Aku Rasa... [Akhir]

2.1K 67 2
                                    

Aku dah ada kat depan rumah kau ni. – 11.06 am

Kejappp. Lagi lima minit aku turun. – 11.07 am

Empat minit. Lambat, tinggal. – 11.07 am

Menyampah. – 11.08 am

**********


Kelam kabut Maya menyarung sandal apabila ternampak Adib tengah berborak dengan ayah di depan pagar rumah. Habislah dia... mesti Affiz dan Adib mengamuk sebab dia terlambat. Sepatutnya dia, Affiz, dengan Adib dah selamat bertolak ke rumah Sufi sekarang ini. Tapi dek sebab dia terlambat – sebab selendang yang dia nak pakai tadi tak menjadi pula – rancangan awal mereka yang kononnya nak bergerak tepat pukul 11.00 pagi, tergendala. Semuanya sebab selendang inilah!

"Ha, siap dah tuan puteri?" Ayah sempat memerlinya apabila dia berjalan ke arah ayah dan Adib.

Dia cuma mencebik main-main sambil menghulurkan tangan untuk bersalam dengan ayah. Dia kena cepat-cepat bersalam dengan ayah. Kalau tak, sampai ke esoklah ayah takkan habis berborak dengan Adib. Ayah memang macam itu – suka berborak panjang-panjang. Lebih-lebih lagi dengan Adib. Mentang-mentanglah Adib pandai mengambil hati, bukan main suka lagi ayah berborak.

Harap-harap ayah tak mengamuklah apabila dia dan Adib memberitahu yang mereka berdua nak memutuskan pertunangan nanti.

"Pergi dulu, pak cik." Adib pula bersalam dengan ayah.

"Ya. Bawak kereta elok-elok," pesan ayah.

"InsyaAllah." Adib mengangguk sopan sebelum berlalu ke tempat pemandu.

Maya hampir saja membuka pintu penumpang belakang apabila Adib memberi isyarat supaya dia duduk di depan. Sempat Maya menjenguk ke tempat duduk penumpang hadapan. Kosong. Eh, Affiz tak ikut sekali ke?

"Affiz mana?" tanya Maya, apabila dah selamat menutup pintu kereta. Sempat dia melambai ke arah ayah semasa kereta Adib dah mula bergerak meninggalkan rumahnya.

"Dia dah pergi dah," jawab Adib.

"Laa... aku ingatkan kita bertiga naik satu kereta je. Bukan cadang macam tu ke hari tu?" tanya Maya lagi. Memang hari itu dia, Affiz, dan Adib dah merancang untuk pergi ke majlis perkahwinan Sufi dengan satu kereta saja. Rancangannya; Affiz dan Adib akan menjemput Maya di rumah, selepas itu mereka bertiga akan terus ke rumah Sufi. Tapi, dia tak tahu pula yang Affiz pergi sendiri ke rumah Sufi.

"Memang la. Tapi aku nak singgah somewhere lepas ni. Affiz pulak nak balik rumah terus. Tu yang kitorang decide naik kereta sendiri je."

"Oh..." Maya mengangguk. "Kau nak pergi mana?"

"Cari barang sikit. Kau teman aku eh?"

"Tapi aku pakai baju kurung."

"Kenapa kalau kau pakai baju kurung?" Adib menoleh sekejap ke arah Maya.

"Hmm... aah eh. Kenapa kalau aku pakai baju kurung?" Maya tergelak. Dia pun tak tahu kenapa dia berkata macam itu tadi.

"Macam-macam la kau ni." Adib menggeleng-geleng. "Jangan lupa hadiah kat belakang tu nanti. Susah-susah korang bergaduh nak beli apa, nanti tertinggal pulak."

Spontan Maya menoleh ke tempat duduk belakang. Ada satu kotak sederhana besar yang dah siap berbalut, siap dengan reben lagi. Dah berhari-hari dia dan Affiz dok berfikir nak membelikan hadiah apa untuk Sufi. Disebabkan banyak sangat pilihan sampaikan dia dengan Affiz bergaduh, mereka berdua terus meminta pendapat Adib. Senang.

Cerpen 2015Where stories live. Discover now