BAB 4

208 6 0
                                    

SUDAH seminggu berlalu. Kes kematian Malik masih belum menemui jalan penyelesaian. Tiada suspek yang ditahan kerana tiada bukti kukuh mengatakan Malik dibunuh. Adi juga sudah buntu memikirkan kesan torehan pada lengan mangsa. Johan yang berjanji ingin membantunya pun tidak boleh diharap. Sampai ke sudah, bomoh ke mana, Johan ke mana! Habuk pun tarak!

"Adi!"

Terkejut dengan jeritan Mr. Weirdo, Adi cepat-cepat bangun. Ghani a.k.a Mr. Weirdo sudah bercekak pinggang di depan pintu biliknya yang ternganga luas.

"Kau buat apa lagi kat situ? Mana laporan yang aku nak?"

Fail disambar dari atas meja. Adi bergegas mendekati Ghani. Fail bertukar tangan.

"Masuk!"

Adi mengekori Ghani masuk ke dalam bilik. Pintu ditutup rapat. Dia kemudian duduk berhadapan dengan Ghani yang sudah membelek kasar fail tadi. Lama dia menunggu bicara. Setengah jam jugalah dia menunggu bosnya yang asyik membelek helaian laporan. Macam nak terkoyak kertas! Eh, orang tua ni! Tadi bukan main panggil aku!

"Ada apa-apa maklumat pasal torehan tu?" Ghani tutup fail.

Adi menggeleng.

"Emmm..." Ghani bangun semula dan mundar-mandir dari hujung meja ke hujung meja. Sesekali dia melihat Adi yang masih memandangnya dari tadi.

"Kau rasa, torehan tu ada bawa makna apa-apa tak?" Ghani membongkok dengan kedua-dua tapak tangan di atas meja. Tepat dia memandang Adi yang kelihatan resah.

"Entahlah, bos. Apa yang saya nampak, torehan tu macam bentuk huruf M."

"Emmm. Tak apa. Polis pun dah klasifikasikan kes ni sebagai bunuh diri dan mati mengejut. Jadi, aku rasa tak ada yang pelik dan tak ada yang boleh kita sensasikan berita ni kecuali kalau kau dapat details pasal torehan tu. Anything!"

Adi mencebik. Gila glamor sungguh orang tua ni! Dalam kepala otak, tak ada benda lain. Patutlah syarikat penerbitan itu sentiasa menjadi pilihan pembaca. Tak kira, online atau offline.

"Jadi, macam mana dengan saya?" Adi terkebil-kebil.

"Macam mana apa? Kenapa dengan kau?" Berkerut kening Ghani.

"Kan bos cakap nak naikkan pangkat saya?" Adi mengingatkan bosnya. Eh, jengkel pula dengan orang tua ni.

"Kes dah ditutup. Jadi, kau pun tak ada promotion. Kau boleh keluar sekarang. Sambung kerja." Ghani duduk di kerusi semula. Fail tadi dibelek sekali lagi.

Adi bangun malas. Bengang dengan orang tua tak tahu diuntung itu.

"Kejap! Peluang kau masih ada kalau ada kes macam ni lagi. Aku nak kau cover cerita tu sampai habis. Lepas tu, aku akan consider kenaikan pangkat kau." Ghani sempat bersuara sebelum Adi melangkah keluar dari biliknya.

Adi senyum hambar. Rasanya dah banyak kes pembunuhan dia siarkan di dada akhbar sebelum ini. Yang itu, tidak pula bos nak ambil tahu sangat. Kenapa kes bunuh diri ini pula Mr. Weirdo tu sibuk nak ambil tahu sampai hal mistik? Bukan kes berprofil tinggi pun!

Sampai di meja kerja, Adi henyakkan punggung di atas kerusi. Ini tak boleh jadi. Dia harus lakukan sesuatu. Penat saja dia bertungkus-lumus dan bersengkang mata di pejabat nak siapkan laporan berita. Alih-alih, mudah saja orang tua tu lupakan janji!

Pensel digenggam kuat. Prap! Patah dua!

Merah padma muka Adi. Jawatan ketua editor nampaknya masih samar untuknya. Dia jeling Sham di dalam bilik, penolong ketua editor yang cukup bongkak! Mentang-mentanglah dia baru dalam bidang kewartawanan ini. Tak semudah itu dia diejek dan diperkotak-katikkan oleh Sham. Bukan dia tak perasan, senyuman sinis Sham tadi bila bos menjerit kuat namanya. Eh! Boleh blah la!

M.A.Y.ATempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang