mereka juga berat untuk mempercayainya. Apabila Amru mempamerkan kemampuannya membaca al-Quran dan kitab, moga-moga adalah pekerjaan daripada kemahirannya itu, tetap dia ditolak.
"Sesiapa sahaja boleh membaca al-Quran dan kitab hari ini. Tambahan, kita sudah ada ramai orang alim di sini. Kami tidak mampu untuk membantumu, anak muda."
"Tidak mampu? Tetapi masjid ini kelihatan mewah dan megah. Penghawa dingin dibuka walhal jemaah yang bersolat fardhu di dalamnya tidak ramai mana. Ketika Subuh, hanya dua baris saf. Mungkin harga lampu di sini sahaja sudah cukup untuk membantu saya, tuan haji."
Luahannya ternyata tidak disenangi. Wajah terpempan yang bertukar jegilan amarah daripada orang masjid, membuatkan Amru kemudian disuruh keluar dari Rumah Allah.
Amru menghela nafas sedang dia duduk di antara dua sujud. Berteleku di atas sejadah, yang dibentangkan di sisi katil Bonda.
"Sekiranya ahli masjid pun mementingkan diri, apalah yang boleh diharapkan dengan masyarakat awam yang lain?"
Sepanjang tiga hari ini juga Amru dapat melihat kebejatan Kota Lemuria. Apabila dia mencari pekerjaan sehingga larut malam, dia telah menyaksikan kehidupan malam kota ini. Meriah tanpa ada sesiapa menghalang. Kelab malam dan sarang pelacur penuh, bahkan tidak berselindung. Muda-mudi terjebak maksiat dan jenayah dadah, tidak ada yang kelihatan membendung.
Bahkan di hadapan mata Amru, dia melihat polis menerima suapan dan berlalu pergi begitu sahaja daripada premis-premis yang menghancurkan nusa bangsa itu.
Tetapi Amru tidak pantas untuk bersangka buruk.
Buya mendidiknya lebih mulia daripada mahu memakan daging orang lain.
Berdasarkan apa yang sedang dialaminya sendiri, manusia akan bertindak di luar batas apabila terlalu ditekan. Mungkin yang memakan suapan, terlalu tersepit mahu melihat keluarga mereka berjaya meneruskan kehidupan di kota ini. Mungkin yang berhibur tanpa batas, cuba melepaskan diri daripada tekanan hidup.
Walaupun jalan yang mereka pilih itu jalan kerosakan, Amru cuba bersangka baik. Pun begitu, Amru tidak menjadikan itu semua alasan. Dia kekal berprinsip walaupun ada bisikan halus memujuk supaya dia mencari wang di tempat-tempat sedemikian.
Dia belum bersedia menjual akhirat dengan harga yang sedikit.
"Apa yang Allah arahkan kita berbuat saat diuji, teruji, disambar musibah dan mahukan pertolongan?"
YOU ARE READING
Amru Rebellion
ActionAmru belia sederhana. Membesar bernaungkan Madrasah Taujih Ruhiyyah diselia Buya. Selain ilmu agama, seni mempertahankan diri melengkapkan dirinya. CInta juga berputih di dalam jiwannya dengan santri rupawan, Zaharah. Namun kehidupan indah itu terga...