BUNYI loceng yang kedengaran dari luar rumah itu membuatkan dia segera bangkit daripada baringannya di atas sofa. Langkah kaki diatur ke arah pintu dan tanpa berlengah, dia memulas tombol pintu itu sebelum dikuak lebar bukaan pintunys.
Wajah ayu seorang wanita yang dirindui sejak seminggu yang lalu menyapa di ruang pandangan dan ia membuatkan sebuah senyuman lebar terukir di ulas bibirnya tanpa dapat ditahan. Namun, si dia yang dipandang hanya menayang riak wajah kosong. Tanpa rasa. Malah, sempat juga sepasang mata itu menjeling tajam wajahnya. Eh? Sombongnya!
"Miss me already?" soalnya nakal. Sengaja mengusik kesayangannya itu.
Ulas bibir mungil itu mencebik selamba sebagai tanda malas mahu melayan. "Saya nak ambil barang saya," beritahu si dia senada.
Rayyan Harith masih terus mengukirkan senyum. Kali ini, bersama anggukan perlahan di kepala sebelum dia berganjak sedikit dari posisinya di hadapan pintu rumah itu. Memberi ruang kepada wanita itu untuk masuk ke dalam ruangan kediamannya.
"Saya rasa tak perlu kut saya masuk. Boleh awak serahkan je barang saya dekat depan ni?" dalih Humaira. Dia tidak mahu melangkah masuk ke dalam rumah itu kerana rumah itu merupakan kenangan manis dia bersama lelaki di hadapannya ini. Dia tidak mahu seandainya dia masuk, hatinya tidak kuat untuk kembali melangkah keluar. Hatinya masih rapuh dengan perpisahan mendadak di antara mereka.
"Barang awak masih tak berusik dari tempatnya. Saya tak kemaskan pun. Saya tak nak awak beranggapan yang saya menghalau awak dari rumah awak sendiri," balas Rayyan dengan nada tenang. Teringatkan kata-kata wanita itu tempoh hari bahawa dia berniat menghalau si bekas isteri untuk menjemput masuk wanita lain ke dalam rumah. Dalam diam, dia cuba menafi pernyataan tersebut.
Humaira terdiam. Apa yang perlu dibalasnya? "Boleh tolong kemaskan sekarang? Dan awak boleh serahkan pada saya terus. Saya tunggu dekat depan ni," pintanya kepada lelaki itu. Mengharap? Agaklah. Kerana sungguh dia tidak kuat untuk menapak masuk ke dalam rumah si bekas suami.
"Nope. Masuk dalam dan kemas sendiri. Saya tunggu." Sempat Rayyan menggelengkan kepalanya sekali. Berkeras tidak mahu akur dengan permintaan wanita itu.
"Tapi, kita..." Tidak sempat Humaira mahu menghabiskan ayatnya apabila lelaki itu terus mencantas laju.
"Tak nak masuk, tak apa. Barang awak tu tak akan berkemas sampai ke sudah. Biar je tinggal dalam bilik saya. Boleh juga buat ubat rindu saya nanti... kan?" Rayyan tersenyum nipis di hujung bibir. Wajah yang kemerahan milik kesayangannya itu sudah bertukar riak tidak puas hati dan ianya membuatkan dia mendesis keseronokan. Tahu sangat si dia akan kalah dengan kata-katanya.
YOU ARE READING
Penghulu Bidadariku : Aisyah Humaira [RE-PRINT]
RomanceDemi cinta, dia mengorbankan segala kebahagiaan diri dek trauma terhadap kisah pada masa silamnya. Tanpa ragu, tanpa gentar, tanpa diluah apa yang tertakluk di hati, perpisahan menjadi jalan pilihannya. Hanya kerana satu perkhabaran yang meragut keb...