Bab 5

532 14 0
                                    

Sekarang juga akan beta titahkan para pendekar dan hulubalang melaksanakan tuas-tugas itu.” Panglima Dermang turut sama gembira.Namun,beberapa saat kemudian,wajahnya tiba-tiba bertukar muram.”Sahabat hamba,Tunku. Dia perlu dimaklumkan tentang penemuan jalan baru ini.” “Pergilah sebelum terlambat,Datuk,”gesa Raja Muda. Di kala itu,kelima-lima kumpulan pemanah yang baru ditubuhkan itu sudah pun mengorak langkah kerana bulan sudah menghilang dan malam kembali gelap-gelita. Bujang mendahului mereka terjun dari atas kubu ke luar pekarangan istan. Di bawah naungan kegelapan malam,mereka lari susup-sasap meninggalkan kubu dan bersembunyi tanpa disedari oleh pihak musuh yang berkawal. Mereka bersembunyi mengikut kumpulan masing-masing. Kumpulan Bujang bersembunyi dalam hutan pokok pisang.Dalam keadaan samar-samar itu,Bujang menghitung anak buahnya. “Semua ada di sini?”bisik Bujang pada rakan-rakannya yang masih termengah-mengah melepas penat. Mereka hanya mampu mengangguk. Bujang mengesat peluh dan membiarkan mereka berihat seketika. “Selepas ini,kita kurang bercakap,”Bujang memberi arahan.”Kita lebih menggunakan bahasa isyarat.Siulan burung,contohnya.” “Burung apa,Panglima?”tanya seorang pendekar.”Hamba hanya pandai meniru siulan burung murai.” “Mulut kau pun macam mulut murai,Bedul,” sindir rakannya. “Kau pula burung hantu,Bachok,”Bedul menyindir kembali. “Tak kisahlah burung apa pun asalkan burung,”celah Bujang sebelum rakan-rakan lain menyampuk menambah bising.”Hamba akan berbunyi seperti burung merbuk.” “Hamba Mamat meniru burung tekukur,”sambut pendekar yang ketiga. “Hamba Semaun meniru burung merbah.” “Hamba Damak meniru burung tempua.” “Hamba Dali,”sahut pendekar keenam.”Burung pipit.” “Hamba Salleh,burung enggang,”sambut pula pendekar ketujuh. Sampai giliran pendekar kelapan dan kesembilan,mereka diam tidak menjawab. ‘Kenapa,Galak?”tanya Pendekar Salleh. “Dah habis nama burung,”balas Galak selamba.Yang lain menutup mulut menahan ketawa..”Kau pula,Jerjaka?” “Aku lagi teruk,”ujar Jerjaka.”Aku tak tahu bersiul.” Sekali lagi rakan-rakan lain menutup mulut menahan ketawa. “Banyak sangat burung,terkeliru pula nanti,”Bujang memutuskan.”Biar hamba saja yang bersiul.Sekali bererti mara,dua kali berhenti,tiga kali bersembunyi.Jika hamba bersiul panjang,maksudnya kita berundur dan lari menyelamatkan diri masing-masing.” “Setuju,Panglima,”jawab Bedul.Rakan-rakan lain angguk kepala. “Kita mengorak langkah sekarang,”perintah Bujang lalu bersiul sekali meniru bunyi burung tekukur.Mereka terus bergerak dalam kegelapan malam itu. Keadaan sebaliknya berlaku di Kuala Kedah. Kerana tidak henti-henti dihujani peluru meriam,barisan pertahanan tidak mampu bergerak,apa lagi menyerang balas. Mereka berlindung di balik kubu,di dalam kota tua,di belakang pokok kelapa atau di mana-mana sahaja yang dianggap selamat.Setakat ini,hanya sebuah rumah ranap diterjah peluru,yang terkorban atau tercedera belum diketahui. Berdiri di sebelah Tok Penghulu di balik kubu,Pak Guru Jalil hanya mampu melihat perkampungan mereka dibedil bertalu-talu. Di laut yang gelap,samar-samar kelihatan tujuh buah kapal mengepung pintu kuala. Api bersemburan keluar dari muncung meriam setiap kali bedilan dilakukan. “Sekarang sudah larut malam,”Tok Penghulu bersuara.”Sampai bila mereka hendak membedil kita? Sampai ke siang?” “Sekejap lagi mereka akan berhenti,”balas Pak Guru Jalil penuh yakin. “Kenapa Pak Guru kata begitu?”tanya Tok Penghulu.”Setahu hamba,sejak dari senja lagi mereka tidak henti-henti membedil.” “Pengalaman,Tok Penghulu,”Pak Guru Jalil menerangkan,mengenangkan masa silamnya.”Meriam kalau diguna terlalu lama,jadi panas.Kalau terlalu panas,larasnya merekah atau pecah.Meriam yang rosak tidak berguna lagi.” “Kalaulah Badak Berendam dan Katak Puru masih elok,baru bertemu buku dengan ruas,”Tok Penghulu mengeluh sedih. “Badak Berendam?Katak Puru?”Pak Guru Jalil kebingungan. “Meriam purba di kota itu,”Tok Penghulu menunjuk ke arah kota tua yang tidak sempat dibaiki.”Kata orang,meriam keramat,boleh meletup sendiri.Dek kerana ada yang melanggar pantang,kedua-dua pucuk meriam itu merajuk.Sekarang tidak kelihatan lagi,mungkin sudah tenggelam ke dalam laut.” Pak Guru Jalil hanya berdiam diri,tidak mengiyakan atau menafikan. Baginya,Alam Melayu ini penuh dengan kisah-kisah dongeng seperti itu. “Mereka juga ada senjata api kecil yang meletup seperti lela,”kata Tok Penghulu.
“Istinggar,pemuras,senapang dan pistol,”Pak Guru Jalil menjelaskan.”Juga boleh membunuh dari jauh.Tapi terlalu lambat untuk mengisi peluru. Kalau hujan,tak boleh digunakan langsung.” “Panah dan lembing juga yang lebih berguna,”Tok Penghulu memuji senjata milik orang Melayu.”Boleh membunuh dari jauh.Senyap.Boleh digunakan bila-bila masa tak kira siang atau malam.” “Ada orang Melayu yang memiliki ilmu jurus,boleh meragut nyawa musuh dari jauh,”sambut Pak Guru Jalil.”Kenapa tak digunakan cara halus itu?” Tok Penghulu sedar kata-kata berbaur sindiran itu ditujukan padanya. “Jurus silat cara ghaib hanya digunakan pada waktu kecemasan,”dia membela. “Begitu juga dengan ilmu kebal,hanya waktu dharurat boleh digunakan,”sambung Tok Penghulu bila melihat Pak Guru Jalil diam membisu.”Ramai orang menyangka ini ilmu sihir.Sebenarnya tidak.Inilah al-maunnah,bantuan dari Allah.” Pak Guru batuk-batuk kecil sambil mendongak ke langit.”Nampaknya malam semakin tua,”katanya meminta diri.”Biarlah hamba periksa kampung seberang sebelum hamba pulang berihat.Tok Penghulu tunggu sampai hamba kembali.” Dengan kata-kata itu,Pak Guru Jalil pun meninggalkan Tok Penghulu seorang diri mengawasi barisan para pengawal.Dengan orang yang berilmu tinggi,dia gemar berhujah bertukar-tukar fikiran tetapi dengan mereka yang ilmunya tidak setinggi mana,dia lebih suka memilih jalan berdiam diri.Sebelum ke kampung seberang, dia singgah di muara memeriksa rotan manau yang direntang dari sini ke seberang sungai. Rotan itu bertujuan menghalang kapal-kapal dari masuk ke pintu kuala. Setelah berpuas hati,dia bersampan ke seberang sungai,peluru meriam yang berterbangan di atas kepalanya tidak dihiraukan. Pada saat itu di suatu kawasan terpencil,Bujang mendongak ke langit mengamati gumpalan awan tebal yang mula menutupi bintang.Kawan-kawannya juga turut sama memandang ke langit yang semakin gelap.Angin malam bertiup kencang. “Nak hujan nampaknya,Panglima,”Bedul yang paling hampir dengan Bujang bersuara perlahan. “Bagus,”sambut Bujang.”Tugas kita bertambah mudah.” “Benar,Panglima,”sokong Mamat.”Pergerakan kita pasti sukar dikesan musuh.” Bachok menjelma dari dalam gelap,mukanya berminyak.”Memang sah,pihak musuh berkhemah di hadapan tidak jauh dari sini.”lapornya.”Ada kira-kira seratus khemah. Senyap sahaja.Mungkin dah tidur.Pengawal ada dua orang,Panglima.” “Kalau begitu,jangan berlengah lagi,”perintah Bujang.”Kita berpecah tiga. Kau Bachok bawa Bedul dan Mamat,bergerak dari kanan.Semaun,Damak dan Dali,kau, bertiga mara dari arah kiri. Salleh,Galak dan Jerjaka ikut hamba.Beri isyarat bila sudah bersedia.” Mereka terus bergerak dengan senyap,meninggalkan Bujang bersama Salleh,Galak dan Jerjaka. “Kau bertiga mara dari sini,”perintah Bujang lagi.”Hamba akan memintas dari belakang.Ingat isyarat masing-masing.” Sejenak kemudian,mereka berempat pula menghilangkan diri ke dalam kegelapan malam yang hitam pekat. Kawasan yang dimaksudkan itu asalnya ditumbuhi lalang serta rumput liar tetapi telah ditebas untuk dijadikan penempatan sementara.Khemah-khemah dari belulang didirikan,unggun-unggun api dinyalakan untuk memasak,menghalau nyamuk dan menerangi tempat itu.Kumpulan soldadu yang keletihan menjamu selera ala kadar sebelum mencari tempat tidur.Ada yang terus tidur tanpa mempedulikan soal makan-minum lagi.Menjelang tengah malam,kawasan perkhemahan itu sunyi-sepi bagaikan tiada berpenghuni melainkan dua orang soldadu bersenjata api yang mundar-mandir membuat kawalan.Pengawal itu juga kelihatan terkuap-kuap menahan rasa mengantuk.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now