Bab 3: Kenal Pasti

196 10 0
                                    

Bab 3

Tiga bulan kemudian..

QAISYA berjalan keluar dari koc LRT dan menuju ke universitinya seperti hari-hari biasa. Sudah tiga bulan sejak dia terakhir kali mendengar khabar tentang Naira dan polis juga memaklumkan bahawa mereka bakal menutup kes ini kerana tidak ada apa-apa laporan yang diterima berkaitan dengan Naira. Tambahan pula, kehilangan Naira tidak boleh dikategorikan sebagai kes orang hilang kerana Naira ada menulis surat memaklumkan yang dia hendak lari.

Pada awalnya, Encik Rahman dan Puan Sarimah cukup marah dengan keputusan yang diambil oleh pihak polis. Tetapi, mereka faham. Naira pergi dengan kehendaknya sendiri. Mereka tahu Naira tidak dipaksa sesiapa. Walaupun masih keliru dengan alasan Naira, Encik Rahman dan Puan Sarimah memutuskan untuk reda. Mereka akan tetap mencari Naira dan menunggu sehingga Naira pulang ke pangkuan keluarga.

Sejak Naira pergi, Qaisya bertukar menjadi lebih pendiam. Sudah tidak ceria seperti dahulu. Qaisya lebih banyak menghabiskan masa di dalam bilik. Bukannya belajar pun. Hanya termenung mengenangkan keberadaan kakak kembarnya. Dah makan ke? Sihat ke tak? Di mana Naira sekarang? Qaisya asyik menyalahkan dirinya kerana tidak peka dengan masalah yang dihadapi Naira sehingga kembarnya sanggup melarikan diri dari rumah.

Adakah Naira sudah lama merancang hal ini? Kalaulah Naira memberitahunya, Qaisya tidak akan berfikir panjang dan akan terus ikut sama. Selama 26 tahun, mereka tidak pernah berenggang. Apa dah jadi dengan Naira? Qaisya mengeluh berat saat kakinya melangkah masuk ke dalam dewan kuliah. Dia duduk di samping Kamelia yang sedang bermain Twitter.

"Hai, Mel." Dia menegur pelahan sebelum berteleku dan termenung panjang.

Kamelia risau melihat keadaan Qaisya tetapi dia pura-pura berlagak seperti biasa. Dia merangkul bahu Qaisya dan tersenyum manis. "Morning, Sya! Breakfast dengan aku lepas ni nak?" Dia menanya dengan nada suara ceria. Berharap yang dia dapat mengurangkan resah di jiwa Qaisya sejak akhir-akhir ini.

"Okey." Qaisya menjawab, ringkas.

"Kau okey tak?" Kamelia menanya lagi. Qaisya hanya mengangguk. Dia terus membetulkan duduknya apabila melihat pensyarah mereka yang baru melangkah masuk. Buku notanya dibawa keluar dari dalam beg.

Qaisya cuba untuk menumpukan perhatian tetapi gagal. Dia hilang dalam fikirannya sendiri sementara pensyarahnya sibuk menyampaikan kuliah kepada para pelajar. Kesemua mereka sibuk menulis nota tetapi Qaisya tidak. Dia terlalu sibuk memikirkan Naira sehingga dalam dunianya sendiri. Kamelia pula tidak sampai hati hendak menganggu Qaisya kerana dia tahu Qaisya sedang kusut dengan masalah keluarga. Mungkin elok dia biarkan saja dulu.

Selepas kuliah mereka berakhir, Qaisya dan Kamelia pergi ke kafeteria untuk bersarapan. Sudah lama rasanya sejak kali terakhir mereka duduk semeja dan makan bersama. Sejak Naira hilang, Qaisya banyak mendiamkan diri. Nasib baiklah hari ini Qaisya kelihatan okey. Siap bawa sepinggan nasi mamak lagi ke meja. Awal-awal pagi lagi dah nak melantak nasi mamak sehingga membuatkan Kamelia tergelak.

"Kau biar betul, Sya? Baru pukul 11.00 pagi. Orang breakfast makan roti canai tapi kau order nasi mamak terus!" Kamelia tersenyum melihat Qaisya yang sudah menadah tangan untuk membaca doa. Dia memandang Qaisya dengan tidak percaya.

"Hari ni, aku nak makan puas-puas." Qaisya membalas.

"Fine. Makanlah, Sya. Aku perasan sejak akhir-akhir ni, kau dah kurus sikit. Makan okey? Kau nak apa lagi? Aku boleh tolong pergi order."

"Macam mak-mak lah kau ni."

"Gurau aje. Siapa lagi yang nak membebel dekat kau kalau bukan aku?"

Setelah Kita Bertemu [ TERBIT ]Where stories live. Discover now