SUASANA di dalam Starbucks riuh-rendah dengan gelak ketawa pelanggan yang turut hadir membasahkan tekak. Syakilla dan Mariam memilih tempat yang agak terpencil untuk duduk.
"Kau nak apa? Biar aku orderkan." Tanya Mariam. Beg tangannya diletakkan ke atas meja. Tangannya menggagau dompetnya.
"Macam biasalah. Kau tahu, kan kegemaran aku apa?" Sebelah kening Syakilla terangkat tinggi. Matanya masih ralit merenung skrin telefon.
"Okey! Tunggu kejap." Mariam mengatur langkah ke kaunter. Ditinggalkan Syakilla bersendirian di meja makan.
Syakilla menghantar langkah Mariam melalui ekor matanya. Lincah jari-jemarinya mencari akaun Instagram milik lelaki pujaannya. Satu senyuman kecil terlepas dari dua ulas bibirnya.
"Dalam gambar handsome macam Prin Suparat, kalau depan-depan lagilah handsome macam bidadara. Tapi sayang, kau silap pilih kekasih hati," gumamnya. Gambar jejaka itu dibesarkan kemudian dikecilkan.
Pap!
Terhincut bahu Syakilla tatkala ada satu tangan menampar sisi bahunya dari belakang. Tajam matanya mencerlung Mariam.
"Aduh, sakitlah!" Digosok-gosok kawasan yang ditampar oleh Mariam.
"Itulah kau, siapa suruh tengok boyfriend orang sampai nak terjojol biji mata tu, kan dah mendapat," seloroh Mariam. Dark Mocha dihulurkan kepada Syakilla.
"Aku tengok aje pun. Jangan risaulah, aku takde keinginan langsung nak ambil pakwe kau ni," ujar Syakilla bersahaja.
"Baguslah kalau macam tu. Kesian mat salleh celup kau tu nanti," usik Mariam lagi. Dilabuhkan punggungnya di hadapan Syakilla. Minumannya disedut.
Syakilla mengulum senyuman kelat. Sedikit pun dia tidak terasa hati dengan usikan Mariam. Bukannya dia tak tahu yang Mariam selalu menganggap yang hubungannya bersama Reza, iaitu sahabat baik kepada Hazril Irfan sebagai pasangan kekasih. Walhal, realitinya mereka cuma berkawan.
Memanglah Reza ada meluahkan rasa cintanya tapi, Syakilla menolak lembut. Hatinya telah terkunci mati untuk Hazril Irfan, sejak pertama kali lagi dia melihat Hazril Irfan, empat tahun yang lalu.
"Lepas ni kita nak jalan-jalan ke mana? By the way, banyak betul duit kau ya. Kau kerja apa lagi selain cikgu ganti?" soal Syakilla setelah agak lama mendiamkan diri.
"Ikut kau lah aku tak kisah. Hmm, aku kan jadi cikgu ganti dekat SM so duit gaji aku lah. Hazril pun ada juga bagi duit dekat aku setiap bulan," balas Mariam.
Membulat mata Syakilla. Hazril bagi Mariam duit? Oh, tidak!
"What! Hazril bagi kau duit? Pemurah betul dia." Memicing mata Syakilla memandang Mariam. Manalah tahu Mariam sengaja mengada-adakan cerita tapi, mustahil Mariam menipunya.
"Of course! Tengoklah boyfriend siapa." Mariam mendabik dada. Bangga kerana mempunyai teman lelaki seperti Hazril Irfan. Dahlah kacak, anak orang kaya lagi.
Hubungan cinta mereka yang berjaya bertahan selama dua tahun pun buatkan Mariam semakin jatuh sayang kepada Hazril Irfan. Baginya, cukuplah Hazril Irfan seorang sahaja yang bertakhta dalam hatinya.
Rahang Syakilla bergerak-gerak menahan marah. Kedua-dua belah tangannya yang disembunyikan di bawah meja dikepal kemas. Berlagak kau ya, Mariam? Getus hati kecilnya. Semakin membuak-buak dendamnya kepada Mariam.
"Eh, minumlah. Lepas ni, kita jalan-jalan kejap. Aku nak kau hafal selok-belok KL ni. Pukul dua nanti aku hantar kau balik rumah sebab aku nak jumpa Hazril. Dah dekat dua minggu aku tak jumpa dia. Last jumpa pun sembilan hari lepas masa kita makan malam dengan dia tu," ujar Mariam. Minumannya disedut lagi.
"Yalah, yalah." Syakilla memegang kemas cup minumannya. Kepahitan Dark Mocha dinikmati dengan penuh keasyikan.
HAZRIL Irfan mengatur langkah ke ruangan menunggu setelah diberitahu oleh setiausahanya tentang kedatangan Mariam. Tidak dapat tidak, dia amat merindui teman wanitanya itu. Bila dapat tahu aje Mariam bertandang di pejabatnya, automatik hatinya berbunga-bunga.
"Baby! How are you today?" tegur Hazril Irfan, teruja.
Mariam bingkas bangun. Majalah yang dipegangnya diletakkan kembali ke tempatnya. Dihadiahkan sebaris senyuman kepada Hazril Irfan.
"I'm fine cuma penat sikit aje," balas Mariam.
"Penat kenapa?" soal Hazril Irfan yang dah mula risau. Mariam sakit ke?
"Temankan Kella berjalan. Pusing-pusing satu Kuala Lumpur ni," jawab Mariam. Kedudukan tudungnya dibetulkan sedikit.
Hazril Irfan menuntun Mariam masuk ke bilik kerjanya. Disuruh Mariam duduk di sofa bersebelahan dengannya.
"Kesiannya my baby. Kella tu memang suka buli awak ke?" soal Hazril Irfan, prihatin.
Sakit hati jugalah dia bila Syakilla beria-ia meminta Mariam membawanya keluar meninjau-ninjau bandaraya Kuala Lumpur.
"Hisy! Tak adalah. Kella kan baru lagi kat Kuala Lumpur ni. Apa salahnya saya bawa dia keluar berjalan, kan?"
"Saya tahulah kawan awak tu masih baru kat sini cuma awak kena jaga diri awak juga baby. Dua minggu ni awak asyik keluar dengan dia aje. Saya ni awak abaikan," gerutu Hazril Irfan. Melepaskan rasa tidak puas hatinya yang terbuku di dalam hati.
Menjegil mata Mariam. Waktu-waktu petang macam ni lah Hazril Irfan nak buat perangai tak semenggahnya tu. Mujur sayang. Kalau tak dah lama penampar sulungnya hinggap di muka lelaki itu.
"Awak rasa diabaikan ke?" soal Mariam, sarkastik.
"Mestilah baby. Sebelum kawan awak datang kita okey aje dapat keluar hari-hari tapi lepas dia datang terus kita jarang jumpa. Kawan awak tu umpama lipas tahu tak," omel Hazril Irfan.
"Maaflah kalau awak rasa macam diabaikan. Tak apalah, malam ni kita keluar. Saya temankan awak. Saya luangkan masa dengan awak, nak?" Usul Mariam.
Seperti burung belatuk Hazril Irfan menganggukkan kepalanya. Mestilah dia nak. Dah lama dia pendam rindunya terhadap Mariam. Rugilah dia kalau menolak ajakan teman wanitanya itu.
YOU ARE READING
KERANAKU CINTA KAU [C]
RomanceSYAKILLA IZZATI - Hidupnya penuh dengan dendam dan cemburu. Kebahagiaan yang dihidangkan oleh sahabat baiknya, iaitu Mariam membuatkan dendam dalam hatinya semakin membuak-buak. Pada masa yang sama, dia turut menyimpan perasaan kepada teman lelaki s...