Anugerah ini kekal turun-temurun selagi adanya bulan dan matahari." "Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,sembah durhaka patik sembahkan,"tiba-tiba Tunku Mat Akib menyusul sembah."Patik musykil kenapa seorang anak muda yang baru setahun jagung diberi anugerah yang begitu tinggi sedangkan patik yang sudah lama berjasa pada Tuanku masih lagi menjawat pemangku Raja Bendahara." "Jadi?"tanya baginda Sultan. "Ampun Tuanku,patik mohon limpah kurnia Tuanku supaya patik diberi gelaran tetap Raja Bendahara kerana banyak juga jasa dan kebaktian patik pada negeri Kedah ini." "Tunku Mat Akib tetap berkuasa seperti Raja Bendahara walaupun masih berjawatan pemangku,"baginda Sultan menerangkan dengan lanjut."Apakah belum berpuas hati? Usah khuatir,tidak ada orang lain yang akan merampas jawatan itu." Raja Bendahara menyusun sembah tanda setuju walaupun riak wajahnya menunjukkan dia belum lagi berpuas hati. "Sekarang,beta akan mengumumkan Datuk-Datuk yang dinaikkan pangkat kerana telah banyak membuat jasa kepada beta dan negeri ini,"sambung baginda Sultan. Di kala baginda Sultan menyebut nama-nama itu satu persatu,Bujang sibuk mengubati Fatimah dengan air sejuk yang dibawakan oleh dayang-dayang.Bujang membaca ayat Qursi pada air dalam bekas itu.Walaupun bacannya perlahan tetapi jelas kedengaran pada mereka di situ.Tunku Balqis hanya mampu mengalirkan air mata sambil menatap wajah Fatimah yang masih pucat lesi,bueh-bueh berterusan meleleh dari celah bibir.Genap tujuh kali Bujang membaca ayat itu,dihembusnya ke dalam bekas air.Air itu kemudian disapunya ke muka Fatimah bermula dari ubun-ubun hingga ke dagu.Tiba-tiba Fatimah celik,matanya terbeliak tidak berkelip,badannya kejang. Wan Sara dan dayang-dayang berundur selangkah ke belakang. Tunku Balqis juga mengesot sedikit menjauhi anaknya.Bujang bertentang mata dengan Fatimah,telapak tangan kanannya dihala ke muka anaknya. "Siapa kau?"tanya Bujang pada Fatimah. "Tok Purba,puaka Bukit Tembaga!"jerkah Fatimah,suaranya lantang dan garau seperti suara lelaki tua.Dia cuba meronta tetapi seluruh tubuh badannya bagaikan dirantai. "Apa kau buat di sini?"tanya Bujang lagi,masih menghala tangannya ke muka Fatimah. "Aku disuruh gigit orang tua itu sampai mati,"jawab Tok Purba. Bujang tahu orang tua yang dimaksudkan itu ialah baginda Sultan. "Siapa yang suruh kau?"Bujang terus bertanya. "Orang tua itu,"Fatimah menunjukkan ke arah Balai Rong Seri. Bujang juga tahu siapa yang dimaksudkan itu. "Kau nampak apa ini?"Bujang menayang tapak tangannya pada Fatimah. "Aku nampak!"Fatimah meronta-ronta melarikan mukanya dari tapak tangan Bujang. "Apa yang kau nampak?"Bujang mendesak,terus menayang tapak tangannya. "Kalimah...kalimah Allah.,"Fatimah tidak berani melihat tapak tangan itu. "Dengan kalimah ALLAH,keluarlah kau dari tubuh budak perempuan itu." "Aku tak mau!"jerit Tok Purba melalui mulut Fatimah. "Kalau kau enggan,kau akan kubakar hangus menjadi abu,"Bujang mengancam. "Baiklah..baiklah,aku keluar,"Tok Purba mengalah. "Jangan kau masuk lagi ke dalam badan anakku sampai hari kiamat,"pesan Bujang. "Ya,ya,..aku tak akan masuk lagi,"Tok Purba berjanji. "Sumpah,"tegas Bujang merapatkan tapak tangannya ke muka Fatimah. "Aduh!Panas!Aku sumpah!Sumpah!Aku takkan masuk lagi!"jerit Tok Purba. Sebentar kemudian badan Fatimah menjadi lembik,matanya tertutup rapat. Wajahnya tidak pucat lagi dan dia kembali bernafas seperti biasa.Tunku Baalqis mengesat bueh-bueh yang masih melekat di bibir anaknya. Bujang menyerahkan bekas air itu kepada dayang-dayang."Mandikan anak hamba dengan air ini selepas dia sedar,"katanya.Wan Sara dan dayang-dayang pun keluar.Tunku Balqis duduk berjuntai kaki menatap wajah anaknya,pipinya masih bergenang air mata. Bujang beredar ke jendela dan meninjau ke arah Balai Rong Seri. Dilihatnya baginda Sultan dan para pembesar sedang keluar beramai-ramai dari situ.Persidangan baru sahaja selesai.Bila terpandang Tun Mat Akib,Bujang cepat-cepat memandang ke arah lain,wajahnya tiba-tiba bengis.Dia mengepal-ngepal hulu keris menahan geram. "Abang,apa kita nak buat dengan Fatimah ini?"suara Tunku Balqis bertanya melegakan perasaan yang bergejolak dalam dadanya. "Biarkan sahaja,dia akan sembuh,"Bujang kembali duduk di sisi isterinya dan sama-sama merenung Fatimah. "Apa penyakitnya,abang?"Tunku Balqis mengesat air mata dengan lengan baju. "Fatimah tersalah masuk kamar,"Bujang menjelaskan sambil mengusap muka anaknya. "Barang itu ditujukan pada Ayahanda tetapi terkena Fatimah." "Barang apa?"Tunku Balqis ingin tahu. "Tuju-tuju. Orang di seberang memanggilnya santet,"jelas Bujang."Menggunakan puaka Bukit Tembaga sebagai perantaraan. Sihir! Semuanya sihir." "Kenapa tidak bunuh sahaja puaka itu?"tanya Tunku Balqis dengan geram. "Dia juga makhluk Allah,cukup sekadar diberi amaran dulu,"jelas Bujang."Mulai dari sekarang,berhati-hatilah dengan Tun Mat Akib. Dia manusia berhati iblis." "Kalaulah Balqis lelaki,tahulah Balqis mengajarnya,"Tunku Balqis melepas geram. "Kekuatan zahir tidak dapat menewaskan orang sepertinya,"balas Bujang. "Bagaimana dengan keberangkatan kita ke Kota Siputih?"tanya Tunku Balqis."Mahu ditangguhkan dulu sampai besuk-lusa?" "Buat apa ditangguhkan?Datuk Setia Raja sudah pun membuat persiapan...!" "Ayah..,Bonda...,"Fatimah tersedar dari pengsannya dan terkebil-kebil kehairanan. "Fatimah...!"Tunku Balqis terus memeluk anaknya sambil menangis gembira. "Kenapa Bonda menangis?Ayah,kenapa dengan Fatimah?Fatimah sakit?" "Tidak,Fatimah tidak sakit,"Bujang turut menyeka air matanya."Tadi Fatimah pengsan sikit.Sekarang dah sembuh." "Mari kita bersiap-siap,"Tunku Balqis mengajak anaknya."Kita balik ke istana kita." Pagi itu juga mereka tiga beranak berangkat ke istana Kota Siputih dengan menaiki dua ekor gajah,seekor itu mereka tunggangi,seekor lagi untuk membawa barang-barang dan kelengkapan.Datuk Setia Raja dan Datuk Johan Pahlawan berada di hadapan sekali menuntun kuda-kuda tunggangan mereka yang dihadiahkan baginda Sultan. Pemergian mereka dihantar oleh semua kaum-kerabat dan para pembesar serta seisi istana Kota Naga. Ada yang mengalirkan air mata tanda perpisahan itu. Ketika Bujang,isteri dan anaknya melambai-lambai tangan membalas lambaian mereka,Bujang ternampak Datuk Awang Kelana tetapi dia tidak mengenali pendekar bermisai panjang,berjanggut dan berjambang lebat itu. Sangkanya tentulah pendekar itu berkhidmat di istana juga,walaupun pistol yang tersisip di pinggang membezakannya dari pendekar lain. Setelah agak jauh,barulah mereka berhenti melambai.Menjelang tengah hari,sampailah mereka dengan selamat di istana baru mereka. Sekarang sudah seminggu Bujang bermastautin di istana Kota Siputih bersama isteri dan anaknya.Mungkin istana itu baru bagi Bujang tetapi sudah berusia hampir 300 tahun. Istana itu tahan lama kerana diperbuat daripada kayu cengal dan kayu jati,tanpa sebatang paku pun. Menurut cerita Tunku Balqis,moyangnya almarhum Sultan Sulaiman Shah yang mula-mula bersemayam di istana ini.Kemudian diperbesarkan sedikit demi sedikit oleh almarhum Sultan Ata'allah,almarhum Sultan Muhamad Jiwa,almarhum Sultan Mahmud Shah dan almarhum Sultan Muzaffar Shah sehingga menjadi seperti sekarang.Selepas itu ayahandanya pula bersemayam beberapa lama sebelum berpindah ke istana Kota Naga yang baru dibina. Di sinilah juga tempat ayahandanya berlindung kira-kira sepuluh tahun lalu setelah istana Kota Naga hampir musnah diserang Belanda dan kuncu-kuncunya. "Sekarang istana tua ini menjadi milik kita turun-temurun,"Tunku Balqis menjelaskan lagi kepada Bujang dan Fatimah ketika mereka bersiar-siar dalam taman."Termasuk juga taman bunga ini,dusun buah-buahan,taman larangan,sawah padi dan seluruh kampung ini." "Bagaimana dengan Datuk berdua itu?"tanya Bujang sambil memetik sebutir rambutan. "Datuk Setia Raja dan Datuk Johan Pahlawan hanya menjaga istana ini ketika ketiadaan kita,"jelas Tunku Balqis,turut sama memetiki rambutan untuk Fatimah."Mereka berumah-tangga di luar istana. Seluruh penduduk kampung ini bukan orang lain,saudara-mara dan suku-sakatnya juga." "Di sinilah mulanya dongeng Puteri Berdarah Putih yang Balqis ceritakan dulu,"kenyataan Bujang lebih menjurus kepada soalan. "Ini bukan cerita dongeng,abang,"Tunku Balqis mempertahankan kebenaran cerita moyangnya itu."Nanti Balqis tunjukkan makamnya yang tidak pernah kena cahaya bulan.Sebab itulah orang menggelarnya Puteri Lindungan Bulan." Tunku Balqis pun membawa Bujang ke kawasan permakaman di raja yang dipanggil langgar.Di situlah ditunjukkan makam Sultan Ibrahim Shah,Sultan Sulaiman Shah,Sultan Ata'allah Muhammad Shah,Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin,Sultan Mahmud Shah dan Sultan Muzaffar Shah.Semua makam itu dibuat daripada batu marmar,nisannya dibalut kain kuning. "Itulah makam Siputih Puteri Lindungan Bulan,puteri Sultan Sulaiman"Tunku Balqis menunjuk ke makam yang hampir diliputi akar-akar pokok."Dia ditikam mati supaya tidak terlepas ke tangan Raja Acheh yang telah berjaya mengalahkan Kedah." "Siapa yang menikamnya?"tanya Bujang,kagum dengan cerita lama itu. "Seorang hulubalang yang dititahkan Sultan Sulaiman,"balas Tunku Balqis."Ada juga yang mengatakan Sultan Sulaiman sendiri yang menikamnya." "Hei,kejamnya,"sampuk Fatimah."Mengapa seorang ayah sanggup bunuh anaknya sendiri? "Kerana dia sayang pada anaknya,"jawab Tunku Balqis. "Kalau sayang,kenapa bunuh?"tanya Fatimah,terkeliru,memandang Bujang pula. "Kadangkala,kasih-sayang memerlukan pengorbanan yang tinggi,termasuk nyawa anak sendiri,"Bujang cuba menjelaskan kepada anaknya. "Kata Bonda,puteri ini berdarah putih,"Fatimah mengomel lagi."Betulkah darah manusia putih macam susu,Bonda?" "Dengan kuasa Allah,yang mustahil jadi tidak mustahil,"Tunku Balqis bandingkan pula dengan pengalaman mereka."Ingat lagi pada tiga orang tua berserban dan berjubah putih yang terbang dari langit dan ghaib begitu sahaja?Itu pun kuasa Allah." "Fatimah tak fahamlah,"Fatimah menggaru-garu kepala. "Bila dah dewasa nanti,Fatimah akan faham,"Bujang menggosok kepala anaknya."Mari kita sedekahkan fatihah dan berdoa semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka." Tunku Balqis berterima kasih pada suaminya dengan renungan matanya kerana menyelamatkan keadaan.Tidak perlu lagi dia melayani pertanyaan anaknya yang bukan-bukan. Lalu masing-masing diam bertafakur menghadiahkan surah fatihah dan memanjatkan doa kepada semua arwah-arwah di permakaman tersebut. Bujang terpegang batu nisan puteri berdarah putih itu. Dengan tidak semena-mena cuaca pada pagi itu berubah.Angin menderu kencang .Hujan rebut pun turun.Kilat sambar-menyambar,halilintar membelah bumi.
Dalam hujan lebat itu,tiga lembaga yang basah kuyup menjelma.Seorang gadis yang amat cantik muncul bersama dua lelaki berkeris yang kelihatan seperti hulubalang raja. - "Dupa,kita ditimpa bala,"kata seorang hulubalang."Sultan dikerat kepala."- - "Apa daya kita?"tanya Dupa melihat gadis itu.",Putih yang jelita?"- - " Titah suruh bunuh dia,biar Acheh berputih mata",tegas rakannya. -" Tak sampai hati,"Dupa geleng kepala."Dikau saja beri mati."- - " Ampun patik Puteri jelita,titah raja daku terpaksa,"hulubalang menikam tembus ke belakang.Darah putih memancut-mancut tumpah ke bumi. -"Aduh bisanya.....!Ya Allah..ampuni dosa....!"puteri itu terkulai mati. - Puteri sudah mati,mari kita bergalang bumi,"kata Dupa mengacu keris pada rakannya. -"Dikau rodok daku tikam,jumpa kita di lain alam!"mereka sama-sama menikam. Kedua-dua keris menembusi badan masing-masing.Darah memancut lagi ke bumi. Ketiga-tiga lembaga itu semakin menghilang.Sayup-sayup kedengaran "Allah..Allah..." beberapa kali sebelum menghilang.Kilat dan halilintar lesap begitu sahaja.Hujan berhenti tiba-tiba.Angin kencang tidak menderu lagi.Cuaca kembali seperti biasa. "Subhanallah...!"Bujang menyeru,terharu dengan kebesaran Allah memperlihatkan peristiwa silam.Bila ditoleh pada isteri dan anaknya,wajah mereka pucat lesi. "Balqis dengan Fatimah juga nampak?"tanya Bujang pada mereka. "Nampak,"Tunku Balqis menutup matanya dengan tangan,sedih dengan kejadian itu. Fatimah hanya memeluk emaknya erat-erat seakan-akan tidak mahu melepasnya lagi. Bujang memerhati sekitar kawasan makam yang mengandungi seribu rahsia itu. "Itulah jawapannya,"kata Bujang seolah-olah pada diri sendiri."Allah memperlihatkan kekuasaanNya. Puteri Siputih bukan dibunuh oleh ayahnya sendiri." Tunku Balqis dan Fatimah masih berpelukan,lidah kelu untuk berkata-kata "Mari kita balik,"dia mengajak mereka.Tanpa bertangguh lagi mereka mengikutnya. Setelah agak jauh,baru Tunku Balqis dan anaknya berani menoleh ke belakang.Kawasan makam purba itu masih kelihatan menyeramkan,meremangkan bulu roma.Mereka segera berlari mengekori Bujang. "Selalukah kejadian seperti itu berlaku pada abang?"tanya Tunku Balqis ketika mereka bertiga menjamu selera tengah hari itu. "Tidak juga,"ujar Bujang sambil menyuap nasi."Kalau pun berlaku,bukan dengan kehendak abang. "Tetapi,kenapa abang mengalami kejadian pelik-pelik itu?"tanya Tunku Balqis. "Wallahualam,setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya,"balas Bujang. Tiaba-tiba mereka dikejutkan oleh suara lantang yang memekik dari pekarangan istana. "Hoi!Tengku Alang Iskandar! Mari keluar!Ini Awang Kelana!" Bujang dan anak-isterinya berpandangan sesama sendiri.Dia segera membasuh tangan. "Hati-hati,abang,"pesan Tunku Balqis pada suaminya,wajahnya mula cemas. Bujang mencapai keris panjangnya yang tergantung pada dinding lalu menuju ke ruang hadapan istana.Pintu istana itu dibuka.Di halaman istana tercegat seorang hulubalang yang menunggang seekor kuda putih. "Tuan hamba Awang Kelana?"Bujang melangkah ke atas tangga. "Datuk Awang Kelana,"tegas hulubalang itu sambil memintal misai panjangnya,matanya ditenung tajam ke arah Bujang seolah-olah Bujang hendak ditelannya. "Adat bertandang memberi salam,"Bujang masih bersikap tenang mengawal perasaannya. "Teman bergelar Datuk Maharajalela Bunuh Tidak Bertanya,"Awang Kelana membelai-belai janggut dan jambangnya yang lebat."Teman mencari Panglima Agung." "Buat apa Datuk mencarinya?"Bujang bertentang mata dengan Awang Kelana. "Itu bukan urusan mika!"tengking Awang Kelana,matanya terbeliak."Teman dengar Panglima Agung gagah perkasa.Handal.Kebal. Sayang sekali,dia ketua penyamun!" "Panglima Agung tidak ada di sini,"Bujang berbohong. "Mika kawan Panglima Agung?"Awang Kelana meludah air sirih ke tanah."Kalau mika jumpa dia,khabarkan padanya teman mencarinya." "Kalau berjumpa dengan Panglima Agung?"tanya Bujang. "Teman ingin membunuhnya!"Awang Kelana meludah lagi ke tanah."Kepalanya akan teman pancung!Badannya akan teman cincang lumat-lumat!Bininya akan teman ambil!" "Tidak semudah itu Datuk hendak membunuh Panglima Agung,"Bujang membela diri. "Hei,ini Datuk Awang Kelana yang kebal perkasa,mata boleh dipahat,sudah biasa minum darah manusia!"Awang Kelana mendabik dada."Seratus orang macam Panglima Agung , teman tak gentar sebesar bulu sekali pun!" "Baiklah,"Bujang membalas."Kalau hamba berjumpa dengannya,akan hamba maklumkan hajat Datuk yang tidak terperi ini." "Mika halau teman!"Awang Kelana menghunus pistolnya. "Datuk datang tidak dijemput,pergi pun tidak dihalau,"Bujang menjawab tenang,bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan jika Awang Kelana menembak. "Kalau teman mahu,teman boleh tembak mika macam babi hutan!"Awang Kelana mengacah-acah dengan pistolnya."Nyawa mika dalam genggaman teman!" "Jangan takbur,Datuk,"Bujang memberi ingatan."Tuhan murka pada orang yang takbur!" Tiba-tiba Awang Kelana ketawa terbahak-bahak sambil menyimpan pistolnya. "Orang macam mika buat membazir peluru teman saja!"cemuhnya lalu memalingkan kudanya memecut pergi dengan laju dari pekarangan istana. "Sombong betul orang itu,ya,Ayah?"tegur Fatimah.Rupanya isteri dan anaknya turut datang bersembunyi di sebelah ambang pintu. "Mari kita pergi makan,"ajak Bujang sambil menutup pintu istana seolah-olah kejadian itu tidak pernah berlaku dan Awang Kelana tidak pernah wujud dalam hidupnya.Tetapi berbeza pula dengan Tunku Balqis. "Kita ini nama sahaja hidup dalam istana tetapi serba-serbi kena dibuat sendiri,"Tunku Balqis mengeluh ketika duduk berihat di bawah rimbunan asam jawa petang itu,kemudian menjeling pada Fatimah yang sedang bermain buaian."Fatimah pula jadi macam kera sumbang,tidak ada kawan." "Bertanyalah pada orang kampung kalau-kalau ada yang ingin menjadi dayang-dayang dan budak suruhan kita,"Bujang memberi kebenaran. Tunku Balqis mengukir senyum."Nanti Balqis minta Datuk Johan Pahlawan atau Datuk Setia Raja tolong carikan,"katanya gembira."Bukannya apa,Balqis tak mahu pisang berbuah dua kali. Kalau ada pengawal yang menjaga pintu gerbang dan istana,barulah terasa selamat sikit dari orang seperti Awang Kelana.Biadap betul perangainya,ya?" "Sudahlah datang tidak dijemput,bersikap biadap pula,"cemuh Tunku Balqis lagi. "Orang seperti Awang Kelana bukan boleh dilayan,"ujar Bujang."Kalau dilayan,makin menjadi-jadi perangainya." "Abang perlu lebih berhati-hati,"Tunku Balqis berpesan."Balqis tengok Awang Kelana itu merbahaya orangnya,padan dengan gelarannya." "Dia belum bertemu buku dengan ruas,"sambut Bujang. "Assalamualaikum!"terdengar orang memberi salam dari arah pintu gerbang. "Waalaikumussalam,"Bujang menoleh ke sana."Oh,Datuk Setia Raja. Silakan,Datuk." Datuk Setia Raja datang menyusun sembah sambil menegur,"Apa khabar Tengku Laksamana,Tunku Puteri,Tengku Wan Fatimah?" "Alhamdulullah,baik adanya,"Bujang menjawab bagi pihak anak dan isterinya lalu menjemput Datuk Setia Raja duduk."Kami baru bercerita pasal Datuk." "Tengku mengumpat pasal patik,ya?"Datuk Setia Raja bergurau. "Isteri hamba baru berkira-kira hendak mengambil orang bekerja di istana ini,"beritahu Bujang."Maklumlah,kami bertiga sahaja,terasa sunyi pula." "Perkara itulah yang membawa patik kemari,Tengku,"Datuk Setia Raja menyatakan hasratnya."Tengah hari tadi,kami semua nampak apa yang berlaku.Walaupun tidak diberi perintah,patik bersama Datuk Johan Pahlawan sudah bersedia mengangkat senjata menentang Datuk Awang Kelana bersama orang kampung semua." "Jangan dicuba,"Bujang melarang."Awang Kelana bukan tandinganmu." "Dia merasa sombong kerana dia bekerja dengan Belanda,"Datuk Setia Raja melemparkan cemuhan."Dia tahu tidak ada orang yang berani menyentuhnya." "Anjing penjajah sepertinya tidak akan hidup lama,"Bujang turut mencemuh."Oh ya, bagaimana dengan tawaran pekerjaan itu,Datuk?" "Kecil tapak tangan,nyiru patik tadahkan,"balas Datuk Setia Raja."Hari ini juga patik akan bertanya pada semua orang kampung.Patik percaya ramai yang mahu kerana mereka pun biasa bekerja dengan Duli Tuanku dulu.Anak-anak muda pun ramai juga yang pandai bersilat." "Pucuk dicita ulam yang mendatang,"Bujang menuturkan."Terima kasih,Datuk." "Kalau begitu,patik mohon diri dulu,Tengku Laksamana,"Datuk Setia Raja menyusun sembah."Assalamualaikum,"katanya sambil menarik dan menyorong kerisnya. "Waalaikumussalam,"ujar Bujang sambil membalas tanda isyarat itu,bangga kerana Datuk Setia Raja juga menjadi ahli Angkatan Fisabilillah. "Dah puas hati Balqis?"tanya Bujang seakan menyindir setelah Datuk Setia Raja pergi. "Tentulah,"selar Tunku Balqis."Barulah Balqis boleh jadi Permaisuri." "Fatimah pula jadi Tuan Puteri,"sambut Fatimah dari atas buaian. Bujang dan isterinya hanya ketawa melihat perangai keletah anak tunggal mereka. "Mengapa Tunku datang tidak diberitahu?"tanya Bujang pada Tunku Mahmud malam itu di anjung istananya.Anak dan isterinya berada di dalam berbual-bual dengan beberapa orang dayang-dayang yang baru diambil bekerja. Tunku Mahmud termenung seketika sambil memerhati api lilin di tiang anjung.Dia bangun pula meninjau langit yang bersih ditaburi berjuta bintang.Bulan sudah terbit. "Ceritakanlah apa hajat sebenar Tunku datang kemari,"Bujang dapat menelah hati iparnya. "Susah hendak Kanda nyatakan,"Tunku Mahmud seperti cacing kepanasan."Ditelan mati emak,diluah mati ayah.Kanda datang perihal Datuk Awang Kelana juga." "Nampaknya Awang Kelana semakin terkenal di negeri ini,"Bujang menyindir. "Dia memang suka bercakap besar,"Tunku Mahmud melahirkan bencinya."Ke mana saja dia pergi,dikutuknya nama Panglima Agung,diugut orang-orang kampung,diganggu kaum perempuan tanpa mengira anak dara atau isteri orang.Dia ingat negeri ini negeri bapa dia!" Bujang hanya menelan kata-kata abang iparnya itu,hatinya membungkam. "Tetapi,bukan kerana itu Kanda kemari,"Tunku Mahmud kembali duduk bersila di hadapan Bujang."Kanda kemari kerana Paduka Ayahanda juga." "Apa ,Duli Tuanku gering semula?"tanya Bujang,agak terkejut. Tunku Mahmud tersenyum."Ayahanda bertambah-tambah sihatnya,"katanya,kemudian wajahnya menjadi muram."Kerana hasutan Tun Mat Akib dan beberapa orang pembesar lain,Paduka Ayahanda telah menawarkan seribu rial kepada sesiapa yang dapat menangkap ketua penyamun hidup atau mati.Ditambah seribu rial lagi oleh Kompeni Belanda." "Maksud Tunku,Duli Tuanku bersekongkol dengan Belanda?"Bujang terkejut. "Bukan dengan sengaja,"Tunku Mahmud masih membela ayahnya."Paduka Ayahanda sebenarnya tidak tahu siapa ketua penyamun atau perompak.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...