BAB 3

253 4 0
                                    

PULANG dari berjumpa Johan, Adi singgah di rumah orang tuanya di Kajang. Hari cuti macam ni, dia perlu manafaatkan sebaik mungkin. Kalau tak, berbulan dia tidak menjenguk mak ayah Tugas sebagai wartawan jenayah, ke hulur ke hilir tidak tentu masa. Kadang-kadang jam 6.00 pagi baru nampak katil.

"Adi, kau dari mana ni?" tegur Samad pada anak lelaki sulungnya.

"Jumpa kawan tadi. Ayah sihat? Mak mana?" Adi berbahasa.

"Ada ni hah. Kau tu pergi mana sampai tak ingat kami?"

Adi senyum sumbing melihat ibunya menapak ke ruang tamu membawa satu pinggan ubi kayu rebus. Aroma kopi O begitu menusuk hidung. Ahhh... Teringat kopi Ohsem yang dibeli di Terengganu dulu.

"Ada, mak. Saya kerja la. Kerja wartawan ni tak tentu masa." Adi menjawab perlahan.

Samad menggeleng melihat anak bujangnya yang kelihatan tidak terurus. Muka agak cengkung. Mata sembap. Tubuh pun sudah mula susut. Degil sangat nak teruskan kerja wartawan. Kalau wartawan hiburan tak apalah juga, ini wartawan bahagian jenayah! Silap hari bulan, nyawa terancam!

"Ayah dah cakap dulu, kau tu degil. Tak dengar cakap. Esok-esok kahwin, tak ada masa dengan anak bini. Umur kau ni dah lebih dari layak untuk kahwin."

Adi senyum kelat. Dah sejak kecil perangainya memang keras kepala membawa ke dewasa. Lain sikapnya dengan Amzar. Adik kembar yang hanya muda lima minit darinya. Amzar disayangi keluarga. Tak pernah membantah cakap mak bapak. Tambah pula, Amzar menyandang jawatan jurutera di sebuah syarikat besar. Kembang kempis hidung mak ayah, bangga!

"Biar la dia, bang. Dah tu minat dia. Janji ada kerja halal," celah Gayah.

Kali ini Adi senyum hambar. Terasa sejak dulu, ayah selalu bezakan dia dan Amzar. Nak kata Amzar lagi kacak, dia dan Amzar kembar seiras. Yang beza, hanya tahi lalat pada pipi kiri Amzar. Itu saja! Mungkin disebabkan itu juga, dia memberontak ketika waktu sekolah dulu dan ingin bersekolah asrama. Di sekolah, peraturan apa yang tak dilanggar dan siap ada geng sendiri. Mengingati semua itu, dia senyum sinis. Jiwa muda, darah muda. Semua perkara nak bantah.

"Am mana?" Adi tukar topik. Seketul ubi kayu rebus dicapai dari atas pinggan dan dikunyah penuh selera. Ah, kalau hujan ni, lagi melantak ubi rebus ni. Lagi-lagi dicicah dengan kelapa parut.

"Dia belum balik. Katanya dia nak ziarah kawan dia yang meninggal," jawab Samad.

"Siapa?" Adi mendongak memandang ayah.

"Entah la. Katanya, kawan masa kat universiti dulu." Gayah pula membalas.

Adi mengangguk-angguk. Tak banyak tanya. Malas sebenarnya dia nak panjangkan soal Amzar. Lagi banyak cerita pujian nanti berbekas di telinga. Lebih baik dia masuk bilik buat tahi mata.

"Kau nak ke mana pula tu?"

Adi menoleh sebaik saja dia bingkas bangun.

"Nak tidur."

Langkahnya diteruskan menuju ke bilik yang terletak di sebelah bilik Amzar. Penat masih belum hilang. Silapnya juga berjanji dengan Johan berjumpa hari ini sedangkan dia perlu ambil kesempatan bercuti ini untuk merehatkan badan dan otak.

AMZAR hanya mampu melihat pusara Malik dengan perasaan sebak. Tidak percaya. Terasa sekelip mata Malik pergi. Dia tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan kes Malik. Malik seorang doktor yang disegani. Takkan Malik sanggup bunuh diri? Untuk apa? Bermacam soalan bermain dalam fikiran. Kata-kata ayah Malik sekejap tadi, cukup membuatnya merasa keliru dan bingung.

"Am."

Terasa bahu kirinya dipegang seseorang, Amzar menoleh ke kiri. Yusri sudah terpacak di situ. Sugul wajah Yusri. Mungkin dia juga baru tahu berita mengejut itu.

M.A.Y.ATempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang